Bab 2

8K 65 7
                                    

Malam itu selepas waktu Isyak, Kifli, Azmi dan Abrar pergi ke rumah Sham Ghani yang baru sahaja pulang ke bercuti. Dia bekerja di sebuah kilang membuat motosikal di Puchong. Sudah 3 bulan Sham merantau mencari rezeki di sana.

"Assalamualaikum! Sham, Sham!" Kifli memberikan salam sambil mengetuk pintu rumah Sham. Walaupun seorang yang panas baran, Kifli tidak pernah lupa untuk memberikan salam setiap kali datang ke rumah sesiapa. Ibunya telah mendidik Kifli dengan tatsusila sebegitu semenjak kecil lagi. Alhamdulillah, Kifli masih mengamalkannya hingga sekarang.

"Waalaikumussalam, hah korang rupanya. Tunggu sekejap, Sham tengah makan nasi tu," kata kakak Sham, Khatijah sebaik membuka daun pintu. "Baik, Kak Tijah," balas Kifli sambil mengangguk nipis. Kak Tijah seorang guru Sains di sebuah sekolah menengah berhampiran dan masih bujang. Kadangkala, Kak Tijah sering diusik oleh pemuda-pemuda gatal kampung yang tidak sedar diri. Bekerja malas, melepak sampai ke dinihari dan menghisap ganja tetapi berkeinginan untuk memiliki isteri yang bekerja sebagai seorang guru.

Benar, cinta itu buta. Namun, orang buta juga mampu mengukur baju badan sendiri. Mustahil seorang buta berkeinginan untuk memperisterikan seorang model produk pemutih kulit. Jika ia berlaku, itulah kuasa jodoh yang paling agung.

"Seksi juga Kak Tijah pakai baju tidur kelawar ni ya," Abrar bersuara memulakan bicara. Kebosanan menunggu agaknya. "Habis tu? Kau teransang ke? Jangan tembak dinding dahla malam karang," balas Azmi disambut dengan hilai tawa Kifli. "Jangan sampai melecet dahla," sambung Azmi lagi. Kali ini Kifli ketawa lebih kuat seperti langsuir yang baru selesai menyakat manusia. "Gampang!" maki Abrar.

"Woi, gelak serupa setan ni apahal beb? Apahal ni?" Sham keluar dari rumahnya sambil mencungkil gigi. Sisa makanan yang melekat di gigi jarangnya agak mengganggu. Sham tidak teragak-agak untuk menggunakan lidi yang dipatahkan sedikit daripada penyapu sebagai pencungkil gigi. Sham Ghani Kaki Langgar – gelaran yang diberikan kepadanya.

"Kah! Kah! Kah! Abrar nak mimpikan bidadari malam ni, Sham. Dia standby losyen siap-siap kat sebelah katil nanti," kata Azmi kepada Sham. "Babilah korang!" itu sahaja maki hamun yang mampu Abrar hamburkan.

"Cuti berapa lama, Sham?" tanya Kifli untuk terus menukar topik perbualan ke tujuan asal kehadiran mereka ke situ. Kifli kenal benar dengan Azmi, sekali merapu jika tidak dihentikan boleh melarat sehingga ke negara Brazil, bahkan boleh melarat sehingga ke Planet Pluto jika tidak dihentikan.

"Sampai esok je. Lepas tu aku baliklah Kuala Lumpur semula. Lusa nak gerak pergi Penang pula," Sham menerangkan kepada mereka bertiga. Dahi Kifli sedikit berkerut. Dia bertanya lagi, "Penang ? Bukan kau kerja kat Puchong ke?"

"Yelah, kerja situ lagi. Tapi kena pergi Penang, bos aku suruh pergi cover kerja kat kilang di sana," Sham menerangkan lagi. Ketiga-tiga mereka mengangguk. Kelihatan riak wajah kagum terhadap Sham. Baru 3 bulan kerja, sudah dapat peluang untuk outstation. Ini menambahkan lagi semangat Kifli yang kian berkobar-kobar untuk mendapatkan kerja di sana. Sham mencucuh sebatang rokok dengan wajah yang penuh rasa bangga. Sham Ghani Kaki Gebang – gelaran kedua yang diberikan oleh teman terdekat.

"Ada kerja kosong tak kat tempat kau? Kita orang ingat nak cuba nasib. Mana tahu boleh pergi Penang juga macam kau," tanya Kifli berbunga-bunga. Azmi pula sudah mula berangan akan kejelitaan anak mami seperti yang diceritakan oleh kebanyakan orang setiap kali berbual mengenai Pulau Pinang. Abrar dilihat mencongak-congak dengan jari. Mengira kadar gaji yang bakal diterima barangkali.

"Itu aku kena tanya dengan Supervisor aku dulu. Tapi aku rasa ada kerja kosong untuk korang semua ni. Banyak nak keluar model baru lagi lepas ni," kata Sham. Kifli tersenyum. Dia sudah nampak akan ada sinar baru dalam hidupnya kelak. Kifli mahu menjadi lagenda di Kuala Lumpur kelak.

"Nanti apa-apa hal aku bagitau semula. Aku call Kifli nanti. Korang jangan risau, aku akan pastikan korang dapat kerja kat sana," kata Sham lagi. Ketiga-tiga mereka mengangguk sambil mengacungkan ibu jari ke arah Sham. "Aku nak masuk dulu, makwe aku Finaz ada kat dalam tu ha, kita jumpa kat Kolumpo nanti ye," sambung Sham lagi.

Mereka bertiga pun berlalu pergi dari rumah Sham menuju ke pangkin bawah pokok manggis. Masih ada baki 'sayur' yang belum dihabiskan tengah hari tadi sementelah mendengar pekikan ibu Kifli yang memintanya ke kedai kerana telah kehabisan gas memasak. Dalam keadaan terhuyung-hayang Kifli ke kedai menaiki motosikal menukar gas memasak baharu. Bagai orang mabuk todi cara Kifli menunggang motosikal.

Mereka bertiga tiba di pangkin dengan hati yang berbunga-bunga. Masing-masing memasang angan-angan dan impian. Azmi menyalakan pemetik api dan mencucuh adunan 'sayur' yang pertama. Menghembuskan asap ke udara dengan senyuman yang terus melekat di wajahnya. Kemudian, diikuti oleh Kifli dan Abrar. Kesan khayalan marijuana yang meresap ke dalam otak membawa mereka merentasi sempadan masa dan cita-cita.

Kifli memasang impian untuk mengumpul wang gajinya secepat yang mungkin. Dia mahu berjimat-cermat supaya dapat membeli sebuah motosikal idamannya, Rx-Z Catalyzer berwarna kuning. Kifli mahu memasang rim sukan bersaiz 18 inci pada motosikalnya itu. Jika sudah memiliki motosikal Rx-Z, dia mahu mencari seorang pembonceng wanita (baca: cikaro) yang setia untuk menemaninya meronda di ibu kota pada setiap malam minggu. Berlibur di Dataran Merdeka sambil menikmati air tin perisa cincau bersama-sama, berteduh di bawah jejambat tatkala hujan turun dan mencelah di tengah kesesakan trafik. Kifli mahu menjadi lagenda Mat Motor yang disegani!

Azmi pula terbayangkan hidupnya akan dikelilingi gadis-gadis genit dari kolej berhampiran. Dia mahu berpesta dengan gadis-gadis itu semua. Berjoget di kelab malam Jalan Doraisamy, berkaraoke di Bandar Sunway dan seterusnya check-in di hotel yang berlatar belakang pemandangan KLCC. Azmi mahu menjadi kasanova yang licik di sana kelak. Dia menyeluk tangan ke dalam seluarnya membetulkan kedudukan punai yang sudah mulai bangkit.

Abrar masih mencongak. Jari-jemarinya tidak berhenti bergerak. Tidak cukup sebelah tangan, dia mengira dengan kedua-dua belah tangannya. Mungkin sedang mengira ganti rugi yang perlu dibayarnya. Abrar baru sahaja dibuang kerja dua hari yang lalu. Dia bekerja sebagai pemotong rumput. Entah di mana silapnya, mungkin lalai dalam menjalankan tugas dia telah terpotong sebuah pokok bonsai yang berharga tiga ribu ringgit di rumah pelanggan majikannya.

Encik Haziq tanpa rasa kasihan terus memberhentikan Abrar. Tiada rasa simpati yang terbit dari pemilik syarikat memotong rumput itu. "Hang kena bayaq juga separuh dari tiga ribu ni! Kalau dak, aku habaq kat mak hang, hang hisap ganja!" pesanan Encik Haziq dalam loghat utara terngiang-ngiang di telinga Abrar. Makin ligat jari-jemarinya mencongak.

Kifli dan Azmi mungkin sudah boleh tersenyum dengan angan-angan mereka, namun Abrar masih belum sempat memasang sebarang angan-angan. Dia bimbang sekiranya hal menghisap ganja diketahui oleh ibunya. Buruk padahnya jika hal itu sampai pula ke pengetahuan ayahnya, seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat dalam misi keamanan di Sarajevo, Bosnia. Tubuh kekar ayahnya terbayang. Mungkin tubuh itu akan membelasah Abrar jika Encik Haziq melaporkan kepada ibunya.

Abrar sangat runsing. Dia mencapai 'dapur' dan mencucuh lagi adunan 'sayur'. Fuhhh...! Dia menghembuskan asap ke udara. Ada marijuana, semua masalah selesai.


No woman no cry, be a man with no cry...

SkodengWhere stories live. Discover now