"Ain, ibu nak tanya sikit boleh tak?" Soal Puan Salmah tiba-tiba.

"Apa dia ibu?" Balas Ainnun dengan mata yang terkebil-kebil.

"Masa belajar di universiti, Ain tak ada berkawan dengan sesiapa ke?" Puan Salmah mencungkil cerita.

"Ada." Jawabnya sepatah.

Mata Puan Salmah sudah bersinar. "Siapa?"

Ainnun semakin pelik dengan soalan ibunya. "Ramai. Tapi Ain rapat dengan Hajar..."

"Maksud ibu kawan lelaki." Cantas Puan Salmah. Dia tidak mahu berkias memandangkan Ainnun seorang yang naif kalau bab hubungan di antara lelaki dan perempuan.

"Setakat kawan untuk buat group assignment dengan program tu adalah." Terang Ainnun.

"Lebih dari tu?" Puan Salmah semakin ingin tahu.

Mendengar soalan itu membuatkan Ainnun kelu untuk membalasnya. Sel neuron di otaknya cuba mengarang jawapan untuk berdalih.

"Apa maksud ibu?"

"Maksudnya, ibu tengok anak dara ibu ni cantik, lemah lembut, bijak dan sopan. Takkan tak ada yang berkenan dengan Ain?" Puji Puan Salmah bersama senyuman manisnya.

Saat itu pipi Ainnun sudah membahang malu.

"Mana ada cantik. Ramai lagi di universiti tu yang lebih cantik dari Ain."

"Ibu puji bukan sebab Ain ni anak ibu tau. Kawan-kawan ibu semua cakap benda yang sama. Siap tanya Ain dah berpunya ke belum? Ibu bangga sangat ada anak macam Ain. Dan ibu harap, budi pekerti Ain pun sama elok. Macam Saidatina Aisyah." Puji Puan Salmah lagi.

"Tak adalah ibu. Jauh sekali nak dibandingkan. Ain belum terfikir nak cari. Ain nak fokus dengan hidup dulu. Baru fikir soal kahwin." Biarpun klise, hanya itu yang mampu diucapkan.

"Ibu bukannya memaksa. Cuma ambil tahu. Zaman sekarang tak seperti dulu. Ibu kena peka dengan siapa Ain berkawan. Bercinta. Kalau dah ada yang tersimpan dalam hati cepat-cepat beritahu pada ibu. Kita teruskan, beres." Ucap Puan Salmah.

"Akak nak kahwin ke ibu?" Kedengaran suara asing mencelah. Masyitah yang terdengar perbualan kakak dan ibunya terus menghenyak punggungnya di kerusi.

"Orang berbual jangan menyampuk. Ayah mana?" Soal Puan Salmah kehairanan. Di mana sajalah suami tercintanya itu?

Masyitah angkat bahu. "Dalam bilik lagi agaknya. Tapi betul ke akak nak kahwin ibu?"

"Kalau betul pun kenapa?" Tanya Ainnun dengan muka selamba.

"Masalahnya ada ke orang nak dekat akak?"

Masyitah tersenyum nakal manakala Ainnun sudah terlopong. Spontan cubitan Ainnun mendarat di lengan adiknya. Masyitah mengaduh kecil dek penangan cubitan berbisa dari kakaknya.

"Mak tengoklah akak ni. Suka cubit-cubit..." Gadis itu merengek manja sambil menggosok lengannya.

"Eleh, mengada-ngada! Bukannya kuat pun. Kau yang tak tahan sakit." Ejek Ainnun. Setakat cubitan kecil itu apalah sangat.

"Eeii... garang macam ni tak ada siapa yang nak!" Ucap Masyitah dengan wajah cemberut.

"Masyitah..." Tegur Puan Salmah tidak senang dengan gurauan anaknya.

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now