"Aku tak minta dijenguk," bisik Azriel keras di telinga Arzhel. Kemudian menjeling tajam.

"Bawa dia pergi surau solat subuh sekali. Aku gerak dulu. Jangan tak datang pula. Dengar kata anak ustazah," sindir Encik Yazid sebelum terus melangkah pergi.

"Baik, abah Yazid!" sampuk Arzhel.

Pagi-pagi itu, dia disergah oleh perasaan hairan yang berlipat kali ganda. Kedatangan Arzhel ke tempat itu sesuatu yang tidak pernah dia jangka. Patutlah akhir-akhir ini Arzhel selalu bertanya di mana keberadaannya. Konon kedatangan Arzhel itu adalah sebuah kejutan untuknya. Walhal, menyusahkan saja. Menambah beban hidup sungguh!

....

TERIK mentari semakin ganas menjamah alam. Pulang sahaja dari surau, mereka berjalan-jalan santai di pinggir sawah. Meskipun keadaan rumah-rumah penduduk di situ dia lihat seperti kurang diperhatikan, namun pemandangan di sekitar desa itu berjaya mencuri perhatiannya.

Pada awalnya, dia tidak berminat untuk meluangkan waktunya bersiaran di halaman kampung itu. Beranggapan bahawa kampung Tok Wan jauh lebih cantik dan nyaman. Lagi pula, tiada beza. Suasananya tetap sama.

Bila Arzhel terus-menerus memaksa, dia akhirnya akur. Penyudahnya, mereka sudah berjalan-jalan lebih kurang tiga puluh minit lamanya selepas solat subuh di surau.

"Aku mimpi kau solatkan jenazah aku," ujarnya, sekadar berbasa-basi. Sudah agak lama mereka membungkam. Tiada seorang pun yang memulakan percakapan.

"Lepas je kau balik masa tu, aku pengsan dekat kuburan bini aku. Nasib baik ada orang tengok," sambungnya. Ketika itu, Arzhel sekadar berdiam.

"Aku dah tak ingat sangat pasal mimpi aku tu. Tapi yang pasti, aku mimpi kau solatkan jenazah aku. Angkat keranda aku. Lepas tu kuburkan aku sekali." Azriel menebarkan pandangannya ke arah beberapa petani yang sedang berkerja di tengah-tengah terik.

"Penat sangatlah tu," balas Arzhel.

"Mungkin. Kalau jadi betul-betul pun, apa salahnya?" Suara Azriel terdengar meleret. Seperti mencemuh, mendengus kesal di hujung ayatnya.

Arzhel Qadr sekadar tersenyum nipis. Berdiri di sebelah Azriel lalu turut sama membuang pandang ke mana-mana. Sekadar termenung. Menyambut pagi dengan fikiran yang jernih. Sungguh menyamankan.

"Ikhlas?" soalan itu meniti pada bibir Arzhel. Dia mengerling sekilas memandang wajah sahabatnya itu. Terlihat karar. Meskipun dia tahu, Azriel masih belum pulih seutuhnya. Masih ada sisa lara yang terpahat dalam relung hati Azriel.

"Ikhlas," jawab Azriel teragak-agak seraya mengangguk kecil. Kemudian menundukkan kepalanya memandang tanah yang kering kontang itu.

"Tapi aku tak kuat."

Mendengar itu, bertambah lebar senyuman pada bibir merah Arzhel Qadr. Respons Azriel seolah-olah sudah dapat dia teka daripada awal.

"Kata ikhlas? Tapi kenapa tak kuat?"

"Maksudnya?" Berkerut dahi licin Azriel.

"Kita takkan pernah kuat selagi mana kita tak ikhlas, Azriel. Kalau kau tak kuat, maknanya kau belum ikhlas," ujarnya. Bertambah kedutan pada dahi Azriel bila cuba menghadam apa yang dia sampaikan ketika itu.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now