𝐖𝐏𝐃 𝟖

87 17 8
                                    

ANAK mata berwarna hitam pekat itu memandang tajam ke arah Hud yang dengan gaya penuh santai sedang menghirup air miliknya. Pandangan Azaleya saat ini memang seperti ingin mengajak lelaki itu untuk bergaduh.

Sudah 20 minit lelaki itu hanya membisu sebaik sahaja Azaleya sampai di cafe tersebut. Sudah lah kena belanja mamat ni. Lambat seminit je, itu pun nak berkira.

"Kau mengutuk aku ke?" Soalan dari Hud membuatkan Azaleya sedikit gelabah. Laju sahaja wanita itu melarikan pandangannya dari Hud.

"Eh tak lah. Mana ada. Buat apa saya nak mengutuk awak?" Tangannya mula mencapai tisu di sebelah sambil mengelap meja yang sudah jelas kelihatan masih bersih. Cuak pula dia dengan Hud.

"Tu, muka tu. Muka tak puas hati." Bibirnya menjuih ke arah wajah Azaleya. Sudah terang lagi bersuluh memang tak puas hati dengan sikap lelaki itu.

"Awak suruh saya datang sini untuk apa kalau dari tadi awak ni hanya diam je?" Nak emosi juga dia pagi-pagi macam ni bila layan perangai Hud.

"Aku nak kau teman aku je." Tenang sahaja lelaki itu menjawab sambil mengangkat bahu. Air kembali dihirup. Azaleya pula sudah mengeluh berat. Biar betul lelaki ni? Dah kenapa dia pula yang nak kena teman?

"Memandangkan kali ini dah jadi pertemuan keempat kita, jadi aku nak terus terang je dekat kau." Ha sudah. Semakin berdebar-debar Azaleya dibuatnya. Berterus-terang apa pula ni? Dia ada buat salah besar ke?

Hud diam seketika kerana otaknya sedang ligat untuk menyusun ayat-ayat manis buat Azaleya. Harapnya tips dari Hazeeq akan membuahkan hasil untuknya nanti.

Bibir mengoyak senyuman kecil apabila dia teringatkan pertemuan mereka semasa di Foyles, London dahulu.

"Kau suka baca buku?" Wajah Azaleya kelihatan ceria sebaik sahaja Hud berbahas tentang buku. Memang dia suka kalau benda-benda yang begini!

"Suka! Kenapa? Awak pun suka ke Hud?" Hud tersenyum kecil apabila melihat reaksi Azaleya yang kelihatan terlalu teruja. Mata wanita itu sedikit membulat. Comel juga kalau dilihat dari jarak yang dekat begini.

"Suka. Tapi... yang aku paling suka sekarang ni adalah kau." Azaleya terdiam. Err... pengakuan apa pula ni? Rasa cringe secara tiba-tiba.

"Lain macam je bunyinya. Awak okay ke tak ni Hud? Awak tak sihat?" Pelik dengan sikap Hud yang tiba-tiba sahaja berkata begitu. Memang betul-betul tak sihat agaknya.

"Aku nak kahwin dengan kau. Jadi isteri aku dan hidup dengan aku. Pakaikan baju untuk aku, masakkan untuk aku, tidur sekatil dengan aku dan jaga aku macam kau jaga nyawa kau." Suaranya kedengaran serius membuatkan Azaleya menelan air liurnya. Dia tidak tahu reaksi apa yang patut diberikan pada lelaki itu kerana perkara ini terjadi dengan tiba-tiba. Mata dikerdipkan beberapa kali.

"Hud, kita baru sangat kenal dan sekarang ni tiba-tiba awak cakap awak nak kahwin dengan saya? Awak tahu tak kahwin ni bukan benda yang boleh dibuat main?" Lengannya kemudian dilipat ke dada sambil matanya menatap tajam ke dalam anak mata Hud. Cuba mencari keikhlasan di sebalik kata-kata yang dilontarkan sebentar tadi.

"Ayat aku ni tak cukup manis dan jujur lagi ke nak melamar kau?" Kening diangkat tinggi seraya lengannya juga kemudian turut dilipat ke dada. Mata helangnya membalas renungan dari Azaleya. Kecewa juga dia sebenarnya. Azaleya ingat dia ada masa ke nak bergurau tentang perkara penting macam ni?

"Dah manis dan jujur, tapi... tak cepat sangat ke Hud? Kita kenal pun tak sampai sebulan." Dia tahu niat Hud memang ikhlas tetapi bagaimana reaksi lelaki itu jika lelaki itu tahu tentang kisah silamnya? Sudah semestinya Hud akan terasa jijik.

"Cepat-cepat lah bagus. Nak lambat-lambat buat apa? Nanti kau kena rembat dengan lelaki lain. Aku tak suka," jujur Hud. Wajahnya kelihatan bengis sahaja.

"Tapi awak betul-betul dah kenal saya ke? Awak tahu, saya perempuan yang macam mana?" soal Azaleya dengan perasaan yang sedikit gelisah. Hatinya terasa tidak tenteram secara tiba-tiba.

"Banyak tapi lah kau ni. Apa susah? Kita taaruf je lah dulu," katanya dengan penuh tenang. Hud meneruskan kata-katanya apabila tidak mendapat sebarang respon dari Azaleya.

"Nama aku Hud Rafael Bin Umar Al-Fateh. 28 tahun, kerja sebagai captain pilot je. Kau?" Hud menyoal Azaleya kembali. Wanita itu diam seketika sebelum dia bersuara.

Captain pilot je? Dia ingat captain pilot tu kerja yang biasa-biasa ke? Memang level kayangan lah lelaki ni!

"Saya Nur Azaleya Azhara Binti Mohd Azrul. Umur 25 tahun dan saya hanya lah seorang fashion designer. Saya juga ada buka butik pengantin saya sendiri." Azaleya ukir senyum. Tiba-tiba teringatkan perjalanannya untuk sampai ke tahap ini. Hud mencebik bibir. Hebat juga perempuan di hadapannya sekarang.

"Ibu bapa saya dah tak ada. Diorang dah meninggal sejak saya umur 14 tahun," sambung wanita itu lagi sambil kepalanya menunduk. Kali ini Hud terdiam. Matanya yang dari tadi merenung tajam ke arah Azaleya dengan serta merta berubah menjadi redup. Dia hanya mampu diam dan membiarkan wanita itu untuk bersuara. Lagi pula dia ingin tahu lebih dalam tentang Azaleya.

"Dan sekarang saya tinggal serumah dengan kawan saya je, Sara. Sebenarnya saya ada je keluarga angkat tapi sekarang dah tak rapat macam dulu disebabkan satu kejadian. Kejadian yang membuatkan saya dibuang keluarga angkat saya sendiri." Wanita itu mengukir senyuman tipis. Terasa ingin menangis apabila mengingat kisahnya dahulu. Disebabkan kesalahan diri sendiri, keluarga angkatnya itu telah memandang serong terhadapnya.

Hud masih setia mendengar luahan dari wanita itu. Ternyata wanita yang dianggap ceria dari luaran sudah lalui kisah hidup yang menyayat hati.

"Boleh aku tahu kejadian apa?" Soalan dari Hud memberi sedikit kesan buat Azaleya. Terkelu lidah wanita itu untuk menjawab.

"Maaf, saya belum sedia nak bagitahu pada awak." Suaranya kedengaran perlahan namun masih mampu didengari oleh Hud. Lelaki itu juga hanya diam membuatkan Azaleya semakin bertambah gelisah.

"Kalau awak pula macam mana?" soal Azaleya. Wajah lelaki itu tidak lepas dari renungannya. Tenang sahaja apabila melihat wajah Hud.

"Papa aku pun dah meninggal sejak aku dalam kandungan mama aku lagi. Papa aku sakit kanser." Semakin terdiam Azaleya dibuatnya. Sudah semestinya lelaki itu langsung tidak pernah merasai kasih sayang dari bapanya sendiri.

Suasana antara mereka juga tiba-tiba menjadi hening. Hanya ditemani suara-suara dari pelanggan cafe tersebut.

"Kalau saya ada kisah silam yang buruk, awak masih nak ke terima saya?" Beberapa detik barulah Azaleya kembali bersuara. Berdebar-debar hatinya untuk mengetahui jawapan dari lelaki itu.

"Aku tak kisah. Lagipun benda tu dah lepas. Dah ditinggal jauh di belakang dah pun. Jadi buat apa buang masa untuk nak ingat semula? Lebih baik fokus dengan apa yang akan jadi di masa depan nanti. Aku sendiri pun ada kisah silam yang agak pahit. Aku pernah jatuh longkang semasa zaman sekolah rendah dulu. Habis semua budak gelakkan aku." Azaleya tertawa. Orang tanya benda serius dia nak melawak pula.

Hud juga tersenyum apabila melihat wanita itu ketawa. Baru lah cantik kalau macam ni. Ini tidak, dari tadi muka tu masam mencuka je bila berhadapan dengan dia.

"Tapi aku tak main-main. Aku betul-betul tak kisah dengan masa silam kau tu. Semua orang ada kisah silamnya sendiri," kata Hud. Dia cuba untuk meyakinkan Azaleya bahawa dirinya benar-benar tidak terlalu ambil peduli tentang kisah silam wanita itu.

"Awak cakap je di mulut tapi nanti bila saya dah bagi tahu, mungkin awak sendiri yang akan ubah fikiran awak." Hud sudah berkerut dahi.

"Teruk sangat ke kisah silam kau tu?" soal lelaki itu dengan nada yang sedikit serius.

"Lebih teruk dari apa yang awak sangka kan..." Mata mereka saling bertembung. Hud masih cuba untuk memahami situasi wanita itu. Bermacam-macam persoalan yang terlintas di fikirannya. Terlalu teruk kah wanita yang sedang berada di hadapannya saat ini? Apa yang sebenarnya Azaleya cuba untuk sembunyikan?

𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐚 | 𝐎𝐆Where stories live. Discover now