KIM-ICHA : BAB 2

249 20 4
                                    

Berdiri tegak figura lelaki kemas berpakaian kasual di lobi lapangan terbang menanti servis Grab yang ditempah untuk tiba menjemputnya.

Sambil berdiri menunggu, sibuk tangannya menari di skrin telefon menyemak emel dan mesej yang masuk bertalu-talu.

Terpanggung kepala apabila melihat sebuah kereta Proton Persona sampai betul-betul di hadapan tempat dia berdiri. Pantas bagasi disumbat ke dalam boot dan terus meloloskan diri ke dalam perut kereta.

Tidak sampai setengah jam, tiba dia di hadapan rumah keluarganya.

Rumah teres dua tingkat yang didiaminya sejak kecil bersama keluarga.

Keluh berat dilepaskan. Bagasi ditarik masuk ke dalam rumah. Baru sahaja kaki ingin menaiki tangga, terdengar laungan dari dapur oleh ibunya.

"Angah? Dah balik?!"

Terhenti langkah kaki Hakim untuk melangkah. Ditinggalkan bagasinya di tepi tangga dan terus menuju ke dapur. Tangan ibunya diraih dan dicium Hakim.

Kelihatan bapanya juga turut berada di meja makan sedang duduk bersandar di kerusi makan sambil bermain dengan telefon bimbit. Tangan bapanya diraih juga untuk dicium.

"Baru sampai bu. Kenapa?" Soal Hakim.

"Kata sampai malam tadi? Lama ibu tunggu Angah. Rumah dah habis barang basah. Nak tunggu angah balik, belikan barang basah untuk rumah," beritahu Syarifah Yuhanis.

"Kenapa tak minta Ayaz belikan?"

"Dia tu berkira. Macamlah angah tak kenal dia. Gaji dia, untuk dia je!" Jeling Yuhanis.

Masak dia dengan perangai anak bongsunya itu. Untuk kawan-kawan, bukan main pemurah lagi anaknya itu membelanja. Bila disuruh untuk membeli barang dapur, pelbagai alasan yang akan timbul. Hanya Hakim satu-satunya anak yang masih boleh dia bergantung harap untuk menyara isi rumah ini.

Antara semua anaknya, gaji Hakim juga yang paling lumayan. Tidak mahu dia menganggu anak sulungnya Syed Haziq Mukhriz yang hanya bekerja di sektor awam itu. Gaji cukup-cukup untuk menyara keluarga kecilnya.

Anak ketiganya Syed Hayyan Mirza yang sedang menanti cahaya mata itu pula bekerja di hotel mewah sebagai salah seorang pengurus. Apabila anaknya itu pulang sebentar bersama isteri, barulah penuh peti ais rumahnya dengan barang dapur yang dibelikan anak ketiganya itu. Jika anaknya itu tidak pulang, tiadalah barang dapur.

Syed Harraz Malieq? Jangan harap. Tiada langsung rasa bertanggungjawab untuk bertanya perihal keperluan rumah. Hanya tahu pulang dari kerja, lauk sudah tersedia untuk dijamah sahaja. Oleh kerana itulah dia bergantung harap pada Syed Hakim Mikael.

Anak keduanya yang tidak berkira, selalu memberikannya wang untuk berbelanja. Gaji juga lumayan, sudah mencecah 5 angka. Mewah hidupnya bersama suami hasil dari Hakim.

Di sudut hati, berharap anak keduanya itu akan tinggal bersamanya sampai bila-bila walau sudah berkahwin sekalipun.

"Kenapa ibu tak suruh je dia belikan dulu? Nanti angah gantilah duit dia," keluh Hakim.

Niat untuk qadar tidurnya pagi ini hanya tinggal niat sahaja. Tidak sampai hati melihat wajah cemberut si ibu.

"Malaslah ibu. Nanti asyik mengungkit je dia. Angah pergilah belikan sekarang. Ibu nak masak sekejap lagi," gesa Yuhanis.

KIM'S: HIS STELLA | OGWhere stories live. Discover now