𝐖𝐏𝐃 𝟏𝟏

96 12 5
                                    

"Kau ragu dengan hati aku ke sekarang ni?" soal lelaki itu dengan wajah yang hanya mendatar.

"Bukan macam tu maksud saya..." Azaleya mengemam bibir. Tidak pernah dia meragukan lelaki itu melainkan dia risau jika Hud menyesal dengan keputusan yang dibuat.

"Habistu?" Terangkat kening lelaki itu. Tidak faham dengan perempuan ini.

"Saya cuma tak nak awak menyesal di kemudian hari, Hud. Kalau awak dah betul-betul yakin untuk nak kahwin dengan saya, datanglah pada saya semula. Dan yang pastinya... awak datang temui saya kerana Dia. Kahwin dengan saya kerana Dia, bukan disebabkan nafsu semata."

"Awak lelaki yang baik Hud. Dan lelaki yang baik semestinya akan dijodohkan dengan yang baik juga. Saya... perempuan yang jahat. Jahat di mata orang lain, bahkan di mata saya sendiri juga. Saya sendiri masih tak dapat terima dengan kesalahan yang saya buat dulu." Sekali lagi, kepalanya menunduk memandang lantai. Air matanya sempat jatuh namun cepat-cepat diseka.

Hud hanya melihat wanita itu dalam diam. Tak pernah sekalipun lelaki itu menganggap Azaleya sebagai wanita yang jahat atau jijik. Walaupun sudah tahu kisah silamnya, pandangan Hud pada Azaleya masih sama. Dia masih memandang wanita itu dengan penuh cinta.

"Demi Allah, sampai sekarang saya takut untuk nak ada pasangan sebab saya takut mereka tak boleh terima kekurangan saya, tak boleh terima dengan kisah silam saya. Di pandangan mereka saya adalah wanita yang jijik dan tak ada maruah."

'Tapi aku tak pernah anggap kau perempuan yang begitu...' getus hati kecil Hud. Redup sahaja pandangannya saat ini.

"Jadi awak faham kan lah sendiri maksud saya. Bukan niat saya nak menolak awak, cumanya saya tak nak awak menyesal bila kahwin dengan saya nanti." Kali ini Hud lebih banyak diam dari berbicara. Dia hanya membiarkan Azaleya mengungkapkan isi hatinya.

Dia juga faham dengan situasi yang wanita itu lalui. Bukan mudah untuk keluar dari masa lampau yang agak gelap sedangkan kita sendiri yang melaluinya. Tapi sampai bila wanita itu ingin terperangkap dalam kegelapan kisah silamnya?

"Maaf Hud, saya minta diri dulu. Assalammualaikum." Setelah meminta diri, dia bangun dari duduknya dan segera beredar dari situ tanpa melihat wajah Hud yang dari tadi pandangan lelaki itu hanya terarah pada Azaleya. Lidah menolak isi pipi setelah bayangan wanita itu tidak lagi menyapa kornea matanya.

RAUT wajah anaknya yang kelihatan muram itu ditatap dengan penuh kerisauan. Sentuhan dari Naura membuatkan lamunan Hud terhenti.

"Fikir apa? Jauh sangat termenungnya." Genggaman tangan mereka semakin dieratkan apabila Hud menyedari kehadiran ibunya di situ. Senyuman tawar dihadiahkan buat Naura.

"Tak ada apa lah." Senyuman manis masih cuba diukir buat si ibu supaya wanita itu tidak terlalu risaukan dirinya. Pandangan dilemparkan ke arah langit yang sudah kelihatan mendung seakan-akan memahami perasaannya saat ini.

"Tak ada apanya kalau muka pun dah sedih macam tu? Hud boleh tipu diri sendiri tapi Hud tak boleh tipu seorang insan yang bergelar ibu dan... macam mana seorang anak sembunyikan sesuatu, tidak boleh dilawan dengan firasat dan naluri seorang ibu. Dia tahu anak dia tengah sedih ke, ada masalah ke, gembira ke. Jadi... jangan cuba-cuba nak tipu mama." Mata dijegilkan dan jarinya menuding tepat di hadapan wajah Hud seakan-akan ingin memberi amaran yang keras buat anaknya itu. Hud hanya tertawa dengan sikap ibunya.

"Mama dah bawa Hud dalam perut selama 9 bulan. Jaga dengan penuh kasih sayang sehingga lah besar macam ni. Apa je yang mama tak tahu tentang Hud?" Tangan kasar lelaki itu diusap lembut. Cuba untuk menyalurkan ketenangan buat si anak tunggalnya.

"Dari dulu sampai sekarang mama besarkan Hud seorang diri... mesti susah kan jaga Hud waktu kecil-kecil dulu?" soal Hud dengan perasaan yang makin hiba. Sedih pula apabila teringatkan keadaan ibunya. Matanya redup memandang ke dalam mata si ibu.

"Hud minta maaf kalau Hud susahkan mama." Tangan wanita berumur itu dikucup lembut dan penuh kasih sayang. Naura hanya tersenyum. Sedikit bangga dengan didikan yang diberikan pada anaknya.

"Selama 28 tahun mama jaga Hud, mama tak pernah rasa susah untuk besarkan Hud seorang diri. Alhamdulillah, Allah sentiasa mudahkan urusan mama bila nak jaga Hud walaupun tanpa suami di sisi. Hud anak yang baik. Mama bersyukur sebab Allah gantikan kesedihan mama dengan hadirkan seorang anak yang sangat mirip dengan arwah suami." Rambut perang Hud diusap sambil bibir menguntum senyuman manis. Memang benar-benar mirip wajah Umar.

"Cepat lah bagitahu mama." Paha lelaki itu ditepuk lembut.

"Bagitahu apa?" Berkerut-kerut wajah Hud apabila ibunya berkata seperti itu. Rasanya dia tak ada simpan apa-apa rahsia.

"Kenapa Hud nampak sedih. Itu yang mama nak tahu." Oh pasal itu ke? Dia sendiri pun dah lupa tentang hal tadi. Nampak sangat kehadiran ibunya di sini mampu menghilangkan segala keserabutan yang sedang bermain di mindanya pada waktu itu.

Hud mengalihkan pandangannya ke sisi. Tidak ingin bertentangan mata dengan ibunya.

"Apa yang mama nampak... muka sedih macam ni mesti sebab Hud dah ditolak oleh perempuan yang Hud suka kan?" Sedikit membulat mata lelaki itu. Tekaan ibunya ibarat panahan yang kena tepat pada sasaran. Reaksi dari Hud membuatkan Naura tersenyum. Betul tekaan dia.

"Macam mana... mama tahu?" soal Hud agak terkejut.

"Kan Hud pernah cakap yang Hud ada suka seseorang? Kalau sedih macam ni tak lain tak bukan mesti dah kena tolak. Betul? Lagipun mama ikut firasat hati je. Tak sangka juga betul rupanya." Mereka berdua tertawa.

"Kenapa... apa yang jadi?" soal Naura dengan nada yang penuh lembut. Risau jika pertanyaan itu akan mengguriskan hati si anak. Lelaki itu mengeluh berat.

"Katanya dia belum boleh bagi jawapan pada Hud sebab dia tak yakin dengan hati dia."

"Tak apa... Hud bagi dia masa untuk berfikir dan buat keputusan dulu. Tapi pada masa yang sama, Hud pun perlu juga buat keputusan yang betul. Hud dah betul-betul yakin untuk nak kahwin dengan dia?" Lelaki itu hanya diam. Sejujurnya dia juga tidak berapa yakin tetapi hatinya itu sentiasa tertuju pada Azaleya. Adakah itu juga salah-satu petunjuknya?

"Kalau Hud juga belum betul-betul yakin, apa kata kalau Hud buat solat istikharah dulu? Minta petunjuk dari Dia. In Shaa Allah, Allah akan tolong Hud untuk dapatkan jawapan yang tepat. Kalau kita dah libatkan Allah dalam urusan kita, buat apa lagi kita nak risau? Apa pun keputusan yang Hud buat nanti, itu lah yang terbaik menurutNya."

Seusai menghabiskan kata-katanya, Naura menghadiahkan senyuman lebar buat anak lelakinya itu. Sebagai seorang ibu, dia juga mengharapkan supaya Hud membuat keputusan yang betul dan tak akan menyesal dengan keputusan yang dibuat. Kerana dia cukup tahu, untuk hidup dengan pasangan yang dikahwini itu adalah lama. Jadinya, memang penting untuk kita memilih pasangan yang benar-benar sesuai untuk mendirikan rumah tangga bersama kita.

"Faham tak apa yang mama cakap ni?" soal Naura apabila melihat anaknya yang masih diam sambil memandang ke arahnya. Lambat-lambat lelaki itu mengangguk.

"Hud cuba. Tapi... Hud juga perlukan doa dari mama." Tangan wanita itu kembali digenggam dan diusap lembut.

"Sentiasa. Mama sentiasa doakan yang terbaik untuk Hud. Hud anak yang sangat-sangat baik. Dan mama juga akan doakan supaya Hud akan didampingi dengan wanita yang baik suatu hari nanti." Tubuh anak lelakinya kemudian ditarik ke dalam dakapan seraya bibirnya mendarat pada sisi kepala lelaki itu. Memberikan satu ciuman buat Hud Rafael. Satu-satunya anak yang dia miliki bersama Umar Al-Fateh.

'Abang... Naura rindu.'

𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐚 | 𝐎𝐆Where stories live. Discover now