Bab 8

968 38 0
                                    

"Dah pukul 2.00 pagi ni. Kau nak tidur kat ofis ke?" tegur Akid. Dia dah menguap beberapa kali. Matanya juga dah terasa berat. Tinggal mereka berdua saja di ruang pejabat yang besar itu.

Durrah pun tak perasan sejak bila staf-staf lain mula mengosongkan pejabat. Tadi bukan main riuh-rendah lagi macam pesta keamatan. Sedar-sedar dah sunyi sepi. Dah lewat pagi pula tu.

"Kau baliklah dulu. Aku tak apa. Tak ada anak laki yang tunggu aku kat umah macam kau." Durrah masih ralit memandang skrin, membuat rujukan.

"Kalau aku balik, siapa yang nak temankan kau? Berani ke kau duduk sorang-sorang kat sini?" Akid dah menyandang begnya.

"Tak ada apa-apalah. Tuhan sentiasa ada bersama aku."

"Berlagak!" cemuh Akid. "Aku balik dululah. Elok-elok.Nanti kalau kakak rambut panjang tu lalu, kau jangan layan," kata Akid sambil berlalu pergi meninggalkan Durrah.

Cis... Kakak rambut panjang konon. Macamlah aku takut, cemuh Durrah di dalam hati. Dia terus menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya.

Minit demi minit berlalu. Suasana semakin sunyi sehingga Durrah merasakan deru nafasnya saja yang kedengaran. Tiba-tiba dia berasa seram sejuk. Kata-kata Akid tadi kembali terngiang di telinganya. Hampas kelapa punya Akid. Buat aku takutlah pula, dengus Durrah. Dia cuba buat tak tahu.

Namun, degup jantungnya dah berentak semakin kuat. Ini tak boleh jadi. Dia mula rasa kurang enak. Wajah-wajah kakak rambut panjang mula menyapa imaginasinya. Wajah lelaki berjambang dan berkurta yang pernah muncul di tandas wanita juga menyapa fikirannya. Hisy! Perlahan-lahan dia menutup dokumen yang dah disimpan. Durrah cuba berlagak tenang walaupun tangannya dah menggigil menahan ketakutan.

Dia menutup komputer. Suasana terus-terusan menjadi sunyi. Apa-apa pergerakan yang dilakukannya dirasakan bergema memenuhi ruang yang kosong itu. Beg tangannya dikeluarkan dari laci.

"Kenapa tak balik lagi ni?"

Durrah menjerit kerana terkejut sekali gus melibas beg tangannya ke belakang secara spontan.

"Aduh!" Zharif mengaduh kesakitan.

Durrah segera berhenti menghayun beg tangannya. Pucat lesi wajahnya merenung Zharif yang sedang mengusap bahunya yang pasti sengal dek dipukul.

"Simpan batu bata dalam beg ke?"

"Ma... maaf Encik Zharif. I tak sengaja. Ingatkan kakak rambut panjang tadi," kata Durrah sedikit tergagap-gagap.

"Kakak rambut panjang pula. Ada-ada aje you ni." Zharif menggeleng. "Dah nak balik ke?"

"Ha'ah..." Durrah segera menyandang beg tangan di bahu. Degup jantungnya masih berlari dengan kencang.

"Berani jalan sorang-sorang kat tempat letak kereta bawah tanah tu?"

Langkah Durrah terhenti sebaik saja Zharif menegur. Dia dah mengetap bibir dan membuat muka tak puas hati.

"Hah...mulalah nak buat muka tak puas hati tu." Zharif melintasi Durrah dan berjalan di hadapan gadis itu.

Durrah melambatkan langkahnya. Tapi apabila Zharif mula mematikan lampu satu per satu, dia mempercepatkan langkahnya, menuruti jejak lelaki itu.

"Tahu pun takut. Tadi nampak macam berani sangat." Zharif tergelak sinis.

Tajam seperti belati! Durrah mula mengetap gigi menahan perasaan.

Di dalam lif, dia menundukkan muka ke bawah. Sengaja tak mahu menunjukkan muka tak puas hatinya di hadapan lelaki itu. Yang hairannya kenapa jantungnya berdegup kencang? Berdebar-debar tak tentu fasal. Kulit wajahnya pula terasa merah. Keadaan dingin di dalam lif langsung tak terasa. Tubuhnya membahang semacam. Lagi pelik bila tapak tangannya sejuk.

"You letak kereta kat mana?" Zharif memecah kesunyian.

"B1," Sepatah jawapan Durrah.

"Kenapa tak tekan butang B1? Lif ni dah sampai B3."

Durrah tercengang. Dia segera mendongak memandang papan elektronik yang memaparkan status tingkat lif. B3.

"Pergilah naik atas balik. Kereta I kat sini." Selamba saja Zharif melangkah keluar sebaik saja pintu terbuka.

Durrah mengomel dalam hati. Dia menekan butang B1 sebaik saja pintu lif tertutup. Ceh... tak budiman langsung lelaki itu. Buat kerja separuh jalan. Kalau nak temankan, biarlah sampai ke kereta. Dia terus merungut-rungut sehingga tiba di tingkat B1. Suasana di situ sungguh sunyi walaupun lampu terang-benderang. Keretanya saja yang masih terparkir di situ. Dia mempercepatkan langkah.

Bunyi tayar kereta berdecit-decit tiba-tiba kedengaran. Perompakkah itu? Langkah Durrah semakin laju. Dia separuh berlari menuju ke keretanya. Sebaik saja dia tiba di hadapan keretanya, sebuah Mitsubishi Evo X berhenti di sisinya. Dengan nafas yang termengah-mengah, dia menoleh.

Zharif rupanya. Memang sah keturunan lanun.

"Lajunya you lari. Berlumba dengan kakak rambut panjang ke?" Sinis suara Zharif menegur.

Durrah mempamerkan muka tak puas hati. Tanpa menghiraukan Zharif, dia masuk ke dalam kereta. Apabila Zharif tak mengalihkan keretanya, dia menyalakan lampu tinggi.

Zharif hanya tersenyum sebelum membunyikan hon dan memecut pergi. Mengaum kuat bunyi enjin keretanya. Macam hendak berlumba di litar F1 pula, ejek Durrah sakit hati.

Tapi dalam keadaan marah begitu, Durrah sebenarnya suka melihat gaya santai Zharif tadi. Lengan kemeja putihnya dilipat hingga ke siku. Tangan kanannya dibiarkan menjulur keluar dari tingkap kereta. Rambut Zharif ketika itu nampak sedikit berserabai. Pada siang hari, Zharif memang berpenampilan kemas dan berkarisma. Tapi pada malam itu, dia kelihatan biasa-biasa tapi tetap menarik.

Durrah menggeleng berkali-kali menyedarkan dirinya daripada memikirkan yang bukan-bukan mengenai lelaki ajnabi itu. Mengucap Durrah, mengucap! Dia lantas mengingatkan dirinya sendiri supaya tak tergoda dengan hasutan syaitan. 

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Where stories live. Discover now