"Tak apa." Durrah menggeleng. Sehelai tisu keras dan kesat ditarik lagi. Air matanya macam paip bocor pula.

"Err... you punya muka..." Tiba-tiba Ginny menunding cuak kepada Durrah. Matanya bulat di sebalik kaca mata jernih yang bertenggek di atas batang hidungnya yang pesek. "Kenapa jadi begini?" Suaranya agak nyaring, terkejut. Kedudukan kaca matanya dibetulkan.

"Muka I macam pau terlebih kukus, kan?" Durrah menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Inilah akibatnya kalau menangis tak ingat dunia dan tak tanggal kanta lekap. Bukan saja kulit di sekeliling matanya membengkak macam karipap, tapi alerginya juga akan muncul menjadikan wajahnya sembab macam pau terlebih kukus. Gebu semacam.

"I nak pergi klinik. Ambil MC. Tak boleh nak tunjuk muka tak cun ni depan semua orang terutama sekali pada Mr. Abraham yang jahat tu." Durrah terus bangun.

"Pergilah. Tak payah masuk pejabat. Nanti I beritahu Mr. Akshay," suruh Ginny. Ceh, macam dia pula yang jadi HR.

Dalam perjalanan menuju ke klinik yang terletak di bangunan sebelah pejabatnya, Durrah menelefon Azri. "Tolong jap. Hantar beg tangan aku kat klinik sebelah. Aku nak ambil MC hari ni."

"Okey... lima minit," balas Azri tanpa banyak soal.

Terkejut jururawat klinik melihat wajah Durrah yang bengkak. "Kenapa ni?"

"Alergi," Dia membalas sepatah sambil mengisi borang panel. Selepas mengisi borang, dia berpaling.

Debuk!

Aduh! Durrah mengusap kepalanya yang terlanggar sesuatu yang keras. Dengan muka yang bengkak, dia mendongak. Lelaki di hadapannya sedang mengusap dagu yang sakit. Dah pasti hasil pelanggaran tadi.

Wajah lelaki yang berkerut menahan kesakitan itu berubah sebaik saja terlihat wajah si gadis yang sembab dengan matanya yang bengkak.

"Muka you..."

"Alergi!" balas Durrah dengan kasar dan terus berlalu pergi tanpa meminta maaf. Lagipun dia sendiri tak tahu siapa yang salah sebenarnya. Salah diakah atau salah lelaki itu berdiri di belakangnya terlalu rapat?

Durrah duduk di sofa yang paling hujung sambil menundukkan kepala. Tisu keras dan kesat tadi tercicir entah di mana. Lantas dia menarik tudung untuk menyembunyikan sebahagian wajahnya. Dah macam Zorro pula. Dia langsung tak mengangkat kepala ke arah lelaki yang berdiri di kaunter pendaftaran tadi. Lantaklah.

"Hoi... kenapa dah macam penyamun tarbus ni?" Hujung kasut Durrah disepak.

Durrah mendongak.

"Oit... kenapa ni?" Bulat mata si kurus tinggi itu merenung Durrah. Perlahan-lahan dia duduk di sisi Durrah sambil menghulurkan beg tangan berwarna ungu.

"Inilah padahnya menangis tak ingat dunia dengan memakai kanta lekap." Durrah memperlahankan suaranya. Takut didengari jururawat klinik. Nanti tak dapat MC!

"Macam tu pulak?" kata Azri tak percaya.

"Aku rasa kot. Sebab dulu aku pernah gak menangis tak buka kanta lekap. Hasilnya macam nilah. Tapi taklah seteruk ni. Yang bengkak-bengkak kat muka tu memang alergi. Entah habuk dan debu mana hinggap kat muka aku. Tangan aku pun dah gatal-gatal." Itulah hakikatnya. Kulit si Durrah memang sensitif. Pantang terkena habuk dan debu, pasti gatal-gatal seluruh tubuhnya.

"Okeylah... aku nak balik ofis dulu. Jadi kau MC lah ni?"

"Ya... beritahu Mr. Akshay, aku alergi dan migrain." Pandai-pandai saja. Belum diberi MC, Durrah dah pandai-pandai cakap MC.

Tapi dia memang dapat MC sebab doktor pun terkejut melihat wajahnya yang bengkak begitu. Dapat MC dua hari pula. Dengan riang dia memandu pulang ke rumah. Empat hari rehat termasuk Sabtu dan Ahad, pasti boleh menenangkan jiwanya yang kacau-bilau. Siaplah kau Hobbit Hitam. Isnin ni aku balas dendam, azam Durrah dengan penuh iltizam.

"MC dua hari, tambah Sabtu Ahad. Empat hari cuti. Wah, seronoknya!" Timah pula teruja apabila mendengar cerita daripada Durrah malam itu sewaktu mereka makan di gerai Cik Mah Tomyam.

"Tapi muka kau dah tak bengkak lagi. Esok boleh kerjalah, kan?" Sebaliknya Jenab macam tak bersetuju dengan tindakan Durrah.

"Malaslah aku. Tengah huru-hara kat opis tu. Tiba-tiba pula Hobbit Hitam tu bikin kecoh. Nak tengok presentation semua sekali. Sawan ke apa?"

"Siapa Hobbit Hitam tu? Bos baru kau ke?" Timah mengunyah timun yang dicicah dengan sambal belacan. Nampak enak sekali.

"Entah. Ada yang kata dia pemandu Datuk. Ada yang kata pengawal peribadi. Entah siapa-siapa. Masuk pun tak bagi salam. Tau-tau aje nak arahkan orang buat itu ini. Macam dia pula bos. Padahal Mr. Akshay tu ada lagi."

"Macam-macamlah kau ni, Durrah. Entah-entah kami pun ada nama gelaran yang kau cipta."

Durrah memandang Jenab sambil tersengih penuh muslihat. "Memang pun. Tapi hanya aku yang tahu...huhuhu."

"Menyampah!" tempelak Jenab tak puas hati. 

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Where stories live. Discover now