Bab 7

1K 42 0
                                    

Durrah duduk sendirian di atas tangga kecemasan. Dah beberapa jam perkara itu berlaku. Entah apa yang terjadi di dalam sana. Kepalanya dah kusut memikirkan perubahan besar yang terjadi di pejabat itu. Tadi selepas dia keluar dari bilik mesyuarat, dia terserempak dengan Hobbit Hitam. Dengan selamba si pendek itu memberi amaran kepadanya.

"Durrah, kalau kumpulan you tak perform hari Jumaat ni, bersedialah untuk cari kerja lain. Bukan you aje... semua ahli pasukan you dipersilakan berambus!"

Panas betul hatinya mendengar ugutan Mr. Abraham itu. Rasa hendak melawan. Tapi hatinya dah cukup sakit. Lantas dia menyembunyikan diri di situ; cuba sedaya upaya untuk tak menangis lagi.

Tiba-tiba pintu kecemasan ditolak dari luar. Cepat-cepat Durrah mengelap sisa air mata di pipinya yang mulus. Entah siapa pula yang datang mengganggu? Kakak tukang sapu kot, fikir Durrah tanpa mahu menoleh ke belakang.

"Hah... menangis lagilah tu. Nanti muka bengkak lagi." Akid duduk di sisi Durrah. "Rugi kau tak tengok tadi. Sinetron paling hebat abad ini."

"Apa maksud kau?" Durrah mengeluarkan tisu dari poket kotnya dan menekup wajahnya separuh.

"Suami Dr. Maria dan Imas datang tadi. Terus jadi perbalahan antara suami dengan suami sebab isteri-isteri mereka bercakaran. Sampaikan Encik Zharif terpaksa panggil pengawal keselamatan untuk leraikan perang mulut tu."

"Lah..." Mulut Durrah melopong besar. "Sampai macam tu sekali?"

"Itulah... rugi kau tak tengok. Memang macam tengok filem Hindustan." Akid menghulurkan sekeping coklat kepada Durrah.

Durrah menyambutnya dan mematahkan tiga baris coklat badam dan hazel itu. Bagus betul si Akid ni. Lagak macam mafia tapi pandai memujuk dengan coklat. Mesti bahagia hati isteri dia, fikir Durrah.

"Tapi... kesian Imas. Dia kena buang 24 jam."

"Apa?" Suara Durrah kuat sehingga bergema suaranya.

"Ginny dapat surat amaran sebab bergaduh dengan Mr. Abraham."

"Pulak dah. Si Kebayan tu? Takkan lepas kot?"

"Kebayan?" Berkerut dahi Akid memandang Durrah.

"Eh... Dr. Maria. Dia kena apa pula?" Sekali lagi Durrah tersasul cakap, memanggil Dr Maria dengan nama gelarannya iaitu Kebayan. Kalau selalu begini, habis pecah tembelangnya.

"Tak ada apa-apa." Suara Akid kedengaran jengkel.

"Hisy... ni yang buat aku marah ni!" Suara Durrah meninggi.

"Chilllah. Jangan campur hal orang lain. Kita selesaikan masalah kita dulu ni. Biarlah orang lain nak bercakaran ke bertumbuk ke... kita buat kerja kita."

"Chill? Macam bagus aje! Bagi aku sebiji peti ais baru aku boleh chill!" Geram Durrah beralih kepada Akid pula. Orang tengah marah, disuruhnya bertenang. Tapi itulah cara yang betul, kan? Durrah menempelak dirinya sendiri.

"Dahlah. Jom masuk. Encik Zharif tanya kau tadi."

"Alamak... dia tu... kecoh aje." Lambat-lambat Durrah bangun mengekori Akid masuk ke pejabat dengan langkah yang berat.

Sebaik saja tiba di mejanya, Durrah terus mencapai headphone dan meletakkan di kepala. Sengaja dia menguatkan suara radio. Tak mahu dia mendengar cakap-cakap teman sepejabat mengenai insiden tadi. Buat menyakitkan hati saja.

Tiba-tiba CPU di atas mejanya diketuk kuat. Tersentak Durrah. Dia segera mendongak. Zharif dah terpacak di sisi kubikelnya.

"Masuk bilik I kejap!" Zharif terus berlalu tanpa menunggu Durrah.

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Where stories live. Discover now