EPILOG

46.7K 2K 836
                                    

🌹

4 tahun berlalu...

SUDAH lama tempat itu tidak dia jejaki. Sudah hampir berbulan-bulan lamanya. Bahkan, dia hampir terlupa akan di mana tujuannya kala itu. Tempat itu masih sama.

Masih ada pintalan syahdu di situ.

Dia diam sejurus. Memerhatikan bagaimana linangan air mata pernah jatuh berjuraian di tempat yang suram itu. Hening bergelimpangan. Berbungkus hiba dan juga sayu.

Sehingga detik di mana dia berdiri di tempat itu, titik-titik hitam yang pernah tercalit dalam hatinya masih berbekas. Masih bengkak kenangan yang menjadi mimpi ngerinya.

Arzhel Qadr tersentak. Merasakan tangannya ditarik oleh seorang anak kecil, dia lantas tersedar. Kemudian, dia menyunggingkan segaris senyuman manis.

"Papa Arzhel, kenapa kita datang tempat ni?" Arzen Bilal Khair mendongak, memandang wajah kacak Arzhel. Lelaki yang sudah lama merawatnya.

Ya...

Detik itu, dia kembali ke tanah perkuburan itu. Tempat pulang seorang Karl Azriel dan Laura Humaira beberapa tahun yang lalu. Masih tidak percaya. Namun itulah ketentuan Allah. Siapa kita mahu menentangnya?

"Nampak tak tiga kuburan dekat hujung sana?" Arzhel menunding ke arah kuburan yang dia maksudkan.

"Nampak," Arzen mengangguk kecil. Turut sama memandang daripada kejauhan.

"Itulah rumah papa Azriel, umi Maira, dengan kembar Arzen." Arzhel Qadr menatap sayu. Rindu. Dia rindu.

"Kenapa papa, mama dengan adik tinggalkan Arzen?" Arzen menarik muka. Terlakar kesedihan pada wajahnya.

"Sebab, diaorang nak tengok Arzen membesar dengan kuat. Diaorang pergi, bukan sebab diaorang tak sayang Arzen. Tapi diaorang nak tengok Arzen berjaya satu hari nanti." Arzhel mendukung Arzen.

Sejurus itu, dia mengorak langkah menuju ke salah satu kuburan di tempat itu. Terlakar jelas nama sahabatnya. Sebak datang lagi. Kali ini, semakin kedap bertaut. Semakin dia rindu. Dan semakin dia terluka.

"Assalamualaikum," ujar Arzhel. Dia mengambil tempat di sebelah Arzen. Seraya merenung ke hadapan.

"Tak nak sapa papa?" Arzhel Qadr melirik Arzen yang diam membatu. Pasti anak kecil itu sedang kebingungan.

Sepanjang ketiadaan mereka, Arzhel menggantikan tempat Azriel. Selalu menemani Arzen. Sehingga kadang kala, Arzen menganggapnya sebagai ayah. Dia gembira dalam duka.

Keluarga Azriel dan Humaira semuanya baik. Memberikan ruang kepadanya untuk menjaga Arzen.

Setiap kali dia menatap mata Arzen, ada pintalan raut seorang Karl di situ. Tika senyuman Arzen terukir, dia teringat pada manisnya wajah seorang Humaira. Sahabatnya.

"Asalamualaikum, papa Azriel. Arzen datang dengan papa Arzhel hari ni," Arzen Bilal Khair bersuara. Sungguh membuat Arzhel terhempas duka.

"Umi Maira dengan adik pula?" Arzhel menaikkan sebelah keningnya.

"Asalamualaikum, umi Maira dan adik. Hari ni papa Arzhel bawa Arzen datang sini," ujar Arzen, masih dalam kebingungan. Kenapa mereka harus pergi?

"Diaorang mesti tengah tersenyum. Sebab, papa Arzhel bawa pahlawan diaorang dekat sini." Arzhel mengusap rambut Arzen yang kecoklatan. Tak tumpah dengan riak Azriel.

"Arzen nak cakap sesuatu dengan dia orang boleh?" Wajah Arzhel dipandang. Bersama mata bulat yang penuh dengan sinaran kasih.

"Boleh. Arzen nak cakap apa?"

Arzen berpaling, merenung batu nisan yang mengukirkan sebaris nama ibunya. Kemudian, beralih pada kuburan sang kembar. Sebelum jatuh pada kuburan Azriel.

"Arzen nak tengok macam mana muka umi dan papa Azriel. Sebab papa Arzhel selalu bagitahu yang muka Arzen sama dengan papa Azriel dan umi Maira." Arzen tersenyum manis.

"Lepas tu, papa Arzhel selalu cakap yang Arzen boleh jumpa semua orang dekat mimpi. Umi Maira dengan papa Azriel tak datang jenguk Arzen pun..." Kemudian, Arzen mematikan senyumannya. Menarik muka.

"Tapi, Arzen nak minta dengan Allah. Jagakan jantung hati Arzen ni dekat syurga. Sebab Arzen nak berjumpa dengan semua dekat sana. Tunggu Arzen!" Arzen kembali tersenyum. Buatkan Arzhel Qadr terdiam sejenak.

Rasa bersalah menyerang. Ketika Arzen membesar dengan kasih yang tidak sempurna. Cinta yang masih tergantung. Arzen membesar tanpa merasai sentuhan dan belaian papa dan uminya.

"Sekarang, Arzen nak cakap dengan kembar Arzen pula!" Laju Arzen bingkas. Kemudian mengorak langkah menuju ke suatu sudut. Kuburan kecil itu menjadi tempat dia berborak untuk seketika.

Arzhel Qadr menghela nafasnya. Kemudian memaksakan diri untuk tegar.

"Azriel, aku datang ni. Lama betul aku hidup tanpa kawan baik aku ni. Aku bosan. Semenjak kau tak ada, aku dah jarang gelak." Arzhel tertunduk lesu.

"Tahu tak, aku yang pimpin solat jenazah kau sambil menangis? Aku dah jalankan tanggungjawab aku sebagai kawan kau. Tak sangka, kau betul-betul cintakan Humaira. Sampai kau ikut dia pergi sana." Luah Arzhel.

Kehilangan. Dia ikhlas. Tapi rindu selalu ada. Setiap hari. Setiap saat.

"Anak kau dah besar. Muka dia sebijik macam kau. Aku minta maaf, sebab aku tak boleh bagi dia rasa kasih sayang yang sesungguhnya dan sepatutnya." Arzhel memandang ke arah Arzen untuk seketika.

"Aku sekarang masih bertugas azan dekat masjid Ar-Rahman. Kalau kau nak tahu, masjid al-Humaira pun dah ada imam muda. Jangan risau, masjid tu ramai pengunjungnya."

Kemudian, Arzhel berpaling memandang kuburan yang satu lagi.

"Humaira. Lama saya tak jenguk awak. Awak wanita yang hebat. Jangan risau, sweety. Arzen selamat dengan saya. Rehatlah dengan tenang."

Arzhel mengeluarkan sesuatu pada kocek seluarnya.

"Sepanjang Azriel jaga awak dulu, dia ada tulis surat untuk awak. Dengan harapan, awak boleh bangun dan baca. Tapi hasrat dia tak kesampaian. Saya baru teringat. Saya lupa nak bacakan." Arzhel Qadr membuka lipatan kertas tersebut.

Bait-bait yang cukup indah. Perasaan cinta seorang Azriel tumpah di atas kertas dalam bentuk aksara. Begitu indah kisah mereka.

"One fine day, saya bagi Arzen baca. Untuk sekarang, saya simpan dulu."

Ketika Arzen kembali disampingnya, Arzhel terus menyimpan kertas tersebut. Sedikit renyuk. Namun masih cantik dan kemas.

"Azriel, aku balik dulu. Ada masa bila aku rindu kau, aku datang lagi."

Tubuh kecil Arzen didukung. Tatkala dia melangkah, Arzen melambai-lambai tangan ke arah tanah kuburan itu. Seolah-olah melihat bayangan papa dan uminya. Umpama merasai kehangatan kasih mereka.

Takdir Tuhan, selalu baik. Seperti baiknya semesta kepada manusia. Ketika lelahnya jiwa dibedal badai kehidupan, namun jiwa itu tetap bertahan, ramai yang tidak sedar. Semesta menunjukkan bahawa hebatnya diri itu.

Syukur dipanjatkan. Tuhan meminjamkan orang-orang baik seperti Humaira di dunia ini. Biarlah dia diulit lena yang panjang. Mengubat lelah dan sakit.

Wanita hebat, hanya untuk lelaki yang tepat. Karl Azriel, lelaki yang menjadi peneduh dalam payung kasih seorang Humaira.

Tenanglah di alam sana. Cinta mereka masih bersatu. Bahkan ketika maut berhasrat memisahkan, mereka tetap ditakdirkan bersama.


"Allah mempertemukan dua hati dengan jalan yang berbeza. Bahkan maut sekalipun boleh menjadi titik pertemuan mereka."

🌹

-TAMAT-

Maaf, terlalu banyak kekurangan dalam penulisan saya.

Terima kasih semua♡

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now