Bab 16

913 37 0
                                    

Kemunculan Durrah di pejabat pada hari Isnin itu memang menggemparkan rakan sepejabat. Banyak perubahan telah berlaku di sepanjang ketiadaannya. Ginny dan Kokila dah berhenti kerja. Jack dah turun pangkat. Dia bukan lagi ketua kumpulan. Dan yang paling memeranjatkan Durrah, Akid dibuang kerja.

"Kenapa tak beritahu aku pasal Akid?" Durrah memandang Azri yang nampak serba-salah.

"Nak beritahu macam mana? Kau tutup handphone. E-mel pun tak berbalas."

Durrah menghela nafas pendek. Dia menoleh ke arah Lela. "Apa kes ni? Kenapa kau sembunyikan daripada aku? Padahal hari-hari kita chat."

"Hmm... kau tanyalah dia sendiri." Lela kelihatan teragak-agak.

"Tanya siapa? Akid?" soal Durrah.

Lela menggeleng. "Tanya dia." Sebaliknya Lela menuding ke belakang Durrah.

Durrah berpaling ke belakang. Zharif sedang melangkah ke arahnya. Tiga bulan tak bertemu, mengundang gemuruh di dadanya. Entah ke mana hilangnya semangat keberanian yang selama ini begitu kukuh memenjarai perasaannya yang rapuh? "Tak perlu tanya dia. Buang masa!"

Tanpa menghiraukan Zharif yang semakin hampir, Durrah kembali duduk di tempatnya. Dia mula menyemak status tugasan. Maklumlah, dah tiga bulan tak hadir bekerja. Banyak perkara yang perlu dikejarnya dalam masa yang singkat.

"Durrah, boleh I jumpa you sekejap?"

Begitu lembut suara itu menyapa pendengarannya. Meremang bulu tengkuk Durrah. "Tak perlu. Cakap kat sini pun dah memadai." Sedikit pun Durrah tak mengangkat wajah untuk memandang lelaki yang berdiri di sisi kubikelnya itu.

"Ini hal peribadi. Tak perlu nak bincang depan semua orang." Zharif mula menunjukkan sikap keras kepalanya.

"Ini waktu pejabat. Tak sesuai untuk membincangkan hal peribadi!" kata Durrah tegas. Dia tak akan memberi muka kepada Zharif. Lelaki itu tak boleh membuli diri dan perasaannya lagi. Semuanya dah berakhir.

Zharif berlalu tanpa berkata apa-apa.

Durrah tersenyum puas. Satu berbalas kosong dan dia akan terus mengumpul mata kemenangan.

Sejurus kemudian ikon LAN chat bernyala. Tanpa berfikir panjang, Durrah terus menekan ikon itu dengan harapan Ginny yang menghantar pesanan. Namun, sebaik terlihat nama Zharif terpampang, barulah dia teringat yang Ginny dah tak bekerja di situ. Serta-merta hatinya dipagut kesayuan. Tambahan pula selepas terbaca mesej daripada Zharif.

Zharif : I minta maaf...

Agak lama juga barulah Durrah berkeyakinan untuk menjawab.

Durrah : Tiada maaf bagimu!

Ceh... dah macam pelakon drama aje gaya Durrah membalas.

Zharif : Kenapa you tak beri I peluang?

Durrah : Peluang untuk apa?

Zharif : Penjelasan...

Durrah : Tiada apa yang perlu dijelaskan.

Zharif : Ada. Tapi you terlalu ego

Hati Durrah panas tiba-tiba. Mahu saja dia merempuh masuk ke dalam bilik Zharif dan memaki hamun lelaki itu. Suka-suka nak menuduh Durrah yang bukan-bukan. Tapi dia tak berani. Dia masih belum yakin dengan kekuatan hatinya.

Durrah : I ego sebab nak lindungi diri sendiri

Zharif : Usah biarkan ego melindungi diri you. Izinkan I jadi pelindung you

Hampir Durrah tak menggelungsur jatuh ke lantai. Tanpa dia sedar, rupa-rupanya dia hanya duduk di hujung kerusi. Itulah tabiatnya kalau kusyuk dengan sesuatu kerja. Segera dia menarik kerusi dan membetulkan duduknya. Terkelip-kelip matanya memandang mesej Zharif yang dibacanya tadi. Biar betul mamat ni, getus hatinya. Degup jantungnya dah berpalu ibarat gendang tarian singa. Mana pergilah perisai aku. Pendirian Durrah dah mula goyang.

Durrah : Dalam satu-satu masa, you boleh lindungi seorang saja. Sama ada diri you sendiri ataupun isteri you

Zharif : Betul. Tapi I pilih untuk lindungi diri you

Durrah : Pilihan yang kurang bijak dan tak adil bagi isteri you

Zharif : Pilihan yang bijak sebab I nak lindungi isteri I sendiri

Dahi Durrah dah berlapis. 'Apa dia cakap ni?' omelnya di dalam hati. Berbelit-belit. Berputar-putar.

Durrah : Tak payah pukul keliling semak. Cakap aje terus-terang

Zharif : Mudah. Jadi isteri I dan I akan lindungi you sampai akhir hayat

Tubuh Durrah rasa seperti dibakar. Hisy... lelaki! Dah ada satu, teringin nak ada dua. Dah ada dua, teringin nak cukupkan tiga dan empat. Ikut sunnah Nabi konon. Kalau setakat ikut sunnah dalam bab kahwin memang tak ada maknanya. Kalau nak ikut sunnah, ikut semuanya. Tak perlu dipilih-pilih. Hipokrit namanya.

Durrah : Maaf. I alah dengan madu. Alergik!

Zharif : I tak suruh you makan madu. Dan you tak payah bermadu

Huh? Durrah semakin keliru. Perlukah dia berhadapan dengan lelaki itu dan bertanya secara empat mata? Dia menggeleng. Dia masih belum ada kekuatan untuk bersemuka dengan Zharif. Hancur lebur hatinya nanti jika pertemuan itu tak seperti yang dia harapkan.

Zharif : Durrah, I nak jumpa you. Petang ni lepas waktu pejabat. Boleh?

Durrah : Tak boleh!

Zharif : Jangan sombong sangat!

Durrah : Tak sombong!

Zharif : Kalau hati you terluka, hati I lagi merana. I telah kehilangan you. Merindui you separuh mati. Pernah tak you merindui seseorang hingga you rasa semua yang ada di sekeliling you bagai dah tak bermakna?

Durrah : Tak payah nak reka cerita, Encik Zharif. Cukuplah semua ni. Antara kita memang tiada apa-apa hubungan melainkan sebagai pekerja dan ketua. Tolong biarkan hidup I aman damai macam dulu...seperti sebelum you muncul dalam hidup I!

Durrah terus menutup LAN chat. Offline terus. Dia bersandar pada kerusi sambil memejamkan matanya. Dia beristighfar banyak-banyak. Moga Allah berikan petunjuk. Dia tak mahu tersilap langkah sehingga membinasakan diri sendiri sekali lagi. 

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Where stories live. Discover now