LELAKI : BAB 4

9 0 0
                                    


TTDI Jaya, Seksyen U2, Shah Alam.

Nur Hana menjeling jam tangannya untuk yang ke lapan kali. Sudah pukul tiga petang, tapi kelibat Izhan masih tidak kelihatan. Dia mengeluh halus.

Bengkel motosikal dengan papan tanda Pak Ngah Motorsport yang setentang dengan jalan besar sudah pun dibuka kira-kira jam dua setengah tengahari tadi. Dua orang pekerjanya terus sahaja menyambung kerja-kerja membaikpulih motosikal.

Mana Izhan ni... aku dahlah tak pernah jejak kaki kat bengkel motor ni. Nur Hana sudah kerisauan. Jika diikutkan lokasi yang dikongsi Izhan melalui aplikasi Waze tadi, memang inilah tempatnya. Takkan aku silap kot?

Tiba-tiba cermin tingkapnya diketuk. Nur Hana sedikit terperanjat tapi hatinya lega apabila melihat Izhan di sebalik cermin pemandu.

"Lama ke tunggu?" terus sahaja Izhan bertanya apabila Nur Hana menurunkan tingkap.

"Lamanya solat jumaat..." Nur Hana mencebik.

"Maaflah, tolong tok imam kemas sejadah tadi," senyuman Izhan terukir. Matanya membelek kenderaan Produa Axia yang dinaiki Nur Hana. Kat mana aku pernah tengok kereta Mr. Bean ni? Dia tertanya-tanya sendiri.

"Jom,"






"Yang ini injin seketul, yang bahagian atas ni yang kita panggil silinder blok dan kepala silinder. Jadi proses pembakaran berlaku kat bahagian ni sahaja. Dan kawasan inilah yang paling panas," terang Izhan sambil diperhatikan Nur Hana dengan penuh minat.

"Ha, yang besar ibu jari dengan bonggol inilah camshaft ataupun aci sesendol. Dia duduk kat bahagian paling atas," sambil Izhan meletakkan camshaft di bahagian kepala silinder.

"Yang ini crankshaft. Bahagian paling bawah, paling berat. Semua sambungan gearbox manual atau auto, bersambung ke crankshaft. Amacam? Boleh faham?" Izhan meletakkan crankshaft di hadapan Nur Hana. Rintik peluh mula terbit di dahinya.

Nur Hana mengangguk faham sambil menunjukkan isyarat ibu jari.

"Nak pegang boleh tak?" dia tersenyum menampakkan giginya yang tersusun rapi.

"Boleh tapi pakai glove ni dulu. Kotor tangan tu nanti," Izhan menghulurkan sarung tangan kain kepada Nur Hana.

Nur Hana menguak rambutnya ke belakang dan mengikat rambut panjangnya dengan getah rambut bewarna merah jambu yang ada di pergelangan tangannya. Izhan memerhati tanpa kelip, hati lelakinya terusik. Dia terpaku.

"Izhan, glove?" Nur Hana memanggil nama Izhan. Pegangan sarung tangan kain dari tangan Izhan masih belum dilepaskan.

Bagai terjaga, segera Izhan melepasnya. Beristiqfar panjang Izhan bila dia jadi begitu sebentar tadi.

"Jangan percayalah dengan Izhan tu, dia kelentong kuat tu dik," suara Pak Ngah memecahkan dunia Izhan dan Nur Hana. Izhan tersengih.

Mohd Hafiz atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah tersenyum melihat gelagat Izhan yang sedikit kekok melayan gadis kecil molek itu. Dia terperanjat pada mulanya, belum pernah Izhan bawa sesiapa ke bengkelnya.

"Ajar sikit-sikit aje Ngah, kejap lagi nak abis."

"Awek kau ke Izhan?" sengaja Pak Ngah tanya depan Nur Hana. Mana tahu betul.

"Bukanlah Pak Ngah, adik paling bongsu." Lawak Izhan tak menjadi, dia menerima jelingan tajam Nur Hana.

"Err... Pak Ngah, itu motor apa ye?" jari Nur Hana menunjuk ke arah sebuah motosikal yang hanya ada rangka, tayar dan injin. Rangka motosikal itu berwarna ungu berkilat, agak panjang jika dibandingkan dengan motosikal yang lain. Tayarnya juga lebih kecil. Tempat duduknya hanya beralaskan papas nipis.

LelakiWhere stories live. Discover now