LELAKI : BAB 2

13 0 0
                                    


Jumaat, Shah Alam.

PINNNNN!!!!

Muhammad Izhan menekan keras punat hon pada motosikalnya. Motor kapcai buatan Suzuki berkapasiti 120 cc itu menjerit nyaring. Walaupun usia motosikal itu sudah menjangkau 30 tahun, tapi sistem penggeranya dinaiktaraf dari jenama Bocsh. Mampu mengeluarkan 150 desibel kekuatan bunyi. Nampak terkejut pemandu Produa Axia hijau hingga Izhan perasan bahu pemandunya sedikit terangkat.

"Signal mana???!!!"

Izhan menjerit sambil mengangkat vizor helmet. Padahal suaranya entah kan tidak dapat didengari pemandu wanita itu. Dia memang cukup panas jika ada pemandu motokar yang malas memberi isyarat hendak membelok atau masuk ke simpang. Kawasan roundboard kalau malas nak bagi signal, boleh makan tar jalan dibuatnya.

Tanpa menoleh, terus Izhan memecut laju keluar dari bulatan seksyen 2 menuju pintu gerbang utama Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Selesai mengangkat tangan pada penjaga pagar, dia terus ke Fakulti Kejuruteraan. Ada perjumpaan dengan pensyarahnya. Harap-harap, ini kali terakhir dia ke sini. Bisik hatinya.




Pejabat Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Elektrik(FKE).

"Maksud puan?" Izhan mengerutkan dahi kurang faham dengan permintaan Puan Kartini.

"Saya ada seorang student ni, dia tengah siapkan satu tesis yang tajuknya Kerosakan Alam, Kenderaan Konventional versus EV,"

"Dalam tesis tu ada satu bab tentang enjin, komponen enjin, jenis pembakaran dalaman dan sebagainya. Keseluruhan tesis tu okey tapi bab enjin tu sendiri membuatkan tesis tu nampak macam kartun,"

Izhan tergelak sedikit. Geli hati mendengar perkataan kartun.

"Nampak macam pelajar saya ni ada buat reserch pasal enjin tapi banyak berlegar-legar dalam internat dan google aje. Nampak sangat takde pengalaman dengan bidang mekanikal ni. Saya dah minta dia untuk banyak bertanya, membaca... tapi bab enjin dalam tesis tu masih nampak tak kuat, nampak lemah. Jadi dekan tak suka,"

Izhan masih mendengar.

"Saya tak dapat nak membantu sangat sebab saya sendiri pun kurang arif pasal bidang ni. Esok pun saya dah mula cuti bersalin. Jadi... saya nak minta tolong awak untuk bantu dia. Mungkin dalam semingggu dua ni, dia boleh betulkan bab tu?" Puan Kertini menambah.

Izhan ligat berfikir. Atas alasan apa aku nak mengelak ni?

"Awak ada sijil kelayakan sebagai Jurutera Injin Pembakaran Dalaman gred satu kan? Kalau ikut rekod, sijil ni diiktiraf Jabatan Keselamatan Pekerjaan," senyuman serius terbit dari bibir Puan Kartini.

"Err... mana puan tahu?" Izhan terkejut. Setahunya hanya majikan lamanya sahaja yang tahu dia ada sijil kelayakan itu.

"Saya tengok fail awak. Masa awak mula-mula apply untuk jadi part time student, awak ada hantar sijil tu sekali."

Izhan terdiam.

"Saya perlu awak bantu dia, saya harap budak tu boleh konvo tahun ni. Saya taknak disebabkan tesis tu dia tak dapat grad. Kalau awak boleh tolong, dia pun boleh konvo bulan sembilan ni nanti," sedikit keluhan di lepaskan.

Izhan sedikit serba salah. Bukan dia tak mahu membantu, tapi takut akan jadi beban pada dia. Sebelum dia bersetuju, dia mahu memastikan sesuatu.

"Saya sekadar tolong aje kan? Yang buat tesis tu masih dia kan?" Izhan mahukan kepastian.

Puan Kartini mengangguk.

"Saya tak perlu buat kelas atau perbincangan formal?"

Puan Kartini menggeleng. "Rasanya awak akan lebih banyak menolong dalam email atau WhatApp. Macam tesis awak jugak. Balas email, pastikan isinya betul, penggunaan term-term yang betul dan lain-lain,"

LelakiWhere stories live. Discover now