Bab 6

3.6K 49 7
                                    

Sebaik tiba di persimpangan Tanjung Pasir, Khairul terus meletakkan kereta di bahu jalan. Langit sudah mula cerah. Kelihatan kenderaan berpusu-pusu keluar melalui simpang yang menghubungkan gugusan Felda berpangkalkan nama "Bukit" di hadapan. Ia juga jalan yang menghubungkan mereka dengan Sungai Lembing dan bandar Kuantan.

Tanpa disuruh, masing-masing melakukan kerja tanpa banyak bercakap. Guni dibelah dua dan dibentang di atas rumput. Mereka menyusun durian mengikut longgokan. Selonggok diletakkan antara empat hingga ke lima biji durian mengikut saiz. Jika bersaiz besar, selonggok ada empat biji. Jika kecil, ada enam biji.

Kifli mencekak pinggang setelah melihat semua durian telah dikeluarkan dan disusun cantik dalam lajur yang tidak bergaris. Dia sangat berpuas hati dengan prestasi kerja semua rakan-rakannya. Kifli mengira bilangan longgokan itu, ada 22 longgok semuanya. Dia mencongak lagi dengan jari-jemarinya.

"Berapa ringgit nak jual selonggok ni, kawan-kawanku semua?" Kifli bersuara bagaikan seorang pengurus bisnes yang berjaya dan disegani. Dia berpeluk tubuh seolah-olah watak Dato' Aziz Singah dalam drama bersiri Sembilu Kasih.

"Kita jual lima belas ringgit sekilo pun ok," Azmi memberikan cadangan.

"Tak boleh. Kena jual selonggok dua puluh ringgit. Boleh bagi kurang sampai lapan belas ringgit sahaja. Dan dua longgok yang terakhir baru korang jual lima belas ringgit. Mengikut perkiraan aku, kalau jual harga yang aku sebut tadi, boleh dapat untung lebih tiga ratus ringgit," Khairul berkata dengan riak wajah yang cukup tenang. Pengiraan bisnes yang cerdas dan bergeliga bagi Kifli, Azmi dan Abrar kerana mereka hanya menganggukkan kepala.

"Aku bukan apa, kalau untung lebih, maka aku pun dapat upah lebih juga. Tak begitu kawan-kawanku semua?" sambung Khairul lagi. Kedengaran bunyi keluhan "Ciss!" dari mulut Kifli, Azmi dan Abrar.

"Cuma, aku rasa..." belum sempat kawan-kawannya membuka mulut, Khairul bersuara lagi.

"Kau rasa apa?" pantas Azmi bertanya kembali.

"Aku rasa macam tak patut kita jual durian pagi-pagi buta macam ni. Mana ada orang nak beli durian buat sarapan. Lagipun, semua orang tengah sibuk ni nak pergi kerja,"

"Hmm.. Betul juga tu," balas Kifli sambil menggaru dagunya. Parut di bawah dagunya masih kelihatan jelas. Parut yang menjadi bukti kegagahan beliau melanggar dan membunuh babi.

"Takpe, kalau ada rezeki kita, pasti ada. Kalau tak ada kita cuba di tempat lain. Jangan risau semua, kita tunggu je dulu sampai pukul sepuluh. Aku yakin kejap lagi ada orang singgah beli. Tuhan dah tetapkan yang rezeki itu ada di mana-mana sahaja," Khairul berkata dengan lagak seperti seorang pakar motivasi. Masing-masing terpaku. Bukan kerana kehebatan Khairul berbicara, tepi kerana dia menyebut rezeki Tuhan. Ini bukan rezeki Tuhan, ini durian curi dari kebun Haji Jamaluddin. Masing-masing menundukkan muka ke bawah menyembam Bumi. Insaf seketika.

"Lagipun, Rasulullah dah berpesan bahawa sembilan per sepuluh daripada rezeki itu datangnya darpada berniaga. Justeru, apa yang sedang kita lakukan ini sememangnya satu tindakan yang tepat. Semoga dengan pengalaman berniaga durian Haji Jamaluddin ini akan menjadikan kita businessman yang tersohor kelak," Khairul menyambung lagi kata-kata yang berbaur dakwah dan motivasi itu.

Muka terus menyembam Bumi.

Satu jam berlalu. Masih tiada pelanggan. Masing-masing sudah mengantuk kerana tidak cukup tidur dan kepenatan mendaki lereng bukit di kebun Haji Jamaluddin. Azmi menguap buat kali yang ke tiga ratus. "Macam gagal je perniagaan kita ni," keluh Azmi.

"Dalam perniagaan, kita harus bersabar, yakin dan bersedia menghadapi risiko yang mendatang. Meniaga ini sama juga seperti bercinta. Dalam cinta kita harus sentiasa bersabar melayani kerenah makwe yang cemburu, gedik atau kuat merajuk. Kita juga harus bersabar dalam menempuhi alam percintaan yang penuh ranjau dan berliku. Sikap gelojoh dan tergopoh-gapah hanya akan membuatkan cinta itu rosak. Begitulah juga berniaga, jika tiada semua sikap tersebut kita akan gagal. Bezanya, dalam cinta ada geli-geli," Khairul berfalsafah lagi sambil menyelitkan unsur-unsur jenaka.

SkodengDove le storie prendono vita. Scoprilo ora