Sebuah keluhan berat sekali lagi dihembuskan oleh Raja Sang. Dia kembali bangkit dari duduk separa melututnya. Wan Panji diarahkan untuk menyampaikan hasratnya kepada Sultan Muadzam Shah untuk dia mengundur diri pulang ke tanah airnya.

  Sekilas pandangan terakhirnya dilepaskan ke seluruh kawasan surau dan kawasan kampung yang serba kucar-kacir itu. Rancangannya tidak membuahkan hasil kerana Arjuna sekali lagi terlepas dari cengkamannya, namun ada hal yang lebih mustahak. Kehancuran luar biasa menimpa kampung itu dan penduduknya atas arahannya namun itu bukanlah suatu masalah baginya.

  Ada kuasa lain yang turut campur tangan dalam urusan ini. Sangkanya dia sahaja yang bermusuh dengan puak Wantachitra dan Tarawangsa? Ternyata ada sekumpulan lain yang turut sama memusuhi mereka? Namun siapa? Musuh kepada musuhnya adalah kawan. Raja Sang ingin menggali sehingga ke lubang cacing hingga dapat dia bertemu kumpulan yang boleh menjadi rakan kerjasamanya. 

  Ratu Melawati turut berangkat sama beberapa sela waktu selepas Raja Sang. Diikuti dengan Putera dan Puteri Han yang sudahpun tiba kereta kuda mereka untuk membawa mereka pulang bersama ke istana Wantachitra buat sementara waktu. Mereka mungkin berangkat ke kerajaan asal mereka setelah Puteri Han merehatkan dirinya yang lelah sebentar.

  Kesemua pemimpin kerajaan mula beransur pulang. Bahkan Sultan Muadzam Shah sendiri turut sama berangkat pulang ke istananya. Arjuna perlu diajak untuk sama mengikut Ratu Melawati. Dewi pula bersama dengan Dahlia untuk menghantarnya pulang ke istana Wantachitra dan menjejakkan kakinya di sana buat pertama kali. Iskandar hanya akan menunggang kudanya lalu turut serta bersama rombongan hulubalang Wantachitra pulang ke istana setelah urusannya selesai di kampung itu memandangkan dia ingin menghulur tangan membantu serba-sedikit di kawasan kampung.  
_________________...__________________

  "Dahlia banyakkan rehat ya" Ratu Melawati berpesan sebelum melepaskan dakapannya terhadap gadis itu. Dahlia sekadar mengangguk perlahan seraya tersenyum. Dewi setia memegang lampu minyak tanah serba mewah di sisi Dahlia. Arjuna pula sepatutnya sudah boleh naik kenderaan terlebih dahulu namun sibuk mengikut jejak langkah bondanya, mengucapkan salam perpisahan kepada Dahlia. Ratna juga tiada enggan melepaskan tangan Dahlia. Mujur keadaan gadis kecil itu tidaklah parah kerana Ratna sendiri kurang gemar akan daging kambing maka yang dijamahnya hanyalah sedikit. Kesibukan Dahlia dan yang lainnya di Kampung Empat Puncak itu menyebabkan mereka terlepas pandang seketika akan keadaan Ratna namun mujur gadis kecil itu baik-baik sahaja.

"Oh Dahlia, lupa beritahu kau. Tok Pengembala..."

"Sudah tiada" Arjuna menyambung bicaranya yang terhenti beberapa saat.

Dahlia dan Dewi terkedu. "Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" lafaz mereka serentak. Ratu Melawati turut sama melafazkan takziah.

"Iskandar akan maklumkan pada keluarga si mati nanti katanya" sambung Arjuna lagi. Suasana sunyi seketika seusai Arjuna menghabisi bicaranya. Masing-masing seolah tenggelam dalam dunia sendiri.

Baru sahaja ketemu petang tadi. Malah sempat berseloroh dan bergurau senda. Dalam sekelip mata ajal datang menjemputnya.

Kesunyian seketika itu dimusnah dengan kehadiran Puteri Han ke kelompok kecil mereka. Putera Han tidak turut serta memandangkan dia terlebih dahulu sudahpun naik ke kenderaan khas buatnya.

Puteri Han Li Po sekadar ingin mengucapkan salam kasihnya buat Dahlia dan Ratu Melawati. Bayi yang kini berada bawah jagaan Ratu Melawati akan melalui prosedur rasmi bagi membolehkan anak kecil itu menjadi anak angkatnya pemimpin Tarawangsa itu. Bayi itu kini berada dalam dakapan dan jagaan salah seorang hulubalang Tarawangsa.

"Patik tidak akan risau andai bayi itu berada bawah jagaan Tuanku. Jagalah dirinya dengan baik. Semoga dia membesar menjadi anak yang hebat" ujar Han Li Po dengan pelat Melayunya. Kemudian salam kasihnya diutarakan pula kepada Dahlia namun gadis itu menggeleng.

Dusta Puteri PalsuTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon