"Selamat datang, hai Puteri Dahlia."

Mata Dahlia membuntang. "Apa?" Dia tidak percaya apa yang baru dilihatnya sebentar tadi. Buku itu yang sebentar tadi kesemua halamannya kosong tanpa walau setitik dakwat pun, kini tiba-tiba seolah bertulis sendiri.

Dahlia kekal kaku membatu tanpa berganjak dari posisi asalnya. Dia gagal mempercayai matanya. Apakah yang sedang berlaku?

Buku berlambang pelita menyala itu yang tadinya dicampak hingga terbalik, tiba-tiba bangun sendiri lalu bersandar pada sebuah dinding. Halamannya masih terbuka. Rupanya seperti halaman yang sama namun butir bicara buku itu berbeza.

"Sungguh aku mengerti bahawasanya kau terkejut dengan kehadiran ku. Namun, tiadalah perlu untuk kau mencampak diri ku sedemikian rupa."

Seolah berbicara dengan Dahlia, buku itu membalas.

Dahlia semakin hilang akal. "Weh tak kelakar" akalnya seolah sukar menerima penyaksian mata.

"Apa benda aku lihat ini?"
"Mimpikah?"
"Aku mati sudahkah?"

Berbagai persoalan dihambur bibir Dahlia. Mulutnya terlopong luas sambil ditutup oleh tangan kanannya.

"Selamat datang, hai Puteri Dahlia..." buku itu sekali lagi menyambutnya.

Dahlia membisu tanpa bersuara. Dia tidak membalas. Riak wajahnya masih terlukis keliru. Terlalu banyak persoalan bermain di mindanya hingga tidak tahu hendak ditanya yang mana satu.

"Sudah lama aku menunggu ketibaan kau" buku itu menyambung.

Dahlia semakin berkerut. Sumpahlah buku ini berbicara? "Apa kau merapu ini?" kelirunya Dahlia kian memuncak.

"Kau Puteri Dahlia bukan?" buku itu menyoal. Setiap kali dia berbicara, dakwatnya terpadam lalu tulisan baru muncul, membalas bicara Dahlia. Buku itu tidak melontar suara. Maka hanya suara Dahlia kedengaran seolah berbicara seorang diri.

"Bukan" balas Dahlia pendek. Sejujurnya dia memberi jawapan. "Aku Dahlia rakyat biasa, bukan puteri yang kau maksudkan" Dahlia mendengus berat. Penat perlu menjawab soalan ini berkali-kali kepada semua pihak.

"Oh maksud kau Tengku Puteri? Aku kenal Tengku Puteri ku. Aku tahu kau bukan Tengku. Namun tetap aku gelar kau sebagai puteri kerana kau dalam penyamaran bukan?"

"Gelaran Tengku itu hanya aku gunakan untuk Tengku Puteri sebenar"

Dahlia ternganga. "Kau tahu? Bagaimana berita tersebar kepada engkau tentang penyamaranku? Bukankah kau sepanjang masa terperap dalam perpustakaan itu sahaja?" tidak masuk akal bicara buku ini. Sudahlah dakwatnya tertulis sendiri.

"Bukankah telah aku sampaikan pada kau bahawasanya aku menanti kehadiran kau ke sini?" buku itu membalas ringkas.

Dahlia mati kata. Boleh naik hantu berbual dengan buku begini.

"Kau siapa? Bagaimana kau kenal akan diriku? Malah tahu tentang penyamaranku?" Dahlia mula memuntahkan soalan yang terbuku di minda.

"Aku sahabatnya Tengku Puteri"

Dakwat berhenti menulis. Buku itu tidak menyambung bicaranya untuk beberapa sela waktu. Dahlia pula kekal membisu. Seluruh ruang itu kembali sunyi tanpa sebarang bunyi pun.

"Puteri Dahlia..."

"Kehadiran kau ke sini adalah rancangan Tengku sendiri"

Akhirnya dakwat menyambung tulisannya. Mata Dahlia membuntang. Berita karut apa yang dibacanya ini?

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now