Bab 15

939 32 0
                                    

"Dia tak mahu jumpa sesiapa." Suara Mak Su Aisyah berbalam-balam kedengaran di telinganya. Tika itu Mak Su Aisyah sedang berdiri di balik pintu wad yang separuh terbuka. Setelah lelaki itu pergi, barulah dia merapatkan pintu.

Saat itu, Durrah sedang menangis hingga tersedu-sedan di sebalik bantal yang menekup di wajahnya. Dia memang tak mahu berjumpa dengan sesiapa. Sesiapa saja termasuk Ginny dan Azri. Zharif apatah lagi.

"Kenapa ni, angah?" Mak Su Aisyah membelai lembut kepala Durrah yang tetap berbalut dengan tudung. "Dah banyak kali dia datang minta nak jumpa angah."

"Angah tak mahu jumpa sesiapa!" bentak Durrah dalam sendu. Kalaulah tak kerana kaki kirinya dah bersimen, mahu saja dia lari meninggalkan hospital itu.

"Baiklah. Mak takkan benarkan sesiapa pun jumpa angah. Esok angah ikut emak balik kampung, ya? Abang long datang jemput. Angah rehatlah kat kampung sampai simen kat kaki angah ni boleh dibuka. Doktor kata tiga bulan baru boleh buka. Mujur tak kena masuk besi. Nauzubillah..." Mak Su Aisyah terus membebel dan Durrah terus menangis.

"Siapa lelaki yang selalu datang ke hospital nak jumpa angah berkali-kali tu?" Dah sebulan kejadian itu berlaku, barulah Dani berani bertanya kepada Durrah. Selama ini Mak Su Aisyah melarangnya bertanyakan apa-apa kepada Durrah. Emak bimbang fikiran Durrah terganggu.

Sebulan yang lalu, Durrah seperti orang tersampuk syaitan. Tiap-tiap malam mengigau dan menjerit-jerit. Mak Long Pipah kata Durrah lemah semangat. Ada sesuatu yang merasuk fikirannya. Elok dibawa berubat cara kampung. Mujur Mak Su Aisyah bukan jenis percaya kepada dukun dan pawang. Dia cuma minta orang surau buat sembahyang hajat supaya semangat Durrah dapat dipulihkan. Selepas sebulan, barulah Durrah kembali menjadi Durrah yang dulu; periang dan lincah.

"Masa angah baru balik dulu, banyak kali juga dia telefon. Tapi masa tu angah tak sihat. Sebab tu abang long diamkan aje." Dani merenung wajahnya adiknya yang sedang termenung jauh memandang kehijauan hutan belantara. Angin petang bertiup lembut membuai rambutnya yang panjang.

"Siapa angah? Dia pernah minta izin nak datang melawat angah. Tapi emak tak benarkan sebab emak tak tau siapa dia." Dani menyambung bicara apabila dilihatnya Durrah berterusan mendiamkan diri. "Siapa dia?" Soalan itu diulang lagi.

"Durrah bodoh, abang long. Sangat-sangat bodoh." Akhirnya Durrah mampu juga berbicara seperti biasa setelah sebulan berdiam diri melayan perasaan kecewa.

"Kenapa pula?"

"Sebab cepat sangat jatuh hati. Pada orang yang salah pula tu."

"Jadi lelaki tu..."

"Kalau angah boleh terjatuh hati kat dia dalam masa yang singkat, tak susah angah nak lupakan dia. Sekarang ni pun angah dah tak fikir lagi pasal dia. Lepas ni angah akan lebih berhati-hati dan tak cepat jatuh hati."

"Baguslah kalau macam tu. Jangan fikirkan sangat benda-benda macam ni. Kalau ada jodoh, tak ke mana. Tak payah terburu-buru tangkap muat."

"Okeylah, abang long. Angah nak rehat kejap." Durrah mencapai dua batang tongkat dan menopangkannya ke bawah ketiak. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam biliknya. Selepas tongkat disandarkan kepada dinding, dia duduk perlahan-lahan di atas katil. Kaki kanan yang masih berbalut simen dinaikkan ke atas katil. Sambil bersandar pada kepala katil, dia memejamkan matanya.

Tak lama kemudian, air matanya mengalir. Semakin lama semakin deras. Mulut boleh berkata apa-apa saja. Tapi mulut tak boleh menipu hati. Walau sekuat mana pun dia cuba melupakan Zharif, bayang-bayang lelaki itu sering mengganggu lenanya. Dia pernah terfikir nak letak jawatan. Lari daripada semua belenggu. Malangnya dia bukan pengecut. Pantang mengalah sebelum berjuang. Dia tak bersalah sepenuhnya. Kenapa mesti dia yang melarikan diri? Salahnya cuma satu. Dia cepat sangat jatuh cinta.

Dia harus bangkit daripada kekecewaan ini. Dia tak dilahirkan sebagai seorang pengalah. Dia seorang pejuang! Masih ada dua bulan lagi sebelum dia kembali ke pejabat. Jarak masa dia akan gunakan untuk menyembuhkan hatinya yang parah kecewa. Dia mungkin tak boleh melupakan perkara yang berlaku. Luka di jiwanya mungkin tak akan sembuh sepenuhnya. Hanya satu yang pasti. Dia akan bangkit melawan dan akan jadi kuat daripada sebelumnya.

Bulan kedua Durrah di rumah, dia dah mula menghubungi rakan sepasukannya. Secara rahsia, dia memulakan kerja-kerjanya semula dan bertindak sebagai ketua kumpulan. Dia sanggup membantu ahli kumpulannya dengan syarat, mereka merahsiakan penglibatannya.

Melalui teman sepasukannya, kumpulan mereka masih menduduki tangga teratas, seri dengan kumpulan Dr. Maria. Tapi mereka diekori rapat oleh kumpulan lain. Syukurlah. Dah ada pasukan regu. Taklah mereka bersaing sendirian, berada di puncak atap sendirian.

Bulan ketiga, simen di kaki Durrah dah boleh dibuka. Dia menghabiskan masa dua minggu menjalani terapi bagi menggerakkan otot kaki yang selama ini berehat lama. Minggu keempat, dia dah pulang ke Kuala Lumpur.

Timah dan Jenab terkejut dengan kepulangannya. Hampir tiga bulan tak mendengar khabar berita, tiba-tiba Durrah muncul pada petang Sabtu yang permai itu.

Belum sempat Jenab hendak bersoal jawab, Durrah terlebih dulu memberikan amaran. "Jangan tanya apa-apa. Jangan ungkit apa-apa."

"Eh..." Hanya itu yang sempat dituturkan Jenab. Soalan selebihnya disimpan di dalam hati. Mungkin Durrah masih belum bersedia berkongsi cerita dengan mereka. Biarlah. Biar Durrah sendiri yang memulakannya. 

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Where stories live. Discover now