BAB 29

4.9K 197 17
                                    

"Mal tak cerita lagi dengan mak pasai dia tu..." Tiba-tiba Nenek Kalsom bersuara memecahkan kesepian pagi itu. Nasi lemak yang baru disuap ke mulut bagai tercekik sambalnya di tekak Ustaz Kamal, laju diteguknya teh o suam yang dibancuh emaknya itu.

"Dia tu sapa mak?" Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pula Ustaz Kamal ni.

"Mak si Aqif tu, siapa namanya? Mak lupa la... Haish dah tua..." Keluh Nenek Kalsom sambil tangannya mencedok tambah sambal kedalam nasi lemak anaknya. Tahu benar kegemaran anaknya itu, sambal sotong dengan nasi lemak.

Ustaz Kamal tersenyum simpul. Nenek Kalsom membuat muka menyampah dengan gelagat anaknya yang konon-konon malu itu.

"Aisya Hani mak."

"Oooo sedap nama." Nenek Kalsom mengangguk, sambil menghulurkan mangkuk nasi tambah kepada Ustaz Kamal yang sedang menjilat jarinya itu. Ustaz menolak sopan, sudah tiga pinggan dibedal pagi itu, dia tidak mampu menelan lagi.

Setelah mencuci tangannya, dia kembali duduk di meja makan itu menghadap emaknya. Air teh o suam diteguk perlahan. Dia merenung wajah tua itu demi mencari kekuatan mendapatkan jawapan sebenar tentang persoalan demi persoalan yang menyerbu hatinya sejak perbualan mereka pagi kelmarin.

"Mak... Boleh dak Mal nak tanya sikit?" Mata Nenek Kalsom ditenung dalam-dalam, meminta kejujuran emaknya walau pahit pun jawapan yang bakal diterima.

Nenek Kalsom mengerutkan keningnya, kepalanya dianggukkan beberapa kali meminta anaknya meneruskan kata-kata. Ustaz Kamal menelan liurnya.

"Kenapa mak boleh terima pilihan Kamal?" Ustaz Kamal melapangkan dadanya sebaik sahaja soalan itu meluncur laju dari mulutnya. Sesungguhnya dia benar-benar bersedia dengan segala kemungkinan.

"Awat tanya mak lagu tu? Kamal nak mak tukaq fikiran ka?" Ternyata kecewa sekali apabila emaknya membalas soalannya dengan pertanyaan kembali. Wajahnya ditundukkan.

"Sakinah? Bukan mak dah janji dengan bapak Sakinah?"

Nenek Kalsom menggeleng perlahan, bibirnya menguntum senyuman, biarpun kedut-kedutan pada kulitnya makin jelas kelihatan, tidak tenggelam manisnya itu, manis yang diturunkan pada satu-satunya anaknya itu, Ustaz Kamal.

Ustaz Kamal bingung dengan reaksi yang diberi oleh emaknya itu. Suasana antara dua beranak itu bertukar menjadi hening seketika.

"Emak bersusah payah besarkan hang selama ni, bagi makan pakai, bagi belajaq elok elok, bukan pasai apa Kamal. Pasai mak nak tengok hang bahagia dalam hidup hang, bahagia yang mak tak dapat bagi waktu hang kecik dulu." Lembut penjelasan emaknya bagai bermain dengan emosinya. Ustaz Kamal merenung wajah emaknya. Tiba-tiba rasa sebak menghurung hatinya.

"Lepas semua yang mak buat untuk tengok hang bahagia? Takkan mak nak paksa hang ranapkan balik untuk hang hidup dengan orang yang hang tak sayang." Nenek Kalsom mencelup tangannya dalam bekas air bersih yang disediakannya untuk membasuh tangan. Tisu dicapai dan dilap kering.

"Mak, mal tak faham? Janji mak dengan Haji Bakri yang mak cakap haritu? Mak tak pernah ajar Kamal mungkir janji." Suara Ustaz Kamal mengendur, berat sungguh rasa hatinya untuk menuturkan sebaris ayat itu.

Nenek Kalsom menutup mulutnya menahan ketawa.

"Hang ni lurus betoi percaya. Mak saja ja haritu ugut Kamal, ingatkan dah tua-tua ni tak dak marka yang hang bekenan. Mak risaulah tak dan jumpa menantu, sajalah mak nak kenenkan dengan Sakinah tu..."

Melopong Ustaz Kamal. "Zaman bila ni main janji-janji jodohkan anak. Haji Bakri tu ikhlas orangnya, dia tak minta balasan pun tolong kita dulu. Hang ni pun..." Sambung nenek Kalsom lagi.

Izinkan Aku Bahagia | COMPLETED |Where stories live. Discover now