SEMBILAN

85 7 0
                                    

"Bro. Are you still there? Ham, aku cakap dengan kau ni." Suara di hujung talian menyentakkan lamunan Alham.

"Er... Ya. Aku ada ni," jawabnya sedikit tergagap-gagap.

"Kau kenapa ni? Call aku, lepas tu banyak senyap. Ada yang tak kena ke?" Tanya suara di hujung talian lagi. Tapi Alham menghembuskan nafas berat.

"Aku nak bertunang dengan Tanjung," luahnya perlahan.

"Are you serious?"

"Aku seriuslah Jeff. Aku rasa, ni aje peluang yang aku ada. Aku tak peduli kalau Tanjung nak benci aku lepas ni asalkan dia terikat dengan aku," luahnya tanpa segan silu pada sahabat yang jauh di perantauan.

"Aku tak tahu nak cakap macam mana, Ham."

"Kau percayakan aku kan?"

Kedengaran Jeff melepaskan hela perlahan. "Aku bukan tak percaya. Aku risaukan mak ayah kau. Dia orang macam mana? Boleh ke terima Tanjung nanti?"

"Kau janganlah risau hal tu. Nanti pandailah aku cakap dengan dia orang. Tapi buat masa ni, kau jangan cakap apa-apa lagi. Bagi aku settle kan semua, baru aku sendiri yang akan bagi tahu."

"Yelah. Tapi aku nak kau janji dengan aku, yang kau takkan main-mainkan perasaan Tanjung."

"Insya-Allah Jeff. Doakan aku."

"Insya-Allah. Aku sentiasa doakankan Ham. Kau jaga diri baik-baik, jaga Tanjung."

"Insya-Allah bro. Jangan risau okey? I just need your blessing."

"Always Ham."

Alham menarik senyum kelegaan. Itu yang dia mahu dengar bila setiap kali dia meluahkan rasa pada sahabatnya itu. Terhapus kerunsingan hatinya sebentar tadi. 

*********

Alham sesekali merendahkan pandangan ke lantai. Tidak berani membalas renung tajam wanita berkaca mata di depannya itu. Meskipun wajah itu sudah dimamah usia, masih kekal anggun dengan persalinan kurung Pahang yang tersarung. Satu-satunya ibu saudara Tanjung seperti mana yang diberitahu Hajar. Bekas pengetua sekolah dan cukup dikenali dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.

"Kamulah yang jadi penyebab Sari dengan Rifqi selalu bergaduh besar tu? Betul?" Ketegasan suara Auntie Daria memecah kesunyian ruang tamu itu.

"Er... Betul auntie." Tergagap-gagap Alham membalas. Dia perasan sepasang mata tajam itu tidak lepas memandangnya dari atas ke bawah sejak tadi lagi.

"Kamu dah jadi perosak hubungan Sari, tapi kamu masih berani lagi jumpa auntie? Apa tujuan kamu sebenarnya?"

"Saya ikhlas nak jadikan Tanjung sebagai isteri saya auntie," jawab Alham lancar. Cuba kelihatan lebih meyakinkan memandangkan segala keputusan bergantung kepada wanita di depannya itu.

"Semudah itu?" Auntie Daria picing mata. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru saja menampar pendengarannya.

"Auntie..." Alham sedut nafas dalam-dalam. Cuba meredakan debar yang mengetuk ruang dada. "Saya mengaku, saya jadi penyebab Tanjung dan Rifqi bergaduh besar. Tapi auntie, saya dengan Tanjung memang takde buat apa-apa pun. Rifqi yang sepatutnya lebih percayakan Tanjung. Kalau betul dia sayangkan Tanjung, dia kena percayakan Tanjung. Bukan terus menjatuhkan hukuman macam ni." Sambungnya membela diri.

Auntie Daria menghela nafas panjang. "Kamu tahukan yang Sari dengan Rifqi akan bertunang minggu depan?"

"Tahu auntie."

"Tapi semuanya tak jadi hanya sebab kamu."

"Saya tahu auntie. Sebab tu saya datang jumpa auntie hari ni."

Wajah Auntie Daria berkerut. "Apa maksud kamu?"

"Saya nak bertunang dengan Tanjung. Saya nak mintak restu auntie untuk bertunangan dengan Tanjung minggu depan," jelas Alham lancar tapi jelas memberi tamparan hebat buat wanita di depannya itu. "Auntie... Demi Allah, saya ikhlas nak jadikan Tanjung isteri saya."

"Walaupun Tanjung tak boleh terima kamu?"

"Saya percaya dia akan terima saya nanti."

"Macam mana dia nak terima kamu kalau kamu jadi penyebab dia dan Rifqi putus?"

Alham cuma senyum nipis.

"Tak kisahlah berapa lama pun saya kena tunggu auntie. Saya akan tunggu asalkan dia boleh setuju untuk bertunang dengan saya minggu depan."

Auntie Daria melepaskan hela perlahan. Mata kekal tidak lepas memandang wajah anak muda di depannya itu.

"Auntie... Saya tahu auntie takkan senang-senang nak percayakan saya." Dia keluarkan sekeping kad nama. "Tapi kalau auntie nak tahu asal-usul saya, latar belakang keluarga saya... Auntie boleh telefon nombor yang ada kad tu."

"Jeffri Mohd Zain? Mana kamu dapat..." Auntie Daria tidak jadi meneruskan kata sebaik melihat label syarikat yang turut tertera di situ. Istighfar meniti bibirnya bersama hela panjang. 

Cik Siti Tanjung SariWhere stories live. Discover now