Beberapa gambar-gambar potret kerabat diraja digantung di sepanjang laluan istana yang dilaluinya. Jenis bahan yang digunakan untuk membina istana ini pun tidaklah menggunakan kayu semata, malah mereka menggunakan jenis batuan atau bahan yang terlihat sungguh mahal dan berkualiti tinggi. Sekalipun selok-belok istana itu agak merunsingkan minda, ianya tidaklah sukar difahami. Kerana selok-belok itu punyai bentuknya yang tersendiri. Corak beloknya, andai difahami, mampu membawa diri seseorang ke mana sahaja sesukanya. Sungguh indahnya seni bina istana ini tiada mampu diungkap kata.

  Dahlia berjalan sehingga ke hujung ruang dan berhenti setelah matanya menangkap kelibat tangga kedua. Tangga kedua ini tiada banyak bezanya dengan tangga di bahagian depan kamar Dahlia. Namun, bukan ingin turun menggunakan tangga kedua itu, Dahlia sebaliknya lebih tertarik ke arah sebuah kawasan tertutup yang kelihatan sedikit usang dan seperti tidak pernah dimasuki orang.

  Ruang itu kecil dan agak sempit. Akibat curiga dengan hala tuju ruang itu, Dahlia menyelit masuk ke dalam belokan yang terakhir di hujung jalan istana itu.

  Tiada apa. Ruangannya kosong. Tiada tingkap, tiada pelita, tiada cahaya. Kawasannya agak gelap biarpun dipagi hari kerana cahaya Sang Mentari tidak mampu menerjah sehingga ke ruang itu.

  Dahlia memerhati sekeliling. Kakinya berjalan perlahan-lahan melangkah sehingga ke hujung jalan. Dinding di situ tidak besar jaraknya antara dinding barat dan timur, menyebabkan jalan itu agak sempit. Syiling atasnya juga agak rendah, tidak seperti ruangan istana yang lain yang punyai syiling tinggi dan gah.

  Selangkah demi selangkah, Dahlia mendapati ruangan itu semakin cerah. Seolah semakin lama semakin bercahaya. Entah dari mana datang cahayanya. Tidaklah cahaya itu terlalu cerah, namun Dahlia yang pada awalnya tidak mampu melihat satu habuk pun di situ, kini pandangannya mula mampu menangkap ukiran-ukiran di dinding istana itu sepertimana ukiran yang dilihatnya di ruangan lain tadi.

  Berbanding dinding istana lain yang dihiasi dengan potret berbingkai atau lampu yang terlekat pada dinding, dinding di ruangan sempit ini langsung tiada sebarang benda. Hanya ada ukiran yang seolah tiada penghujung. Seluruh dinding dipenuhi ukiran.

  Dahlia memberhentikan langkahnya. Kini dia sudah tiba di hujung ruang jalan. Seolah jalan mati, Dahlia tiada pilihan selain berpatah balik. Dapat dilihat dari mana arahnya dia datang tadi memandangkan jalan itu hanyalah lurus sehala. Tambahan pula, terdapat cahaya yang kelihatan, menandakan itulah kawasan asal Dahlia tadi.

  Dahlia yang baru sahaja hendak melangkah pulang, tiba-tiba menoktahkan langkahannya tatkala matanya menangkap satu bahagian dinding yang ditutup dengan langsir semerah jantung.

  Langsir itu diselak. Kelihatan sebuah pintu istana terpampang. Pintunya kecil sahaja tidaklah serba gah namun tidaklah usang juga. Pintu bilik dikuak perlahan. Ternyata tidak berkunci.

  Mata Dahlia mula membulat. Seluruh kawasan gelap gelita. Tidak mampu dia lihat satu perkara pun. Namun tiba-tiba bahunya terlanggar satu lampu pelita di sisi bahu kirinya. Sepertinya terdapat para di bahagian kirinya. Tangan Dahlia meraba-raba peralatan di atas para, cuba mencari sesuatu yang berguna untuk dijadikan sumber cahaya.

Habuk daripada para itu menyebabkan Dahlia bersin sekaligus batuk sekali lagi. Batuk yang sama. Batuk sengsara.

  Sepertinya tangannya berjaya mengenggam sebuah kotak kecil. Kotak itu digoncang.

  "Mancis" suara Dahlia perlahan menyebut. Beberapa batang mancis dikeluarkan dari kotak seraya dinyalakan. Benar tekaannya, di atas para terdapat sebuah pelita dengan sumbunya yang masih elok seperti tiada terpakai. Tanpa berlengah, Dahlia segera menghidupkan pelita sebagai sumber cahayanya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now