Bab 11

6.7K 438 116
                                    

AKAD nikah berlangsung secara ringkas di Darul Iman selepas solat maghrib. Mengenangkan kesihatan Zaharah perlu diberi perhatian, mereka hanya buat yang wajib sahaja.

Apabila upacara pembatalan air sembahyang selesai dijalankan, Zafran dan Ishak bergerak ke masjid untuk menunaikan solat isyak berjemaah di samping mengumumkan pernikahan antara Zafran dan Aina kepada orang kampung. Tanda tanya jemaah dibiarkan Ishak sahaja yang menjawabnya.

Biarlah apa yang diperkatakan orang, Zafran yakin Aina adalah pasangan hidupnya seperti mana Allah menjadikan Hawa untuk Adam.

Esok, pasti kecoh mengenai berita pernikahan mereka. Bisik-bisik berbau bawang di kilang akan bertebaran seperti sekumpulan lebah terbang mencari debunga. Warung kopi di hujung jalan akan memulakan sesi pendebatan mengalahkan sidang Dewan Parlimen. Pewaris Mekar Holdings bernikah dengan pekerja sendiri.

Mujurlah esok hari Jumaat, mereka cuti hujung minggu. Aina menaruh harapan apabila Ahad mereka memulakan kerja, semuanya reda.

Malam ini, boleh dikatakan tidak pernah surut wajahnya dengan kemerahan itu. Panas berpijar berlarutan dek menahan malu apabila diusik Azam dan adik-adik yang lain di Darul Iman. Lega apabila Zafran mencadangkan agar mereka beransur pulang ke rumah Zaharah.

Terasa jauh pula perjalanan mereka dari Darul Iman ke rumah Zaharah. Walhal biasanya perjalanan cuma mengambil masa tak sampai lima minit. Perlahan benar Zafran memandu keretanya malam itu.

"Awak tak kisahkan kita tak bermalam di rumah walid malam ni." Zafran memecah tembok kesunyian mereka.

"Saya faham. Seperti yang kita rancang." Aina menjawab ringkas. Tidak perlu dibahaskan tidur di mana malam pertama mereka. Kerana itu tidak akan terjadi.

"Saya nak beritahu awak, Sabtu nanti Azman dan pekerja saya akan ke mari. Saya nak kenalkan mereka pada awak." Zafran mengerling ke arah Aina. Melihat respon isteri yang baharu dinikahinya tenang-tenang sahaja.

"Nak saya sediakan apa-apa?"

"Kalau tak menyusahkan awak, boleh juga." Zafran senyum. Kereta yang dipandu memasuki perkarangan banglo dua tingkat.

Akhirnya sampai juga. Aina menghela nafas lega. Berlama-lama dengan Zafran di dalam kereta boleh buat dia sesak nafas sekali lagi.

Mujurlah dia tiada penyakit asma. Jika tidak, entah berapa kali dia terpaksa berulang alik ke pusat kesihatan untuk menyedut gas. Mengembangkan rongga dadanya.

"Kalau macam tu, awal pagi esok saya ke pasar. Boleh tak?"

"Kita pergi sama-samalah." Zafran cepat-cepat membalas.

"Tak menyusahkan ke?" Aina mencari alasan agar dia dapat mengelak dari lelaki itu terus melekat dengannya.

Zafran senyum. Beza benar Aina yang dikenali sebelum mereka bernikah. Sebelum ini asyik hendak meningkah sahaja setiap katanya. Kali ini lembut sahaja nada biarpun masih ada batas-batas malu padanya. Seperti pertemuan pertama mereka di hospital.

"Look Aina, kita dah husband and wife. Kalau boleh saya nak kita spend more time together. Buat bersama-sama. Jadi kita dapat saling mengenali. Awak kata awak nak berkenalan dengan saya."

Aina menelan air liur kelat. Zafran lebih bersifat terbuka dengannya. Namun dia masih belum dapat mengadaptasi dirinya dengan situasi yang baru berlaku.

"Okey. Tapi awal-awal ni saya rasa kekok. Sebab sudah biasa buat sendiri. Jadi awak jangan terasa hati, ya." Aina mengalun suara lembut, risau juga Zafran terasa hati dengan sikapnya tadi.

Mereka membuka tali pinggang keledarnya sebaik kereta berhenti. Zafran masih belum mematikan enjin kereta. Mahu berbicara dengan Aina, sebelum mereka memasuki rumah.

Kerana Dia Aina Isabelle  Donde viven las historias. Descúbrelo ahora