SATU

150 5 0
                                    

"Sari, kau tengok tu."

Tanjung mendapatkan teman serumahnya di tepi tingkap. Rengus dilepaskan sebelum dia kembali ke meja solek semula.

"Aku peliklah dia ni. Dah kena warning pun berani lagi dia tunjuk muka dekat sini," omel Hajar.

"Takde yang peliknya. Zaman sekarang kan ramai orang gila. Salah seorangnya dia tu la..." jawab Tanjung selamba.

"Tak baik kau cakap dia gila, Sari. Dia tu bukan gila. Tapi gilakan kau."

Tanjung lempar senyum tepi. "Dia bukan tak tahu aku dah ada Rifqi. Kau tahu tak, kita orang ni sampai bergaduh besar hanya sebab si gila tu. Tak pasal-pasal Rifqi tuduh aku ada skandal dengan dia."

Hajar tergelak. "Si Rifqi tu yang gelabah sebenarnya. Dia takut kau suka dengan si Alham tu. Maklumlah si Alham tu bukannya biasa-biasa. Segila-gila dia, walaupun rambut panjang serabut dia tu aku rasa macam nak tebas, poket tebal tu..." Dia tersenyum-senyum pula.

Tanjung menghadiahkan cebikan. Tangan leka membetulkan lilitan kain tudung yang dipakai. "Kau ingat aku heran sangat ke dengan poket tebal dia tu? Setakat poket tebal harta mak bapak buat apa?" balasnya geram.

"Hesy! Mana kau tahu tu harta mak bapak dia? Entah-entah memang duit dia. Mana kita tahu?"

Tanjung hala pandang ke arah sahabatnya yang masih sibuk terintai-intai di tepi tingkap. "Kalau kau teringin sangat nak tumpang duit dia yang banyak tu, aku boleh bagi tahu dia. Tak payah dia terkejar-kejarkan aku lagi. Biar aman sikit hidup aku ni," ujarnya yang kian buntu kerana sering diganggu lelaki bernama Amal Alham. Lelaki yang dikenali secara tidak sengaja ketika di lapangan terbang beberapa bulan lepas.

"Hesy! Taknaklah aku! Mana aku nak campak tunang aku tu? Terima kasih ajelah. Aku jenis setia okey?" tingkah Hajar.

Sekali lagi Tanjung mencebik. "Sudahlah. Aku dah lambat ni. Merajuk Rifqi, aku jugak yang susah. Ni nak hadap si gila dekat luar tu lagi." Keluhnya seraya mencapai tas tangan yang terdampar di atas katil sebelum berlalu keluar.

Sebaik dia membuka pintu pagar rumah sewanya, Alham dengan sengih kerangnya datang menghampiri seperti selalu.

"You ni memang takde rumah eyh? Tak tahu malu datang rumah orang pagi-pagi ni?" Selamba Tanjung menempelak.

"Bukan I takde rumah. I datang sini sebab nak jumpa buah hati I la..." Jawab Alham selamba.

"Siapa buah hati you?" Tanjung lempar jeling tajam. "You baliklah. You nak I panggil polis lagi macam hari tu ke? You memang tak serik kan?"

Alham lempar sengih lagi. "You nak call polis ke, bomba ke, FBI sekalipun, you ingat I takut ke? Panggillah kalau you nak panggil. I tak kisah. Asalkan I dapat tengok buah hati I ni."

Tanjung ketap bibir kuat. "You ni memang gila tahu tak?" bentaknya sebelum berlalu ke keretanya.

"You nak pergi mana pagi-pagi ni? You nak..." Tidak jadi Alham meneruskan kata bila Tanjung lebih laju mengangkat tangan di depan mukanya.

"Setapak lagi you melangkah masuk dalam kawasan rumah I ni, I jerit kuat-kuat dekat sini biar jiran-jiran I datang pukul you!" Tanjung bagi amaran.

Alham terus angkat dua-dua tangan tanda mengalah. Setapak langkah diundur ke belakang. "Cik Siti Tanjung Sari... I betul-betul ikhlas nak jadikan you isteri I... Kenapa you susah sangat nak percayakan I?" Rayunya tak pernah jemu.

"I nak percayakan you?" Tanjung yang sudah pun membuka pintu kereta kembali berpaling dengan senyum sinis yang terlempar. "Bahasa melayu mudah pun you tak faham, you suruh I percayakan you? Memang taklah I nak percaya lelaki macam you tu! You ingat I ni apa? You tahu I dah ada Rifqi. Tak lama lagi I dah nak bertunang dengan dia. You ingat I ni perempuan murah ke yang sanggup mainkan perasaan orang lain semata-mata sebab you?" hamburnya tertahan biarpun perkara itu sudah berulang kali disebut.

"Rifqi bukan jodoh you Tanjung..." ujar Alham yakin.

"Siapa you nak tentutkan jodoh I? You tuhan?" tempelak Tanjung lagi dengan dada yang berombak kecil. "Sudahlah Alham. You berambuslah dari sini. You pergi cari perempuan yang jauh lagi baik dari I dekat luar tu. Banyak lagi perempuan cantik yang boleh you dapat semudah petik jarilah!"

Tap tap tap!

Selamba Alham petik jari dengan sengih yang terlakar. "I dah petik jari. You aje yang ada depan mata I sekarang ni."

Sekali lagi Tanjung ketap bibir. Rengus halusnya terlepas. "Cakap dengan you ni memang menyakitkan hati tahu tak?" bentaknya sakit hati. "Kalau you tak nak kereta buruk kesayangan you tu calar, baik you alihkan sekarang sebelum I sendiri yang calarkan!" ugutnya kerana tahu lelaki itu cukup menyayangi kereta Proton Saga model lama yang masih terjaga dengan baik.

"Keputusan I tetap takkan berubah Tanjung. I tetap akan kahwin dengan you." Alham tetap bertekad.

Tanjung lempar cebikan. "Entah siapa nak kahwin dengan lelaki gila macam kau!" kutuknya geram sebelum terus masuk ke dalam kereta.


Cik Siti Tanjung SariWhere stories live. Discover now