0 2

1.7K 112 3
                                    

MALAM Ramadan pertama, selepas tarawih. 10.15 malam.

Ai berjalan perlahan-lahan sembari menolak basikal. Dia bersendirian kerana sememangnya dia ke masjid itu tidak ditemani sesiapa. Mak dan adik-adiknya solat tarawih di surau berdekatan rumah.

Walaupun tadi mak sempat menghalang dia ke masjid yang menurut mak jauh dari rumah, dia sedikit pun tidak peduli. Dia tetap tunjuk keras kepala. Sewaktu jalan mak lurus ke surau, dia pula lencongkan jalannya ke sini.

Dia memilih solat di sini bukan kerana Ar. Petang tadi Ar ada menyebut mereka akan berjumpa di masjid itu.

Sehingga habis solat tarawih, jemaah masjid berpusu-pusu pulang ke rumah masing-masing, jangankan Ar, bayang Ar pun dia tak nampak di mana-mana.

Biarlah. Dia tidak menunggu Ar. Dia sengaja memilih solat di sini. Bukan sebab Ar, bukan juga sebab dia sukakan suasana masjid ini. Lebih kepada dia ingin melarikan diri dari insan-insan yang tak ingin dia jumpa di surau ataupun di masjid di seberang sekolah. Tak perlulah dia sebut siapa insan-insan itu.

Ai melepas keluhan dalam. Petang tadi ayah pulang ke rumah. Jika dahulu dia selalu menantikan kepulangan ayah.

Hampir setiap hari dia bertanya kepada mak bila ayah akan pulang. Setiap kali mak menjawab malam ini bukan giliran ayah di rumah mak, dia akan mengeluh kehampaan.

Dia hanya ada seorang ayah, tetapi kenapa dia perlu ada tiga orang ibu? Tak cukup ke mak yang melahirkannya sehingga dia perlu ada mama dan ibu pula?

Dia tak suka perasaan yang kuat mengambang dalam dadanya. Perasaan yang hampir dekat dengan perkataan yang bernama benci.

Dia meluat melihat muka ayah sendiri. Semakin lama perasaan meluat itu semakin besar, sukar untuk dia bendung. Dia tahu perasaan ini salah. Sungguhpun begitu bukan hal mudah untuk membendung perasaan sendiri.

Arloji di pergelangan tangan dilirik sekilas. Ditekan punat di tepi kepala jam yang menghasilkan cahaya. Cepat masa berlalu. Dia masih berjalan seperti orang kehabisan tenaga sedangkan laluan itu semakin sunyi.

Seharusnya dia mengayuh basikal, bukan berjalan seperti orang bodoh seolah-olah basikalnya rosak. Dia benar-benar tidak ingin cepat pulang ke rumah. Kalau boleh dia ingin tidur di jalanan.

Pukul 10.30 malam. Kalau ayah masih mengikut kebiasaan seperti tahun-tahun sudah, waktu ini ayah pasti duduk di sebuah kerusi plastik di hadapan rumah sambil menghirup secawan kopi pekat.

Jarang-jarang ayah akan berbual dengan abang long. Lebih banyak masa ayah hanya bersendirian di situ sambil merenung pekat langit malam.

Dia tak pernah ambil kesempatan itu untuk berbual dengan ayah. Dia sudah lama hilang rasa untuk memeluk kasih ayah sendiri.

Sejak dia berumur sebelas tahun dia belajar untuk melupakan hangat pelukan seorang lelaki bernama ayah.

Untuk apa dikejar sesuatu yang semakin dikejar semakin pantas meninggalkan kita? Biarlah begini.

Dia penat cuba meraih perhatian ayah. Ayah tidak akan nampak walau apa pun yang dia lakukan.

Dalam asyik fikirannya melayang, bunyi derap kaki yang tiba-tiba terdengar membuat dia berjaga-jaga dengan setiap langkah yang diambil. Dia memandang kiri dan kanan jalan.

Sunyi... Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang terdengar di pendengarannya.

Siapa di belakangnya?

Pendengarannya ditajamkan, mengira jejak yang mampir di telinga. Dia yakin yang mengekorinya hanya seorang.

“Jangan berhenti.” Suara itu menahan langkah Ai yang mahu berhenti.

“Jalan terus. Saya ada kat belakang awak.”

Kisah Ai Dan ArWhere stories live. Discover now