LELAKI : BAB 6

12 0 0
                                    


NURUL IMAN membalik-balikkan ayam di dalam kuali. Dikecilkan sedikit api untuk dia menumpukan pada ulam-ulaman yang akan disediakan. Gadis berusia 22 tahun itu cekap melakukan kerja-kerja dapur hingga abangnya Zamani terasa kagum. Nur Iman sememangnya tulang belakang bagi restoran Warung Kite. Dari mula penyediaan ayam dengan rempah istimewa, hingga ke gulai kari pekat, semuanya diuruskan Nur Iman. Zamani hanya perlu membantu serba sedikit sahaja. Yang lain, adik uruskan.

"Abang Izhan datang tak hari ni?" Nur Iman melaung pada Zamani yang sedang menyusun meja. Pukul empat petang nanti, Warung Kite sudah mula beroperasi. Kadang-kadang lebih awal.

"Dia kata datang lewat sikit. Nak beli barang sikit kat kedai borong. Lepas asar kot,"

Nur Iman mengangguk kecil.

Selang seminit kelibat kereta yang dipandu Izhan mula kelihatan. Nur Iman tersenyum. Maksudnya, dia boleh pulang awal hari ini.





"ABANG, bungkus nasi kukus 2. Sebungkus lebihkan sambal ye?"

"Boleh dik," Izhan segera mendapatkan kertas minyak, dua cup nasi kukus dan 2 ketul ayam berempah.

Dua orang gadis itu tersenyum nakal mengusik. Nur Iman yang berada di kaunter hanya menjeling.

"Err, abang. Tulis sikit kat kertas tu ye?"

"Boleh..." Izhan mengangguk sambil tersenyum kecil. Kebiasaannya pelanggan akan meminta untuk ditandakan sesuatu pada bungkusan nasi kukus bagi membezakan yang mana lebih sambal atau tidak.

"Okey dik, semua sembilan ringgit,"

Gadis berambut ikal itu menyerahkan sekeping not merah. Rakan di sebelahnya masih tersengih-sengih.

"Takde tulis pun bang?"

Izhan menoleh pada kedua-dua gadis itu. Tangannya masih memegang baki duit kertas seringgit.

"Dah tulis dah tu," Izhan kehairanan.

"Tak tulis pun nombor telefon abang," mereka berdua galak ketawa bersama kerana berjaya mengenakan Izhan. Izhan pula terpinga-pinga.

Main-main pulak budak dua orang ni. "Nombor telefon kedai bolehlah dik,"

"Alah, nombor telefon abanglah ye?"

Izhan tersengih. Apa alasan aku nak bagi pada diorang ni?

"Nombor telefon saya boleh?" Nur Iman muncul dari belakang Izhan dengan wajah mencuka. Sakit hatinya melihat gadis tergedik-gedik seperti itu. Izhan hanya tersenyum meleret bila kedua-dua gadis itu mula beredar.

"Tak baik cakap macam tu Iman, kan pelanggan kita tu."

Nur Iman mencebik. Geram dengan telatah kedua-dua gadis tadi. Tergedik-gedik mengalahkan kanak-kanak. Padahal umur mungkin sekitar 17 atau 18 tahun.

"Abang sukalah tu," Nur Iman melabuhkan punggung di kerusi yang diletakkan di depan stall aluminium itu.

Izhan hanya tersengih. Malas nak melayan sifat keanak-anakkan Nur Iman.

Izhan meneruskan kerja-kerja menggoreng ayam berempah. Sebentar lagi pelanggan akan mula ramai. Kebiasaannya selepas waktu asar, makin ramai yang akan mula berbaris untuk menikmati nasi kukus Warung Kite. Mungkin kerana harganya yang agak murah menjadi tarikan warga Bandar Baru Bangi untuk menjamu selera.

Fikiran Izhan sedikit melayang pada gadis bernama Nur Hana takala melihat sebuah Produa Axia berwarna hijau melintasi kompleks PKNS. Apa khabar dia sekarang? Sudah masuk dua minggu dia tidak menerima apa-apa mesej dari Nur Hana. Sibuk ke dia?

"Ah, sudah..." tanpa sedar dia bercakap sendiri.

Kenapa aku tiba-tiba teringat pada awek ni pulak???

LelakiWhere stories live. Discover now