"Ya? Macam ada hal lain je?"

"Mana ada apalah Kak Humaira'. Betul."

"Jangan menipu, Mawar. Menipu itu tak baik di sisi Allah dan agama."

"Tipu sunat je. Hihi."

"Tiada istilah tipu sunat dalam agama Islam Sunnah Wal Jamaah mazhab Shafie, Mawar."

"Baik, Kak Humaira'. Ana faham. Maaf."

"Minta maaflah kepada Allah. Itu sebaik-baik permohonan kemaafan. Beristighfarlah, moga Allah mengampunkan dosa anti."

"Baik, Kak Humaira'. Astaghfirullahal 'azim."

"Good girl. Baik. Ada apa Mawar telefon ana?"

Kali ini, Mawar pula diam. Dia pula yang berat untuk menuturkan bicara. Memanglah. Ingat senang ke untuk meminta izin seorang kekasih untuk berkahwin dengan kekasihnya? Ini kerja gila. Tapi, sebagai Muslim, dia perlu jujur.

Humaira' tahu suatu hari nanti, Mawar akan mencarinya untuk memberitahu hal ini. Dia kenal benar Mawar. Dan dia tahu Mawar sukakan Faisal. Disebabkan itu, Humaira' hanya diam, membiarkan Mawar mengambil masanya untuk meluahkan isi hatinya.

Mawar berdehem. "Ana tak tahu nak mulakan dari mana."

"Ana tahu semuanya. Anti telefon ana untuk meminta izin berkahwin dengan Akhi Faisal kan? Anti nak kongsi pelamin dengan ana ke nanti?"

"Boleh ke Kak Humaira'?" nada Mawar bertukar ceria. Level oktaf suaranya tinggi sedikit berbanding tadi yang muram.

"Tak boleh. Buat masa ini, ana masih tak rela dimadukan. Mungkin dua tiga tahun lagi, siapa tahu? Tapi ana tak mahu anti menunggu."

"Memang tak boleh?" suara Mawar bertukar muram kembali.

"Maaf. Ana tak izinkan."

"Hm. Kalau begitu, terima kasih Kak Humaira."

"Sama-sama. Assalamualaikum warahmatullah, Mawar," Humaira' mematikan bicara.

"Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh, Humaira'."

Sebaik meletakkan telefon ke meja, Humaira' berbaring menghadap siling. Dia senyum. Mungkin itu yang sebaiknya buat Mawar.

Dan mungkin itu yang sebaiknya buat dia dan Faisal. Bukan dia sengaja untuk tidak mengizinkan Mawar berkahwin dengan Faisal, cuma sebagai perempuan, dia masih tak boleh dan masih tak bersedia untuk bermadu. Dia masih tak mampu berkongsi kasih, walau Faisal mampu.

Humaira' kemudian tidur bersama farhana(kegembiraan) dan sakinah(ketenangan).

Keesokan paginya, keadaan kembali normal seperti sediakala. Tiada lagi gangguan Mawar dalam hidup Faisal dan Humaira'. Mawar hilang lesap terus dari hidup mereka berdua. Apabila ditanya Humaira' kepada Faisal, Faisal hanya menggeleng tanpa balasan verbal.

Humaira' sedikit risau. Takut kalau-kalau penolakannya itu memberi akibat yang buruk kepada Mawar. Nauzubillah, fikirnya.

Apabila disuarakan kepada Faisal, Faisal hanya bertanya kembali padanya, "Kalau anti tak suka dia bersama ana, kenapa anti mahu risau?"

Jadi bagi mengelakkan dia menaikkan darah Faisal, hanya sekali itu sahaja kerisauannya disuarakan.

"Bang Faisal. Bila kita nak beli barang nikah? Tarikh dah dekat ni," soal Humaira' kepada Faisal.

"Ana dah uruskan semuanya, jangan risau. Anti mesti suka pada barang-barang hantaran itu nanti."

"Baik, uhibbuka fillah."

"Uhibbuki fillah jiddan."

Petang menjelang. Ketika Humaira' sedang sibuk menyidai kain basahan di ampaian, posmen datang menghantar parcel.

Humaira' berlari-lari anak menyambut posmen yang sememangnya tidak ke mana-mana. Beberapa langkah berlari, baru Humaira' sedar akan perbuatannya yang kebudak-budakan dan bakal membawa fitnah kepadanya, kerana dadanya bergetaran ketika berlari anak.

Humaira' lantas bertukar langkah sedikit perlahan, berjalan dengan tertib ke arah posmen.

"Cik sign sini," posmen itu mengunjuk borang untuk ditandatangi menandakan parcel selamat tiba ke destinasi.

"Syukr-eh, terima kasih bang."

"Sama-sama. Tu belacan ke? Hanyir baunya," soal posmen sebelum berlalu pergi. Soalan retorik biasa rider poslaju.

Humaira' membelek-belek bungkusan. Berat. Besar. Takkan ada orang pos belacan banyak begini? Lagipun dia tak pernah membeli belacan online.

Apabila dilihat kepada alamat penghantar, ia dialamatkan dari Kedah. Hmm. Tempat belacan. Mungkin memang betul belacan.

Humaira' membawa bungkusan ke dapur, kerana bau hanyir makin kuat.

Apabila dibuka bungkusan itu dengan pisau, badan Humaira' menggigil. Pisau jatuh dari tangannya, badannya terduduk ke lantai mozek.

"Mawar!"

Kepala Mawar terletak elok di dalam bungkusan itu. Kepala. Hanya kepala.

"Tapi kenapa? Kenapa? Siapa yang buat perkara kejam begini? Kenapa buat perkara yang tidak berperikemanusiaan begini?" Humaira' meraung. "Bukan ini yang aku mahukan, bukan! Ya Allah.." Humaira' mencapai telefon di ruang tamu.

"Assalamualaikum, Akhi Faisal.." Humaira' menangis.

"Waalaikumussalam. Humaira'? Kenapa ni? Kenapa menangis ni?"

"Mawar.. mawar..dia.."

"Kenapa dengan Mawar? Sayang? Kenapa dengan Mawar?"

"Dia dah meninggal dunia.." Humaira' menangis teresak-esak.

"Innalillah..macamana boleh meninggal? Siapa yang beritahu anti ni? Dalila ke?"

"Bukan..bukan..ana jumpa kepal-.."

"Kepal?"

"Ana jumpa kepala Mawar.." Humaira' menangis makin lebat.

"MasyaAllah! Jumpa kat mana ni? Dah telefon polis belum?"

"Belum..belum..ana belum sempat telefon..ana terus telefon anta..ana tak tahu nak buat apa.. Kepala Mawar dihantar ke alamat ana tadi.."

"Tadi? Astaghfirullahal 'azim. Anti tunggu situ, telefon polis. Jangan sentuh bungkusan itu lagi dah."

"Baik.."

Telefon dimatikan dari hujung talian. Humaira' menyandar dalam duduk di lantai. Dia mendail 999. "Hello, saya nak melaporkan.."


Folikel Spektrograf oleh M. Faiz SyahmiWhere stories live. Discover now