"Punya banyak request dia pagi-pagi. Kalau bagi duit tadi bolehlah bawa bincang. Ini tidak," celoteh Arzhel. Langkahnya diatur menuruni anak tangga.

....

ENCIK Yazid berjalan-jalan santai menuju pulang ke rumahnya. Cuaca pagi itu sedikit lembab. Seharusnya pada ketika itu terik mentari sudah naik mencanak. Tetapi sepertinya suria pada waktu itu enggan memunculkan dirinya untuk maya. Masih bersembunyi ditelan awan yang kian murung. Mungkin, sebentar lagi bumi akan berpesta air.

Lelaki tua itu memilih untuk berjalan kaki. Tidak seperti sebelum ini. Selalunya, dia akan menaiki motorsikal menuju ke surau. Entah kenapa hari itu dia lebih memilih berjalan bersendirian. Sebenarnya dia dipukul hiba.

Azriel memberitahunya bahawa itu hari terakhir Azriel di rumahnya. Azriel mahu pulang. Menjenguk Arzen dan kembali berkerja seperti biasa. Alhamdulillah, dia melihat banyak perubahan dalam diri Azriel.

Meskipun tubuh Azriel terlihat sedikit kurus, namun dia akhirnya melihat ada senyuman yang ikhlas meniti pada bibir menantunya itu. Sebelum ke surau, sempat Azriel menyapa dia dengan wajah yang segar. Terlihat gembira.

Mengenangkan itu, Encik Yazid dihambat bahagia. Kendatipun hari itu dia akan kembali sunyi. Kalau Azriel pulang, siapa yang akan menemaninya di situ? Ah, tak mengapa. Asalkan semuanya baik-baik sahaja.

"Pak Cik! Pak Cik Yazid! Tunggulah kejap!"

Encik Yazid berpaling ketika mendengar satu suara yang cukup dia tahu gerangannya siapa. Arzhel Qadr, tentunya. Malas-malas dia memandang anak muda yang satu itu. Pasti ada saja tingkahnya yang membingitkan suasana. Tak tenteram hidupnya.

"Kamu dari mana sampai berpeluh-peluh macam ni?" Hairan ketika melihat Arzhel yang tercungap-cungap itu terpacul di depan mata. Entah dari mana.

Di tangan Arzhel ketika itu, ada kuih-muih yang dibungkus dengan plastik jernih.

"Dari belikan menantu Pak Cik sarapan. Dia nak makan kuih seri muka sebelum gerak." Arzhel mengibas wajahnya yang merah. Panas dapat, penat pun dapat.

"Pak Cik jalan kaki ni kenapa? Motor rosak?" soal Arzhel. Berjalan beriringan dengan Encik Yazid.

"Sengaja. Azriel kata kalau jalan kaki boleh buat senaman juga. Aku ni dah tua. Memang perlu jaga kesihatan," jawab Encik Yazid.

"Baru sekarang nak jalan kaki, eh? Tapi tak apa, Pak Cik. Eloklah tu!" Arzhel senyum. Sempat dia menyindir halus. Celotehnya itu hanya dibiarkan tidak dibalas. Dah macam bercakap dengan tunggul.

Seketika kemudian, Encik Yazid berhenti melangkah. Saat menyedari bahawa ada beberapa lori dan kenderaan lain yang parkir tepat di kawasan tanah kosong di samping rumahnya itu. Persis seperti adanya projek pembinaan yang akan dilakukan.

Orang-orang kampung juga sudah mulai berkumpul di sekitar tempat itu. Riuh keadaannya. Hingar-bingar sehingga menarik perhatian Encik Yazid. Segera dia mengorak langkah mendekati mereka yang ada di sana.

"Asalamualaikum," ucapnya. Seraya memandang keadaan sekeliling. Penduduk di situ tersenyum lebar. Masing-masing gembira seperti menerima khabar baik.

"Waalaikumussalam, Yazid!" Pak Samad, seorang lelaki tua yang sebaya dengan Encik Yazid menyahut. Tangan Encik Yazid dijabat dalam keadaan gembira.

"Ada apa dekat sini, Pak Cik?" aju Arzhel. Turut sama bingung.

"Ha, ada apa ni? Kenapa tanah kosong ni dibersihkan?"

Ada beberapa sampah sarap dan belukar yang sudah mulai disingkirkan daripada tempat itu. Menandakan bahawa proses penyediaan tapak sedang dilaksanakan. Pemancangan juga sudah terlihat jelas.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now