BAB 3 - SOAL

7.4K 260 2
                                    

"Sudahlah miskin, tak ada bapak, beg pun buruk." Gelak Adi, disahut Din dan Muiz, tiga rakan itu memang tak puas-puas mengejek Aqif walaupun kelmarin sudah mendapat penumbuk sedas. Adi akui memang sakit penumbuk Aqif, sebab itulah dia ingin membalas dendam lagi terus supaya Aqif mendapat balasan. Aqif membatukan diri, dia tidak kisah pun diejek apa sahaja selagi hal ibunya tidak dibangkitkan. "Mak kau mesti bodoh macam kau sebab itulah bapak kau lari, bodoh." makin galak Adi menjolok sarang tebuan. Aqif bangun mengepal penumbuknya, nafasnya makin tidak keruan mendengus kuat.

 "ADI! APA KAMU KATA TADI?" jerkah seseorang dari belakang Aqif, Aqif turut tersentak dengan suara garau tersebut. Bersepah tiga orang rakan yang kononnya hebat tadi lari menyelamatkan diri. Aqif terduduk, matanya berkaca, dia tidak menoleh, tapi cuba mengatur langkah pergi dari situ perlahan-lahan.

Bahunya ditarik, wajah Ustaz Kamal direnung, namun kosong. Ustaz Kamal menarik Aqif dan memeluknya. Aqif terkejut dan rasa janggal kerana dalam hidupnya, itulah kali pertama Aqif dipeluk seseorang. "Melampau mereka itu, kamu jangan layan mereka, nanti ustaz ambil tindakan ya." Ustaz menepuk lembut bahu Aqif, Aqif mengangguk, lemah. 

Sepanjang hari Aqif tak dapat fokus dalam kelas, dia kata-kata Adi masih lekat dikepalanya. Persoalan yang dia tidak pernah terfikir selama ini tiba-tiba menghimpit perasaaan ingin tahunya. 'Kalau aku ada ayah kan hidup aku takkan jadi macam ni.'Aqif merintih dalam hatinya. Bunyi loceng yang menandakan waktu persekolahan telah tamat mengejutkan dia, segera dia menyimpan barang dalam beg dan mengatur langkah untuk pulang.

*****

Terik tengahari itu bagai menggigit-gigit kulit hitam manis anak kecil itu. Tiba-tiba sebuah kereta Toyota menyekat Aqif ditepi jalan. Aqif tersentak. 

Tingkap dibuka, wajah Ustaz Kamal tersenyum ikhlas.

"Eh Aqif, marilah naik, saya hantarkan..." 

Aqif berfikir sejenak, namun kulitnya yang semakin pedih dimamah mentari tengah hari itu tidak mengizinkan dia berfikir lama, dia terus mengangguk kepala sambil membuka pintu kereta. Ustaz Kamal menarik beg Aqif dan meletak di seat belakang supaya Aqif dapat bersandar selesa.

"Terima Kasih, Ustaz." Aqif senyum, manis.

"Kamu tinggal di mana?" Ustaz Kamal memulakan bicara. "Flat Nilam Sari, ustaz." Terbeliak mata ustaz. "Flat Nilam Sari? Jauh tu dari sekolah, kamu berjalan kaki setiap hari ke?" Aqif mengangguk, tapi masih tersenyum. Ustaz menyedari reaksinya agak keterlaluan, dia membalas senyum Aqif tanda meminta maaf.

"Kamu ada berapa beradik Aqif?" Soal ustaz lagak seorang polis sedang menyoal siasat. Sebenarnya dia ingin memancing hal sebenar dari Aqif kerana kelmarin telah heboh di bilik guru apabila Aqif menumbuk Adi, lalu ramai yang menyalahkan Aqif, dan hari ini, apa yang dia telah dengar dari mulut Adi sangat mengejutkan dia, kerana budak seusia itu tidak seharusnya bermulut puaka seperti itu. Rentetan peristiwa yang tidak menyenangkan itu mencetus rasa ingin tahu Ustaz Kamal tentang siapakah Aqif, dan kenapa dia rasa begitu senang dengan anak kecil itu dan percaya Aqif tidaklah jahat seperti yang diperkatakan ramai. 

Aqif senyum. "Saya ada ibu sahaja ustaz." Aqif tak tahu hendak menjawab soalan itu bagaimana. Dia sendiri keliru ketika guru mata pelajaran Bahasa Melayu memintanya membina ayat tentang keluarga, dia cuma kenal ibu. Dia tidak tahu ayah, abang,kakak , adik, apalagi datuk dan nenek. Ketika dia bertanyakan tentang datuk dan neneknya kepada ibu semasa dia berumur 7 tahun, ibu terus menampar pipinya. Sejak itu dia tidak berani lagi menyoal apa-apa kepada ibu. Gerun. 

Ustaz Kamal tersenyum, dia tidak mahu membebankan Aqif dengan soalan lain. Cukuplah setakat itu pada hari ini. Keretanya terus meluncur laju menuju Flat Nilam Sari.

Izinkan Aku Bahagia | COMPLETED |Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz