sweet part 15

125 6 0
                                    

AKU ada final paper pukul dua nanti. Aku jeling jam kat dashbord. Jam digital tu dah tunjuk nombor 1.20.

Aku tarik nafas dalam-dalam.
Kenapalah skuter tu buat hal masa aku terdesak macam ni? Tiba-tiba aje tak boleh start. Nasib baik ayah cuti hari ni, bolehlah aku kebas kereta dia. Kalau dibuatnya ayah tak ada, tak ke seksa aku nak tunggu bas. Mahu extend lagi satu semester semata-mata nak ambil subjek Programmable Logic Controller (PLC) ni.

Aku tutup radio yang dah berjaya menyerabutkan kepala aku dengan lagu entah apa-apa. Masa-masa macam ni patutnya aku buka zikir untuk tenangkan hati.

Boleh pula jalan sesak masa ni. Semua kereta bergerak tak lebih dua langkah. Kalau ikutkan, kampus aku tu tak sampai satu kilometer dari sini.

Nak aje aku turun jalan kaki kalau tak fikir pasal kena jaga kereta ayah aku ni. Tapi dalam aku bengang- bengang, sempat juga aku terpegun tengok kereta kat depan. Ferrari F12 Berlinetta warna merah menyala.

"Kereta best-best pun tak boleh gerak juga kalau jam." Aku cakap sorang-sorang. Sebenarnya tu ayat jealous daripada manusia yang tak boleh pakai Ferrari.

Aku tekan pedal minyak apabila kereta depan bergerak. Tiba-tiba ada sorang hamba Allah yang tengah tolak troli melintas betul-betul depan sebelah kiri aku. Aku nak mengelak daripada terlanggar orang tu, aku terus pusing stereng ke kanan lepas tu cepat-cepat brek sebab ada kereta depan aku.

Orang tu selamba aje lalu dengan troli kat tepi kereta aku. Lepas dia tak jadi melintas kat depan tadi. Rupa-rupanya orang tu dah putus empat lima wayar kat kepala. Sabar ajelah!

Aku tengok depan dengan mata terbeliak. Cepat-cepat keluar dari kereta terus tuju ke bahagian depan kereta. Kalau aku langgar Ferrari tu, rasanya aku boleh gantung diri sekarang sebab kalau balik rumah pun gerenti ayah aku cekik aku.
Ferrari tau tak. Ferrari!

Tuan punya kereta tu pun turun menuju ke bahagian belakang kereta dia. Aku tengok dia sekilas tapi aku boleh nampak dia pakai sunglasses Bvlgari dan manusia tu macam tenang je. Mestilah tenang, bukan dia yang langgar Ferrari.

Jadi kesimpulannya aku satu-satunya manusia yang terang-terang menggelabah kat sini. Aku tengok jarak antara kereta dia dengan kereta aku. Lebih kurang dua sentimeter kut tapi memang dah dekat sangat dah!

"Janganlah kereta dia calar mana-mana. Kalau tak, jangka hayat aku habis setakat hari ni aje!" aku bercakap dalam hati dan jantung aku terasa macam dah nak tercabut.

Kenapa aku kena test jantung masa nak final exam? Waa, malangnya nasib aku hari ni!

Dia bagi isyarat suruh aku alihkan kereta ke tepi sebab kereta kami tersadai betul-betul di tengah jalan.

Jadi menambahkan lagi kesesakan jalan yang memang dah sesak tadi.

Aku alihkan kereta lepas tu keluar semula dari kereta. Ramai orang tengok aku dengan muka simpati termasuklah pemandu- pemandu yang lalu tepi aku ni. Aku ni lagilah bersimpati dengan nasib sendiri.

"Kena ke?" aku tanya dengan nada yang tersangatlah cuak sambil buat muka kesian dengan harapan dia ada lah belas ehsan kat aku.

"Rasanya tak.” Lelaki tu jawab. Dia bersandar sambil berpeluk tubuh di belakang kereta dia.

"Serius ke tak kena?” Apalah aku bodoh sangat pergi tanya soalan macam tu. Dah dia kata tak tu, tak kenalah maknanya. Apa lagi Lia, cabutlah!

"Tak." Dia senyum tengok muka gabra tahap tak boleh bawa bincang aku tu. Tapi aku dah tak boleh senyum lagi, rasanya deria gembira aku dah tercabut tadi.

Aku tarik dan lepas nafas sambil pegang dada macam orang tak cukup oksigen. Lepas tu terduduk atas bonet kereta ayah.

"Tak langgar pun Kak Long.” Dia cakap lagi. Aku kerut kening sambil tengok kiri kanan. Err, dia ni bercakap dengan aku ke? Dah tak ada orang lain kat sebelah aku.

"Cakap dengan saya ke?" aku tanya soalan dengan muka confused.

"Ye lah.” Dia angguk. Dia panggil aku Kak Long ke tadi? Ke aku salah dengar? Salah dengar kut! Aku senyum kat dia. Deria senyum aku dah pulih seperti sediakala nampaknya.

"Kita jumpa je mesti accident." Dia senyum lagi. Aku tengok lelaki yang pakai kemeja sutera Haider Ackermann berwarna biru gelap yang di masukkan ke dalam jean Levi’s kat depan aku ni. Dah kenapa pakai baju sutera ni bang? Karang saya bagi tazkirah bertajuk pemakaian yang haram bagi lelaki baru tau.

Tapi aku kenal ke? Kenapa gaya dia bercakap macam kenal aku aje? Aku tak dapat tengok muka dia dengan jelas sebab dia pakai sunglasses. Lagipun aku memang ada masalah nak ingat muka orang yang tak mendatangkan apa-apa faedah untuk aku. Penyakit hilang ingatan aku tu memang dah tenat pun!

Tengah aku tengok muka dia dengan gigihnya, aku ternampak jam Richard Mille RM 010 Titanium dia yang berkilat-kilat tu. Gila kaya mamat ni! Kereta, jam, sunglasses, baju semua jenama tahap Hollywood.

Tapi mesti harta bapak, tu ajelah kerja anak-anak orang berharta ni. Perabis harta mak bapak lepas tu malas nak kerja pula tu. Heret girlfriend kehulu kehilir dengan kereta sport. Jangan harap manusia macam ni boleh jadi suami yang soleh lagi berpekerti tinggi okay.

Mata aku jatuh pada jarum jam dia. Aku dekatkan kepala aku pada jam tu sebab tak nampak sangat jarumnya. Dia sedikit terkejut. Alamak! Dah pukul 1.45.

"Exam!" aku menjerit sambil lari nak buka pintu kereta.

"Sorry, saya nak exam." Sempat aku jerit pada dia.

Lagipun aku tak langgar dia. Jadi bolehlah aku blah macam tu aje. Aku tekan minyak tak ingat dunia lepas tu, nasib baik jalan dah tak sesak. Tadi jalan sesak pun sebab ada sekolah kat depan. Masa tu pula budak-budak baru balik sekolah jadi banyaklah kenderaan mak ayah berhenti tepi jalan yang memang dah sempit tu semata-mata nak ambil anak dia orang.

sweet sourWhere stories live. Discover now