Bab 7

3.3K 43 2
                                    

Sekeping roti Gardenia dicecahkan ke dalam mangkuk yang terisi dengan bubur durian. Disuapkan ke dalam mulut dengan lemah. Perlahan giginya mengunyah. Rasa manis dan berlemak singgah di lidah dan melekat di tekak. Telan. Dia mengambil sekeping lagi roti dan mengulangi lagi. Telan. Kali ini rasa kelat. Seperti hatinya yang sudah kelat.

Dia mencicip sudu ke dalam mangkuk itu. Mengambil sedikit kuah untuk dihirup. Sudu ditolak masuk ke dalam mulut, bibir dikapit rapat, sudu ditarik keluar. Mulutnya terkumat-kamit menelan. Masih kelat.

Ditenung ke dalam mangkuk bubur durian itu. Sengaja dikocak dengan sudu supaya berombak kuahnya. Roti dicubit halus lalu dicampak ke dalam mangkuk. Kocak lagi. Roti yang dicubit halus itu asalnya terapung, namun badai ombak yang terhasil dari kocakan sudu mengakibatkan ia karam di lautan kuah bubur durian. Hilang dari pandangan. Tenggelam ke dasar. Larut.

"Roti ini tiada nakhoda, kerana itu ia karam dilanda ombak. Tapi, aku adalah nakhoda, aku masih jua karam. Ah, aku nakhoda yang gagal!" dia mengeluh sendirian.

Kepingan roti yang ketiga diambil. Ulang sampai kenyang. Lagu Zabarjad - Karam berkumandang di corong radio. Mendayu-dayu melodinya. Dia tersandar ke dinding.

***

Kifli duduk termenung di pangkin bawah pohon manggis di belakang rumahnya. Tiket ke Kuala Lumpur pada hari Ahad malam sudah dibeli. Bas akan bertolak pada jam 12 malam dan jika tiada sebarang halangan dia akan tiba di Hentian Puduraya pada jam 3 pagi. Bakal supervisor, Encik Sanusi akan mengambil mereka di situ pada jam 6 pagi. Tapi, biasanya janji Melayu sejam kemudian baru nampak batang hidung. Melayu yang lebih ekstrem akan datang selepas dua jam berjanji dan Melayu Babi adalah yang memungkiri janji.

Kifli mencucuh sebatang rokok Dunhill yang dibelinya selepas mendapat untung lumayan hasil menjual durian Haji Jamaluddin. Agak kecoh juga berita mengenai kehilangan durian Haji Jamaluddin di kampung mereka, namun Kifli dan rakan-rakan harus bertenang. Khairul telah memberikan tips kepada mereka supaya mudah bertenang.

Ketika memberikan tips itu, kedua-dua jari telunjuk Khairul diletakkan di sisi kepala. Mereka hanya mengikut apa yang diajar Khairul. Kemudian, mata dipejamkan, nafas ditarik sedalam-dalamnya dan selepas 5 saat barulah nafas dihembus dengan kuat. Langkah ini diulang sebanyak tiga kali. Jika selepas tiga kali, masih gagal untuk bertenang, Khairul mencadangkan agar mereka ke klinik haiwan berhampiran untuk mengambil suntikan ubat pelali.

Berdasarkan cerita-cerita yang tersampai di halwa telinga Kifli, orang kampung sepakat menuduh Ahmad Jaafar Bin Ayub adalah dalang yang mencuri durian Haji Jamaluddin. Ahmad Jaafar atau lebih dikenali sebagai Mat Jakpa adalah seorang mat pet yang tersohor di kampung mereka. Mat Jakpa sememangnya mempunyai rekod jenayah mencuri yang luar biasa. Dalam 365 hari, dia mampu mencuri sebanyak 366 kali tanpa dicekup.

Pernah suatu hari, Mat Jakpa mencuri 3 ekor lembu sekaligus dari kandang ternakan Pak Mauluk. Entah ilmu apa yang digunakan oleh Mat Jakpa sehinggakan dia hanya menggunakan sebuah Proton Tiara untuk membawa ketiga-tiga ekor lembu itu. Khabarnya, lembu itu dijual kepada seorang taukey permaidani berasal dari Pakistan.

Satu pasukan polis dikerahkan untuk menangkap Mat Jakpa. Mereka terdiri daripada lima orang anggota pelbagai pangkat yang diketuai Inspektor Norman Hakim. Malangnya, operasi tersebut menemui jalan buntu apabila gagal menangkap Mat Jakpa. Sebaliknya, 3 orang daripada anggota pasukan tersebut telah kehilangan telefon bimbit mereka. Inspektor Norman Hakim pula kehilangan sebiji pemetik api berjenama Zippo dan seutas jam tangan buatan Switzerland.

Kesemua anggota polis tersebut telah diarahkan bertukar dan cerita ini kekal menjadi lagenda.

Kifli tersenyum sendirian bila terkenangkan cerita tentang Mat Jakpa. Pelbagai versi cerita yang telah dia dengar dan seperti lumrahnya, Mat Jakpa dikaitkan dengan penggunaan ilmu hitam untuk menjadi penyamun yang berjaya. Ada yang mengandaikan Mat Jakpa membela hantu raya, toyol, jin afrit dan pelbagai lagi makhluk-makhluk entiti.

SkodengWhere stories live. Discover now