BAB 33

6.7K 207 6
                                    

Aisya bersandar pada kabinet dapur mengelamun. Beberapa hari ini dia sudah cuba memadamkan perasaan sayangnya pada Ustaz Kamal tetapi malangnya masih gagal. Dan tidak sangka hari ini Ustaz Kamal dapat menjejaknya di kampung, tapi bagaimana ustaz tahu? Dia menggosok dagunya berfikir adakah dia pernah memberitahu kampung asalnya pada ustaz, rasanya tidak pernah.

"Eca!" Mak Zah menggawang-gawangkan tangannya dihadapan wajah anaknya itu. Aisya tersentak, tidak sedar pula sejak bila emaknya sudah didapur bersamanya.

"Amboi jauh berangan, teringat sapa tu. Eca, ada apa-apa tak minuman mak nak bancuh kat tetamu tu." Mak Zah membuka satu demi satu kabinet dapur Homestay Melati itu, sambil mengagumi design dalaman rumah kampung lama yang diubahsuai selera moden.

Aisya masih membisu, fikirannya terlalu sarat dengan perasaan yang tidak terungkap dan persoalan demi persoalan. Semuanya kerana hadirnya Ustaz Kamal tiba-tiba kembali kedalam hidupnya. Tangannya mengambil paket milo 3-in-1 dalam laci dan menghulurkan pada emaknya.

Emaknya menggelengkan kepala melihat Aisya, simpati tetapi rasa ingin tahunya lebih mendominasi ketika itu.

Mak Zah mengintai sebalik tirai dapur, melihat Pak Azam seperti sedang membincangkan sesuatu dengan lelaki muda yang kemas bergaya itu, sesekali emak lelaki tersebut menyampuk. Entah apa perbualan mereka tetapi nampaknya seperti serius.

Kemudian Mak Zah menoleh melihat anaknya yang seperti bingung. Dia menghampiri Aisya, bahu Aisya diusap lembut.

"Sapa depa tu Aisya? Awat sejak depa mai mak tengok hang macam tak tentu arah ni?" Mak Zah mencari anak mata Aisya yang mendung, kemudian merenung sepasang mata kuyu anaknya itu.

"Eh kawan Eca, tak ada apa-apalah mak, mana ada tak tentu arah." Aisya membetulkan tudungnya kemudian berpura-pura sibuk mengambil jug yang sudah dibersihkan Mak Zah lalu dibasuh sekali lagi.

"Haa tengok tu. Jug tu basah lagi mak basuh tadi depan mata hang, hang duk cuci lagi. Apa yang tak kena ni Eca. Eca tak mau share dengan mak apa-apa lagi ka...?" Mak Zah merenung mata Aisya kemudian dilarikan semula, nadanya bertukar sayu.

Mungkin terlalu lama mereka berpisah hingga Aisya itu sudah selesa memendam rahsia sendiri, Mak Zah cuba menerima hakikat dia tidak sepenting dulu lagi dalam hidup anaknya itu.

Aisya menjadi serba salah, tangan tua ibunya ditarik dan digenggam erat.

"Mak, salahkan untuk kita membina bahagia atas air mata orang lain?" Suara Aisya bergetar, ada nada hampa yang terselit. Dia melabuhkan punggungnya diatas bangku menghadap emaknya.

Mak Zah pantas menuang air panas dan serbuk milo kedalam jug, mengacau air dihadapan Aisya yang membenamkan wajahnya pada meja berbentuk bar itu.

Mak Zah menggosok kepala anaknya yang ditutup oleh tudung itu, Aisya mendongakkan kepalanya. Tidak menangis, tetapi wajahnya mendung sekali.

"Eca. Mak tak faham apa yang Eca cuba sampaikan. Tapi, betul, kita tak patut membina bahagia kita atas air mata orang lain, tapi kita patut mencipta bahagia kita sendiri, tanpa libatkan sesiapa pun dalam hidup ini. Semuanya bergantung dengan diri kita, dan kekuatan sini." Pesan Mak Zah sambil tangannya menepuk dadanya perlahan.

Dia menghulurkan dulang berisi air milo panas dan cawan kepada Aisya. Aisya menyambutnya, dan mengangguk kepalanya. Pesanan emaknya tadi benar-benar menusuk ke hatinya. Pokok pangkalnya dia harus kuat demi bahagianya sendiri.

Mereka beriringan menuju ke ruang tamu. Aisya menelan liurnya, gementar hati tidak terkata apabila matanya akhirnya bertembung dengan sepasang mata milik Ustaz Kamal.

***

"Minumlah Kak..." Mak Zah menuangkan secawan milo suam kedalam cawan untuk Nenek Kalsom dan kemudian secawan lagi untuk Ustaz Kamal. Aisya mengambil tempat disebelah bapanya, menghadap Ustaz Kamal dan emaknya, tetapi dia hanya menundukkan wajahnya.

Izinkan Aku Bahagia | COMPLETED |Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu