BAB 1 : SCENE 2

2.6K 91 43
                                    


Bunga api habis meletus dan kesemua orang mengangkat punggung untuk pulang, melipat kain dan tikar, melemparkan bungkusan kulit kuaci ke udara dengan semangat tahun baru. Kecuali penyanyi Akedemi Fantasi yang terkeluar minggu ke-3 sebentar tadi, dia menyambung semula nyanyiannya dengan mendendangkan lagu M.Nasir pula. Kali ni suaranya bertambah sumbang apabila tidak dapat menarik korus dengan baik. Vokalnya terpecah. Saling tak tumpah seperti itik yang jatuh ke dalam perigi. Namun dia bersemangat dan terus menyanyi walaupun sedar tiada siapa berada di hadapan pentas.

Kami masih lagi di atas bentangan surat khabar di belakang padang. Ketika aku mahu bangkit Anita memegang lembut pergelangan tangan aku untuk duduk sebentar. Aku ingat ada bunga api lagi. Macam dalam filem, di hujung kredit ada lagi sedutan pendek untuk filem akan datang. Jadi aku dongak sekali lagi ke langit untuk melihat kejutan terakhir. Anita mendesah panjang, bukan pasal bunga api, Katanya perlahan.

Kali ini dia menyentuh bahu aku dan merapatkan bibirnya yang tebal itu menghampiri ke wajah. Mula-mula aku ingat dia nak cium aku, french kiss, dan aku pejamkan mata menunggu bibirnya yang gebu itu untuk sampai ke bibirku. Aku kata Yes! (Tapi dalam hati). Dalam masa yang sama aku gugup. Perlahan-lahan aku membilas bibirku yang kering dengan hujung lidah dan merasakan karemel bertih jagung, air soya dan sembilan puluh sembilas peratus hormon yang meletus kegembiraan. Dan bibirnya tersasar menuju ke cuping telinga, dengan suaranya yang berdesir. Agak lambat, namun dia menyusun ayat-ayatnya dengan berhati-hati.

"Kita clash." Katanya dihujung ayat. Tidak seperti tadi, kali ini aku dengar dengan jelas. Ini adalah malam terakhir kita, katanya lagi. Kemudian dia meminta maaf, menunduk dan berpaling ke arah lain.

Aku hanya senyap kerana tersesat di dalam kata-katanya. Kami berdua terdiam sejenak dan aku memandang ke arah helaian rambutnya yang ditiup angin. Beberapa utas rambutnya melibas ke wajahku yang masih lagi terpempan dan sama sekali tidak menyangka akan menerima berita sedahsyat ini.

"Tapi.... Tapi kenapa?" Soal aku dengan suara yang terketar.

Anita menunduk dan bingkas bangun mengambil tas tangannya. Aku turut bangun, "Kenapa, apa yang tak cukupnya dengan saya. Apa salah saya." Soal aku lagi.

"Awak terlalu baik buat saya." Jawab Anita.

"Baik?" Jawapan itu membuatkan aku lebih tersesat. "Baik, baik yang macam mana?"

"Awak seorang lelaki yang tak sesuai untuk saya. Saya banyak kelemahan berbanding awak, Ali."

Waktu itu, pada detik dan saat itu aku berharap agar ada bunga api yang tersasar dan jatuh mengenai kami, meletup dan berkecai, melambungkan tubuh kami dalam pecahan daging yang berserakkan di atas bonet kereta, pada asfal dan juga memaliti wajah geng rempit yang baru start motor untuk buat willy. Para pengunjung menjerit ketakutan. Beberapa orang gadis sekolah agama disampuk histeria dan esoknya masuk Whatsapp group yang dicopy dari group sebelah tentang sepasang kekasih yang dilaknat Tuhan pada malam tahun baru, dengan tajuk Tuhan Bayar Cash!

Aku rasa, aku memang dah kena laknat. Ini antara yang entah keberapa belas kali cinta aku ditolak oleh wanita. Aku berharap perhubungan aku bersama Anita akan berkakhir ke jinjang pelamin bewarna turquoise dengan bunga plastik, kain satin dan bunga manggar dan, hampeh! Aku tak boleh berfikir lurus sekarang.

"Si...Si...Siapa kata saya baik? Siapa? Saya jahat tau." Kata aku yang memintas Anita apabila dia mula mahu melangkah pergi.

"Awak baik, Ali."

"Tak... Saya jahat. Saya jahat gila."

Anita berhenti dan berpaling ke arah aku. Aku mengejarnya sekali lagi dan terhenti apabila teringat sesuatu sebelum berpatah balik untuk mengutip surat khabar yang menjadi alas tempat duduk kami. Surat khabar tu aku beli pagi tadi dan tak baca lagi. 'Sekejap ya..." Kata aku sambil melipat elok-elok helaian kertas surat khabar yang merenyuk. Aku kembali mengejarnya setelah membuang semua sampah di sekitar, botol-botol mineral, plastik keropok super ring dan juga ketas bungkusan takoyaki.

FANTASTIKWhere stories live. Discover now