Prolog

15.2K 97 17
                                    

Kifli berlari-lari anak ke arah Azmi yang sedang ralit bermain Brick Game. Puas disusunnya bongkah bata sehingga penuh skrin. Bunyi 'beep' kedengaran halus menandakan Azmi telah berjaya mencatatkan 'high score' mengatasi rekod terdahulu. Azmi puas! Dia menggenggam tangannya dan melepaskan satu tumbukan padu ke udara. "Yeah!" jerit Azmi. Puas!

"Hoi setan! Dahla tu main game. Menyampah pulak aku tengok," sapa Kifli sebaik tiba. Azmi merengek-rengek manja sambil memegang Brick Game berwarna kelabu itu. Dia memandang wajah Kifli dengan rasa tidak puas hati, namun Azmi bertenang. Sikap baran hanya akan memudaratkan hubungan persahabatan yang sudah terjalin semenjak kecil lagi.

"Kau apahal ni berlari macam burung puyuh kena lastik? Ingat comel ke berlari macam tu?" Azmi mencebikkan bibirnya ke arah Kifli tanda tidak bersetuju langsung sekiranya ada pihak yang mengatakan Kifli seorang yang comel. Kifli merenung tajam ke mata Azmi. Seraya, dia pun berkata "Jubo lah kau!"

"Kah! Kah! Kah! Marah pulak. Jadi, kau memang perasan kau comel la ni?" Azmi ketawa sambil memicit-micit jarinya yang lenguh bermain Brick Game tadi. "Setan lah kau! Aku lalu depan rumah Makcik Dayang ni tadi, tengok orang tengah tegakkan balai. Lusa ada kenduri," Kifli memberi penerangan kepada Azmi yang sedang meletupkan jari-jemarinya. Keletuk, keletuk, keletuk bunyi tulang jemari dipicit keras.

"Dah siap ke orang pasang balai?"

"Tinggal nak pasang meja je lagi tu,"

"Jomlah pergi sana. Mesti ada kuih gunting dengan kopi o. Aku lapar ni,"

"Ok, kejap. Aku nak kencing ni. Bengkak dah rasa punai ni,"

Kifli berlindung di sebalik pokok jering dan membuang sisa toksin dari kemaluannya di situ. Batang pokok itu tidaklah sebesar mana untuk melindungi tubuhnya, namun memadai untuk dijadikan pelindung daripada gangguan syaitan bernama Azmi. Pernah dahulu, Azmi memasukkan seekor labah-labah ke dalam seluar Kifli sewaktu sedang sedap kencing berdiri di tepi pokok ciku yang rendang. Menggelupur Kifli berlari sambil air kencingnya terpancut tanpa rasa kasihan membasahi seluar treknya. Pengalaman mematangkan Kifli.

Selesai semuanya, mereka berjalan kaki menuju ke rumah Makcik Dayang. Fikiran Azmi terbayang-bayang akan kerangupan kuih gunting yang bakal disulami dengan kopi o sebentar lagi. Kifli pula sedang menyusun strategi untuk mencuri sekurang-kurangnya sekotak rokok Gudang Garam. Rokok kenduri.

"Hah, orang dah siap tegak balai, korang baru nak sampai," tegur Haji Hamid setelah melihat dua kelibat sahabat baik itu tiba. "Alah Haji, kalau dia orang berdua ni ada tadi pun bukan boleh buat apa pun. Tengok je reti," sambung Abang Latif, seorang pemuda kampung yang terkenal dengan kehandalannya memikat burung tekukur.

Azmi tersenyum simpul. Dia menarik sebuah kerusi dan terus duduk. Tanpa mempedulikan kata-kata orang kampung yang lain, Azmi mencapai balang berisi kuih gunting yang masih belum terusik. Dia membuka balang plastik itu dengan cermat dan terus mengambil sepotong kuih gunting. Krup, Krap, Krup. Kerangupan kuih gunting Mak Lang Timah membuatkan Azmi terus khayal.

Kifli masih berdiri terpinga-pinga. Wajahnya serius. Matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Dia mencari-cari rokok Gudang Garam di atas meja. Biasanya bergelimpangan kotak rokok di atas meja setiap kali selesai upacara menegakkan balai. Namun hari ini agak luar biasa. Hanya rokok daun dan tembakau Cap Kuda milik Pak Daud yang ada di atas meja. Kifli kehairanan.

"Haa... Sorry, Sorry semua. Lambat sampai, tadi lupa nak beli, mujurlah Nizam tanya kat saya tadi," suara Abang Ijoe memecahkan hening. Terhenti seketika borak-borak kosong orang kampung setelah melihat sekarton rokok Gudang Garam diletakkan Abang Ijoe di atas meja. Kifli meneguk air liur.

Nizam pantas mengambil sekotak rokok dan terus menyimpannya ke dalam poket. Kemudian dia mencapai pula sekotak yang lain dan dibuka plastiknya. Nizam mengeluarkan sebatang rokok dan mencucuh menggunakan lighter Pak Daud. Kemudian, dia menghulurkan kotak rokok itu kepada Abang Nuar sambil berkata "Nah, ambil sebatang je, lepas tu letak balik atas meja ni,"  Macam celaka perangai Nizam.

Kifli hanya menjeling. Dia memerhatikan sekotak demi sekotak dibawa keluar oleh orang kampung. Kifli masih belum punya strategi. Keadaan sekarang masih belum benar-benar selamat untuknya menyonglap hatta sebatang rokok sekalipun. Buruk padahnya kalau kantoi. Kifli mendengus nafas kuat tanda tidak berpuas hati. Huh!

Azmi menuang air kopi o ke dalam gelas kaca berwarna koko. Dengan sekali hirup, air kopi itu terus masuk ke dalam perutnya. Tidak cukup, Azmi menambah lagi segelas. Masih sama, dengan sekali nafas sahaja air kopi o itu ditelan. "Erppp, Alhamdulillah," Azmi bersyukur dengan mata yang separa terpejam.

"Petang ni orang perempuan datang potong bawang, buat kerisik," Pak Daud yang dari tadi hanya diam mula bersuara. Dia menunggu sehingga rokok daunnya habis untuk memulakan bicara. Penduduk kampung berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka mengangguk tanda setuju. "Tapi orang perempuan aku tak dapat datang, petang ni kami nak ambil Sahak di asrama," Pak Daud menyambung. Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan. Penduduk kampung mengangguk lagi.

Seorang demi seorang penduduk kampung berlalu pergi. Mak cik Dayang mengucapkan terima kasih kepada mereka. Bukannya tidak bersuami, tetapi suaminya pemalu. Tanya sepatah belum tentu dijawabnya sepatah. Entah bagaimana Mak Cik Dayang yang bermulut murai ini boleh bertemu jodoh dengan Pak Cik Awang yang lebih sedikit sahaja percakapannya jika dibandingkan dengan orang bisu. Tapi itulah kuasa jodoh.

"Bila nak blah ni? Aku dah tak larat nak kunyah kuih gunting Mak Lang Timah ni. Perut pun dah kembung minum air kopi o banyak sangat," tanya Azmi setelah melihat Kifli yang masih tegar bersiri di bucu meja. "Sabarlah, line tak clear lagi ni," balas Kifli. Azmi mengerutkan dahinya. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Azmi memandang wajah Kifli dengan penuh kehairanan. Dia mengekori gerak mata Kifli yang meliar. Azmi sudah berjaya membaca apa yang ada di fikiran Kifli. Azmi tersenyum. Dia menjongkitkan kerusi ke belakang dan berpura-pura jatuh. Pukkk! "Woooiii, anak bertuah, jatuh kau, mampos!" Mak Cik Dayang menjerit terperanjat setelah mendengar bunyi kerusi berlaga dengan tanah. Semua mata tertumpu ke arah Azmi. Azmi mengenyit mata ke arah Kifli. Dalam sekelip mata, dua kotak rokok Gudang Garam berjaya dimasukkan ke dalam poket seluar. Kifli tersenyum puas.


SkodengNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ