BAB 3

1.5K 111 0
                                    

JAM di dinding sudah menunjukkan pukul 10 malam. Namun Ainnun masih belum kelat. Pelupuk matanya masih ringan dan segar bugar. Entah kenapa malam ini terasa seperti terlebih vitamin sahaja. Selesai membersihkan diri dan makan malam, Ainnun memasang niat untuk bersantai di beranda rumahnya. Bersama secawan milo panas dia tekun menatap skrin komputer riba tanpa mempedulikan suasana yang semakin sunyi.

Fokusnya tidak terganggu walau sedikitpun. Jemarinya tetap lincah menaip di papan kekunci. Ada ketika dia akan berhenti menaip jika ketandusan idea. Milo panas yang sudah suam disisip sedikit untuk mencari ilham. Setelah ideanya datang kembali dia sambung menaip. Inilah rutinnya jika ada masa lapang. Ainnun gemar menulis. Dia menulis apa sahaja yang terlintas di kepalanya. Diari ataupun cerpen pendek. Itulah bakat terpendam yang ada pada Ainnun. Segala koleksi cerpen tersimpan rapi di dalam laptop untuk dibaca sendiri. Belum ada niat hendak menghantarnya sebagai manuskrip. Namun, itu adalah salah satu impiannya dari dulu. Jika ada rezeki, dia tidak akan menolak. Buat masa ini, Ainnun masih belum bersedia.

Ainnun yang sedang khusyuk menaip seakan tidak menyedari malam sudah terlalu lewat. Dia melihat jam di telefon pintar menunjukkan pukul 11.30 malam. Rupanya selama dua jam dia berada di luar. Barulah Ainnun berasa letih dan mengantuk. Tubuhnya tiba-tiba kedinginan. Tanpa membuang waktu, dia segera menutup komputer riba dan membawanya masuk bersama dengan cawan milo yang kosong.

"Ain buat apa?" Soal Puan Salmah apabila terlihat Ainnun berjalan dari arah dapur.

"Basuh cawan."

"Ain menulis ya?"

Ainnun hanya mengangguk. "Kenapa ibu tanya?"

"Ingatkan Ain dah tidur."

"Kejap lagi nak naik atas masuk tidur. Ibu kenapa berjaga lagi? Tunggu ayah ke?" Soal Ainnun.

"Macam biasalah, ayah tu kan AJK surau. Setiap minggu ada mesyuarat."

"Kalau macam tu Ain naik dulu lah ibu." Ainnun berpaling.

"Ain..."

Langkah yang baru dibuka segera terhenti. Ainnun menoleh. "Ya, ibu?"

"Sinilah duduk dengan ibu." Pelawa Puan Salmah yang sudah melabuhkan punggungmya di sofa.

"Ada apa ibu?" Sebagai anak, dia tidak mahu menghampakan ibunya. Walaupun rasa penat menjalar di seluruh tubuhnya, Ainnun tahankan saja. Dia duduk di sebelah dan menanti maklum balas Puan Salmah.

"Ibu nak tanya sesuatu boleh?"

"Boleh. Ibu nak tanya apa?" Ainnun bersandar sambil terkebil-kebil melihat wajah ibunya.

"Dari semalam ibu perasan Ain selalu termenung. Macam kusut. Ada apa-apa yang Ain nak kongsi?" Puan Salmah bertanya lembut.

Pandangan mereka bersabung tanpa sebarang kata. Lidah Ainnun kelu untuk membalas soalan itu. Sememangnya Ainnun sedang dilanda masalah. Cuma belum ada kesempatan untuk bercerita. Tak sangka ibunya dengan mudah menangkap perubahan sikapnya kebelakangan ini.

"Ain ada masalah dekat tempat kerja." Ainnun jeda seketika. "Sebenarnya Ain bukan cuti, tapi Ain berhenti kerja dari minggu lepas." Ucap Ainnun dengan perasaan hiba.

"Berhenti sebab apa?" Tenang saja nada Puan Salmah semasa bertanya.

"Tempat kerja Ain dah tukar bos baru. Jadi sistem kerja dengan bayaran gaji pun dah lain. Ain tak selesa kerja dekat sana, dah tak ada hati. Ain minta maaf sebab tak beritahu sebelum berhenti. Tapi ibu jangan risau, Ain akan cari kerja baru sebab kawan Ain nak tolong." Jelas Ainnun panjang lebar. Wajah Puan Salmah dipandang lama.

Puan Salmah hanya tersenyum setelah mendengar luahan anaknya. Hati seorang ibu sangat mengetahui, tidak susah untuk meneka apa yang sedang bermain di fikiran anak gadisnya.

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now