Dari kejauhan, dia masih boleh melihat rumah yang dicat dengan warna merah jambu. Milik Mak Cik Liza. Kalau malu nak bertanya, sesatlah alamatnya. Alih-alih minta tunjukkan jalan ke kedai, dia sempat berborak panjang. Bila dapat tahu Mak Cik Liza pencinta bunga, makin panjang berjela perbualan mereka.

"Rumah dia cantik sebab dia rajin. Mak Cik Liza tu guru mengaji aku masa kecil."

Sudah lama juga dia tidak mendengar khabar orang-orang di kampung itu. Dulu, di situlah tempat dia bermain. Di hadapan rumah Mak Cik Liza usai mengaji. Sekarang, dia sendiri tidak tahu ke mana kawan-kawan masa kecilnya. Mungkin, sudah ada yang berkahwin dan menimang zuriat. Atau ada yang sibuk bekerja dan masih bujang.

"Bunga dekat depan rumah Mak Cik Liza semua cantik-cantik. Saya singgah sebab kebetulan dia tengah bersihkan halaman. Dia tanam bunga mawar. Cantik!" ucapnya, penuh teruja.

"Bunga mawar? Cantik apanya?" Azriel buat muka menyampah. Nanti, adalah tu nak dikomen. Semua tak kena.

"Cantiklah! Warna dia merah. Melambangkan keberanian, passion, desire and deep love."

"Tulip lebih cantik," bidas Azriel. Menyedari di tangan Humaira ada sekuntum mawar yang berbungkus dengan plastik jernih, dia tersenyum kecil. Sebelum cepat-cepat dia sembunyikan.

Humaira bijak menyesuaikan diri di tempat baru, itu telahannya dalam hati. Dia sendiri tahu bagaimana Mak Cik Liza begitu enggan membiarkan ada orang menyentuh bunga-bungaannya. Tapi nampak gaya Humaira pintar mengambil hati para ibu-ibu.

"Kau curi bunga Mak Cik Liza ke?" soalnya sejurus selepas itu.

"Mana ada! Mak Cik Liza yang bagi. Mungkin dia tengok saya gembira sangat kut. Sebab tu dia bagi. Suruh tanam," Humaira membelek-belek bunga mawar yang masih elok di dalam plastik yang dia pegang.

Tidak tahulah bagaimana nasib mawar itu nanti. Dia memang suka mawar. Tapi mahu merawatnya itu satu hal lagi. Dia tak berapa pandai. Pasti layu dan mati.

Menjaga kuntuman mawar ibarat menjaga dirinya sendiri. Dia selalu bergantung pada orang lain untuk bertahan. Melihat mawar yang mudah dipatahkan kendatipun durinya tajam, ibarat melihat dirinya yang mudah dipatahkan walaupun pada hakikatnya dia tidaklah selemah itu. See? Banyak persamaannya.

"Bijak kau ambil hati dia. Dia tu kedekut biasanya." Amboi, sedap betul dia membahan orang. Dekat-dekat maghrib pun masih nak kutip dosa.

"Mak Cik Liza tu baiklah. Awak je tak tahu. Kalau saya tak datang rumah dia tanya jalan, tak dapatlah saya mawar ni." Ini kedua kalinya dia berborak panjang dengan Azriel setelah kejadian di pantai.

Kalau hari-hari borak macam tu, kan seronok. Tak adalah dia makan hati kemudian menangis macam perempuan gila.

"Bukannya cantik pun," jawab Azriel sambil lewa. Pakej dengan muka yang seolah-olah bersih daripada dosa.

"Habis tulip tu cantik sangat ke?" Tak nak mengalah!

"Cantiklah kut."

"Kalau cantik, cuba jawab. Tulip tu melambangkan apa?" soalnya. Dibalas dengan gelengan Azriel. Lelaki itu menjongketkan bahunya. Tanda tidak tahu.

"Ada juga manusia pelik macam awak yang tak suka mawar, kan?" omel Humaira.

"Sebab Zaharah tak suka mawar. Dia suka tulip." Kenyataan yang buatkan dia mahu terus tenggelam di tengah-tengah sawah.

Humaira tersentak. Hanya daripada lapan patah kata yang Azriel ucap, berjaya membuat dia diam mungkin dalam berjam-jam ke depan. Ada kekecewaan mengalir dalam dirinya ketika itu. Rosak segala keindahan alam yang dia lihat ketika itu.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon