𝐖𝐏𝐃 𝟏𝟒

166 17 7
                                    

BELAKANG tubuh Azaleya dipandang dengan tatapan tajam. Persis seperti pembunuh yang sedang memerhati mangsanya dari jauh. Wanita itu dari tadi sedang ralit mereka bentuk pakaian untuk pengeluaran busana baharunya nanti. Tangan itu langsung tidak berhenti dari melukis. Begini lah kehidupan seorang fashion designer. Otak itu memang tak berhenti-henti mengeluarkan idea baharu.

"Leya." Setelah lama mereka berdua berdiam diri, Qaissara memanggil kawan baiknya yang sedang sibuk dengan dunianya sendiri, berharap supaya kali ini Azaleya memberikan sepenuh perhatian padanya.

"Hmm," balas Azaleya tanpa menoleh ke arah Qaissara. Dia masih sibuk menyiapkan lukisannya. Lehernya terasa agak lenguh kerana telah menunduk terlalu lama namun lukisannya itu perlu disiapkan sebelum minggu hadapan.

"Jom pergi kursus kahwin dengan aku nak? Kau belum pergi kan?" Tangan Azaleya seketika berhenti dari melukis. Badannya kemudian berpusing menghadap ke arah Qaissara yang sudah memandangnya dengan mata yang terkebil-kebil. Kena sampuk ke apa kawan dia ni?

"Kau tiba-tiba dah kenapa? Bukan ke kau tak suka benda-benda begini? Tak silap aku, dulu pun mak kau paksa kau pergi kan tapi kau tolak?" Lengan dilipat ke dada sambil menatap tajam ke arah Qaissara. Kening sebelah kiri dijongket.

"Fikiran manusia kan boleh berubah-ubah? Bila difikirkan balik, tak salah juga kalau aku nak pergi. Lagipun aku boleh pergi dengan kau." Matanya kembali terkebil-kebil seperti anak kecil yang meminta aiskrim. Pipinya turut dikembungkan. Geli juga tapi mungkin itu sahaja lah caranya untuk memujuk Azaleya.

"Tak nak lah. Buat apa? Aku bukannya nak kahwin lagi." Azaleya kemudian menoleh semula ke arah mejanya, kembali membelakangi Qaissara. Dibiarkan sahaja kawannya itu. Semakin dilayan, semakin pelik perangainya. Tangannya bergerak semula untuk menghabiskan lukisan yang belum disiap.

"Jom lah Leya. Tak rugi pun pergi sebabnya nanti kau nak kahwin juga. Jadi sekarang kena lah buat persediaan awal." Qaissara lantas berdiri dan menghampiri kawan baiknya. Leher Azaleya dipeluk dari arah belakang.

"Tak nak. Aku sibuk." Azaleya masih tetap dengan pendiriannya. Belum masanya lagi untuk dia pergi ke kersus kahwin tersebut. Minggu ini dia memang terlalu sibuk dengan kerjanya.

"Tapi aku dah daftar nama kau sekali." Terbuntang luas mata Azaleya apabila mendengar itu. Kenapa Qaissara tak beritahunya dahulu sebelum mendaftar?

"Sara! Kenapa kau tak bagitahu aku?" Bibir bawahnya digigit. Geram betul dengan Qaissara kerana dah buat keputusannya sendiri tanpa melibatkan dia.

"Ya lah kalau aku bagitahu pun kau memang tak akan setuju." Azaleya menjeling tajam ke arah Qaissara. Alasan!

"Jom lah... teman aku. Kau tak kesian ke dekat aku nak kena pergi sorang-sorang?" Wajahnya sengaja di comelkan seraya bibir dicebik.

"Suka hati kau lah." Azaleya kembali dengan kerjanya. Sudah malas melayan kerenah Qaissara.

"Jadi... kau setuju ke tak ni?" soal Qaissara semula. Risau kalau Azaleya betul-betul tidak ingin pergi ke kursus kahwin tersebut bersamanya. Rosak rancangan dia nanti.

"Ya... aku setuju. Aku pergi pun sebab kau kawan aku je tau. Kalau tak, memang tidak lah aku nak pergi," balasnya dengan nada yang mendatar. Qaissara tayang wajah penuh bangga. Akhirnya, dia berjaya memujuk Azaleya untuk pergi. Tubuh Azaleya kemudian dipeluk erat dari arah belakang.

"Baik betul kawan aku yang seorang ni. Sayang kau!" Tubuh Azaleya digerakkan ke kiri dan juga ke kanan. Teruja betul Qaissara sekarang. Harapnya rancangannya ini menjadi.

WAJAH ibunya ditatap dengan tatapan yang penuh lembut. Bibirnya perlahan-lahan mengoyak senyuman nipis. Kali ini dia perlu meminta restu dan pendapat dari seorang ibu sebelum membuat keputusan yang muktamad untuk mengambil seorang wanita sebagai isteri.

"Hud betul ke nak kahwin dengan perempuan tu? Dia dah setuju?" soal Naura dengan sedikit ragu.

"Hud tak pasti yang dia setuju ataupun tidak tapi dia pernah cakap kalau Hud dah yakin untuk nak kahwin dengan dia, Hud perlu datang pada dia semula. Dan yang pastinya Hud datang pada dia disebabkan Allah." Tangan ibunya kemudian digenggam. Nafas dihela perlahan sebelum dia menyambung percakapannya.

"Hud dah cari jawapan dia. Hud dah buat solat istikharah, solat hajat dan solat tahajud juga. Dan Hud rasa... Hud dah jumpa jawapannya sekarang dan Hud yakin dengan jawapan tu. Jadi sekarang Hud hanya perlukan restu dan doa dari mama." Mereka berdua saling bertatapan mata. Tangan lelaki itu kemudian diusap lembut seraya senyuman manis dihadiahkan buat anaknya.

"Mama juga yakin dengan pilihan Hud. Apa yang Hud rasa terbaik, itu juga sebenarnya terbaik buat mama. Allah gerakkan hati Hud untuk pilih dia itu bersebab. Mungkin dia memang betul-betul jodoh Hud."

"Ma... kalau Azaleya tu pernah lalui satu keadaan yang buruk, mama masih nak ke terima dia?" Hud menyoal dengan ragu-ragu.

Sudah awal lagi Hud bersedia dengan apa sahaja jawapan yang akan diberikan oleh ibunya nanti kerana dia tahu, redha Allah juga terletak pada redha seorang ibu. Dia tidak ingin berkahwin tanpa restu. Walaupun perlu melepaskan wanita pilihan hatinya, dia sanggup. Semakin berkerut dahi Naura apabila melihat wajah anaknya yang sedikit gelisah.

"Kenapa Hud cakap macam tu? Keadaan yang buruk macam mana?" soal Naura dengan nada yang masih lembut walaupun kurang faham dengan maksud kata-kata Hud. Dia masih sabar menunggu anaknya itu berbicara.

"Tak ada apa lah. Hud saja je tanya soalan begini." Dia tersenyum kekok. Biar lah kisah silam Azaleya hanya menjadi rahsia antaranya dan juga wanita itu.

"Tapi kalau mama tak berkenan dengan dia tak apa lah. Hud tak paksa mama untuk terima dia. Kalau mama tak restu Hud nak kahwin dengan dia, Hud terima. Hud terima keputusan mama. Hud tak akan kahwin dengan dia." Bibirnya mengoyak senyuman tawar. Dia tahu ibunya itu pasti tidak akan setuju. Naura tiba-tiba tertawa sendiri.

"Hud... mama jumpa dia pun belum jadi kenapa Hud cakap mama tak berkenan pula?" Terkebil-kebil lelaki itu. Hud kemudian tersenyum kecil. Iya tak iya juga.

"Tak apa... Hud bawa dia jumpa dengan mama dulu. Mama pun teringin nak kenal-kenal dengan dia." Senyuman Hud semakin melebar sebelum kepalanya diangguk laju.

"Hud..." Hud kembali menatap mata Naura apabila ibunya itu menyebut namanya. Naura juga menatap redup ke dalam mata anaknya yang persis seperti mata Umar. Melihat itu membuatkan dia tersenyum kerana teringatkan arwah suaminya.

"Perempuan ni... kita kena sentiasa berlembut dengan dia sebab dia mudah sangat terasa dengan apa yang kita cakap. Hati perempuan ni lembut. Kalau Hud bagi kata-kata manis sikit pun diorang dah boleh termakan dengan kata-kata tu. Dan kalau Hud cakap perkataan yang kasar, hati mereka akan mudah terluka dengan kata-kata tu. Jadi Hud cuba lah ya, berlembut dengan perempuan?" Naura cuba untuk memberi nasihat pada anaknya yang boleh dikatakan agak kasar tutur percakapannya dengan wanita-wanita.

Dia ingin Hud faham tentang wanita dan melayani wanita dengan sebaik-baiknya. Dia tak ingin Hud menjadi seorang lelaki yang dayus dan tidak pernah menjunjung tinggi nilai seorang wanita. Mungkin salahnya juga kerana tidak mendidik anaknya dari segi itu sejak kecil. Rasa bersalahnya semakin menguasai diri apabila melihat cara Hud melayani Aaila tempoh hari.

"Sekasar mana pun kita, tetaplah berlembut dengan makhluk Allah yang namanya wanita ni. Hud faham kan apa yang mama cakap?" Perlahan-lahan lelaki itu mengangguk. Hud terlihat sedikit terkesan dengan nasihat yang diberikan ibunya. Mungkin selama ini dia memang terlalu kasar dengan semua wanita yang pernah dia jumpa. Bukannya niat untuk menjadi lelaki yang seperti itu, cuma dia tidak tahu melayani kerenah seorang wanita selain ibunya.

𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐚 | 𝐎𝐆Where stories live. Discover now