Anita mendesah, menampar dahinya dengan kepala yang tergeleng-geleng. Aku tiba di hadapanya dengan termengah-mengah, "Saya minta maaf, saya... Saya akan cuba untuk jadi jahat lepas ni, Anita."

"Tak Ali. Bukan macam tu maksud saya."

"Tak apa... Saya boleh jadi jahat. Saya boleh buat apa sahaja. Beri saya peluang."

"Awak tak akan boleh. Kita tak serasi, Ali."

"Saya jahat Anita! Saya jahat!"

Anita menunduk lama dan mengangguk sebelum melihat ke bola mata aku yang berbinar, "Apa benda jahat yang awak pernah buat? Awak hisap rokok, minum arak, dadah... Atau... Atau awak pernah main dengan perempuan di belakang saya sebelum ni?"

Kata-kata Anita membuatkan aku tertelan kata-kata. Anita mengerut dahi seakan menunggu jawapan dengan wajahnya seakan mencebik, "Pernah Ali?"

Aku memandang ke sekitar. Di kiri dan kanan terlihat wajah-wajah gembira yang berlalu meninggalkan padang, melintasi kami berdua yang sedang dalam keadaan yang tegang. "Saya...Saya pernah melancap." Kata aku perlahan. Anita terlongo. 

"Saya pernah melancap depan komputer ketika menonton America Next Top Model! Itu jahat bukan!" Kali ini aku menjerit kerana yakin itu perkara yang paling jahat pernah aku buat.

Seorang makcik yang membawa anak gadisnya melintasi kami. Mereka berhenti betul-betul di sebelah aku dan memandang dengan wajah yang terpempan. Aku cuba untuk tersenyum dengan muka yang cuak. Makcik itu menekup telinga anaknya dan bersegera pergi dengan menyumpah seranah.

"Please, saya akan jadi yang terbaik untuk awak, maksud saya, yang terjahat. Saya sanggup buat apa saja." Aku cuba memegang bahunya tapi ditepis.

Anita berpaling sambil berpeluk tubuh lalu melihat jam di tangannya. "Awak tau tak hari ni hari apa?" Soal Anita.

"Errr...Tahun baru?"

"Tahu la tahun baru, tapi hari ni hari apa."

"Selasa?"

"Erghhh!" Anita berlalu meninggalkan aku dan berjalan dengan laju menuju ke arah keretanya. Cepat-cepat aku mengejar dan mendongak ke langit apabila terdengar bunyi meletup. Cahaya putih terlihat di sebalik banggunan Putrajaya bersama petir yang memanah menandakan hujan yang mahu turun. "Anita...Tunggu Anita!"

Walaupun mempunyai sepasang kaki yang pendek, langkah kaki Anita panjang dan dia sudah berada di dalam keretanya. Anita memejamkan matanya rapat-rapat. Pintu keretanya ditutup, dikunci dan membiarkan aku terkulat-kulat seorang diri bersebelahan pintu. Wajah aku bertambah sayu dan hanya tegun menunggu jika Anita berubah fikiran. Mungkin dia terlampau emosi. Atau datang bulan. Mungkin kerana gajinya belum masuk atau cutinya tidak diterima majikan membuatkan moodnya tidak baik. Aku menunggu lagi, sehingga cermin keretanya diturunkan. Kami saling bertatapan, tanpa sedar itu adalah tatapan terakhir Anita kepadaku.

"It's over Ali. Kita dah tak ada apa-apa. I minta maaf."

Kata-katanya itu tidak berbalas. Aku hanya mampu menangguk lemah dengan keputusannya. Cermin kereta Anita melangsar naik kembali. Dia memakai cermin mata hitam dengan penuh bergaya. Walaupun tengah malam buta begini. Mungkin kerana dia ingin menutup kekecewaannya dengan air mata yang tumpah, atau kerana stylo kerana ia cermin mata yang baru dibelinya dari seller RayBan_CopyOri di Instagram .

Anita memulas stereng dan cuba untuk mengundur, ke hadapan, mengundur kembali tetapi ruang parkir terlalu sempit untuk kereta Vivanya keluar. Aku masih lagi berdiri tercegat di sebelah, selama dua minit, melihatnya yang menyumpah seranah namun tak dengar suaranya yang sedang memaki hamun di dalam kokpit. Perlahan-lahan aku mengetuk tingkapnya dan meminta izin untuk membawa keretanya keluar dari petak parkir. Wajahnya mencuka beserta marah. Anita tiada pilihan lain selain mengikut dan membenarkan aku membawa keretanya keluar dari bahu jalan. Dengan sekali kilas, keretanya berjaya dikeluarkan dan diparkir pada laluan yang selesa. Tanpa terima kasih Anita menolak cermin mata hitamnya ke atas batang hidung lalu mendengus, "Jangan nak baik sangat la!" Bentak Anita. Dia masuk ke dalam keretanya dan menghempas pintu dengan kuat. Aku berada di tempat yang sama aku berdiri sebentar tadi. Sekali lagi Anita hampir pula melanggar seorang pejalan kaki yang sedang menyeberangi jalan.

Buka cermin mata hitam tu Anita. Bisik aku di dalam hati. Anita pergi dan menghilang dalam malam pesta tahun baru. Aku hanya berdiri melihatnya pergi buat kali terakhir dan selama-lamanya mungkin, kami tidak akan bersua kembali. Langit bergeruh dan bergempita sekali lagi. Beserta hujan yang merintik dan akhirnya melebat. Orang ramai bertempiaran lari ke tempat teduhan. Aku hanya tegun seperti patung di tepi asfal. Melindungi kepalaku dengan surat khabar; merenyuk dan layu dan berdebur terkoyak jatuh ke tanah. Sebelum tersedar, aku mengetap bibir menahan geram kerana surat khabar itu masih lagi belum sempat dibaca. Rugi seringgit lima puluh sen.

FANTASTIKWhere stories live. Discover now