𝐖𝐏𝐃 𝟏𝟐

75 12 4
                                    

TANGAN tidak berhenti dari menyapu krim pada wajah sambil matanya juga dari tadi hanya tertumpu ke arah Azaleya yang sedang leka membaca novelnya.

"Leya..." Qaissara tiba-tiba bersuara.

"Hmm." Wanita itu hanya menyahut tanpa memandang wajah Qaissara. Pandangan dan fikirannya saat ini lebih tertumpu pada novel yang sedang dibaca.

"Kau dengan Encik Ais tu apa cerita? Dulu kerap kau jumpa dia tapi sekarang macam dah jarang je aku tengok," kata Qaissara. Bukannya dia tak perasan cuma malas dia nak bertanya pada Azaleya. Baru hari ini dia rajin untuk menjadi penyelidik.

Kali ini Azaleya panggung kepala. Dahinya sudah berkerut-kerut sambil kening dijungkit sebelah.

"Encik Ais? Siapa pula lelaki tu?" soal Azaleya dengan bingung. Yang dia tahu cuma Encik Beruang Kutub ada lah.

"Ish kau ni, buat tak kenal pula. Lelaki tu lah, captain pilot tu." Qaissara langsung berdiri dan berbaring di sebelah Azaleya. Azaleya juga sudah menutup rapat novelnya dan memberi sepenuh perhatian pada Qaissara.

"Ouh kau... kalau bab mamat tu laju je kau tutup novel." Qaissara tersenyum nakal. Sengaja ingin mengusik kawan baiknya itu.

"Ish apa pula kau ni? Dah kau tengah nak berbual dengan aku... takkan lah aku nak hadap je novel ni tanpa dengar kau bebel. Kau pun tahu kan aku memang dah tak akan fokus dengan apa yang orang cakap kalau sekali dah buka helaian novel tu?" Qaissara memincingkan matanya. Tidak percaya dengan kata-kata Azaleya. Banyak alasan pula minah ni.

"Alasan." Qaissara menggumam dalam diam sambil mata yang kini sudah tertumpu pada skrin telefonnya.

"Ha? Kau cakap apa?"

"Tak ada apa." Azaleya membuat muka. Menyampah betul dengan kawannya yang satu ini. Tadi bukan main lagi buka topik pasal mamat tu.

"Kenapa... kau tanya pasal Hud?" soal Azaleya setelah kawannya itu berdiam diri. Kepalanya menunduk sambil jarinya memintal-mintal hujung baju.

Tidak dinafikan, entah kenapa dia sedikit rindu kepada lelaki itu. Sudah hampir 3 minggu mereka berdua tidak bersua muka. Hud juga sudah tidak pernah mencarinya walaupun sekali. Bermakna lelaki itu sudah tidak memiliki apa-apa perasaan pada dirinya. Mungkin ini lah takdir yang perlu Azaleya terima, walau hatinya sendiri sebenarnya sudah tertuju pada lelaki itu.

"Tak ada lah. Aku saja nak tahu perkembangan kau dengan dia tu macam mana. Itu je." Qaissara membalas sambil matanya yang masih lagi tertumpu pada skrin telefon.

"Dia dah ajak aku kahwin." Tenang sahaja Azaleya mengungkapkan kata-kata itu namun tidak bagi Qaissara yang sudah terbeliak biji matanya. Telefonnya terlepas dari genggaman. Dia... tak salah dengar kan?

"Apa dia? Kau ulang balik ayat kau tadi." Tubuh Qaissara sudah sepenuhnya menghadap ke arah Azaleya sambil kedua-dua belah bahu wanita itu digenggam.

"Aku cakap... dia ajak aku kahwin." Semakin ternganga Qaissara dibuatnya apabila mendengar ayat itu buat kali kedua. Kenapa Azaleya tak pernah cerita?

"Biar betul? Habistu kau terima ke?" Wajah yang tadinya sedikit terkejut kini kian berubah menjadi ceria. Perlahan-lahan Azaleya menggeleng. Senyuman Qaissara lantas mati apabila kawan baiknya itu menggelengkan kepalanya.

Azaleya tak terima? Kenapa?

"Aku tak boleh beri dia jawapan lagi sebab... aku tak tahu yang aku akan buat keputusan yang betul ataupun tak," ujarnya dengan nada yang sedih.

"Kau tahu kan kisah silam aku macam mana? Aku takut dia menyesal kalau dia kahwin dengan bekas pelacur macam aku ni. Lelaki mana je yang nak hidup dengan perempuan yang dah disentuh oleh lelaki-lelaki lain?" Wajah kawannya ditatap dengan tatapan yang sedih.

"Dia tahu ke kau ni bekas pelacur?" Qaissara menyoal. Matanya kemudian sedikit membulat apabila Azaleya perlahan-lahan menganggukkan kepalanya. Biar betul? Mudah macam itu je Azaleya beritahu pada lelaki itu?

"Habistu apa reaksi dia?" soal Qaissara dengan penuh ragu.

"Biasa je reaksi dia waktu tu," kata Azaleya sambil pandangannya yang hanya menghadap ke arah dinding. Wajah Hud pada waktu itu tiba-tiba bermain di fikirannya. Memang benar, lelaki itu langsung tidak menunjukkan reaksi yang terkejut, kecewa, jijik atau sebagainya. Malah hanya beriak tenang setelah Azaleya mengungkapkan kata-katanya itu.

"Biasa macam mana?" Berkerut dahi Qaissara. Tidak mengerti akan maksud kawan baiknya itu.

"Tak tahu tapi... dia macam tak peduli. Langsung tak terkesan dengan kisah silam aku." Qaissara mengangguk kepala. Lain dari yang lain Hud ini. Kalau lelaki lain, mesti sudah melemparkan kata-kata yang buruk dan juga akan pergi meninggalkan Azaleya setelah mengetahui kisah silamnya sebagai seorang bekas pelacur.

"Nampak sangat yang dia betul-betul tak kisah," jawab Qaissara.

"Iya ke?" soal Azaleya dengan wajah yang sudah sedikit gelisah. Dia juga buntu. Susah untuk dia percaya dengan mana-mana lelaki pada waktu ini. Bagaimana kalau dia sudah terima Hud, lelaki itu pergi meninggalkannya suatu hari nanti? Bagaimana kalau hati Hud berubah? Bagaimana kalau Hud menyesal mendirikan rumah tangga bersama dirinya?

"Kau kahwin je lah dengan dia." Entah kenapa hati Qaissara kuat mengatakan bahawa Hud tidak sama seperti lelaki yang Azaleya fikir. Dia percaya lelaki itu bukan lelaki yang sembarangan. Kalau dilihat, Hud Rafael memang seorang lelaki yang berkelas.

"Aku takut Sara... macam mana kalau dia tinggalkan aku lepas dah kahwin nanti? Hati manusia dah lah boleh berubah-ubah. Macam mana kalau dia nak main-mainkan aku je?" Kepala menunduk. Setitis air matanya jatuh.

"Leya... aku yakin Hud tu bukan macam lelaki yang kau fikir. Orang bila dah ajak kau kahwin tu maksudnya dia betul-betul serius dengan kau. Kau pun tengok kan Hud tu macam mana? Kerja pun tinggi-tinggi, penampilan pun menarik. Nampak sangat yang dia tu bukan jenis kaki perempuan macam dekat luar sana tu," kata Qaissara dengan penuh yakin. Dia ingin Azaleya tahu bahawa masih ada lelaki baik di atas muka bumi ini. Masih ada lelaki yang mahu terima segala kekurangan Azaleya.

"Itu apa yang kau nampak dari luaran. Dalaman dia kita tak tahu macam mana." Azaleya cuba untuk menafikan kata-kata kawan baiknya itu. Menilai dari luaran saja tidak cukup. Terkadang manusia juga boleh terlihat baik dari luaran namun di sebaliknya, lebih teruk dari iblis.

"Sepanjang kau jumpa dengan dia dulu, apa pandangan kau terhadap dia? Kau kan dah banyak kali jumpa dia, jadi kau mesti tahu." Persoalan dari Qaissara membuatkan Azaleya sedikit terkedu. Dari hari pertama dia berjumpa Hud, dia sudah menilai lelaki itu. Penampilannya, ketegasannya dan keprihatinannya memang sedikit menarik minat Azaleya.

Dan semakin dia mengenali lelaki itu, semakin dia dapat rasa ketulusan dari Hud. Dari pandangan matanya... gerak gerinya. Memang menunjukkan yang lelaki itu benar-benar tulus. Lebih-lebih lagi di saat lelaki itu mengajaknya untuk berkahwin. Dari pandangan mata Hud, Azaleya tahu bahawa lelaki itu tidak main-main dengan apa yang dituturnya.

"Hensem kut." Azaleya mengangkat bahu seraya mencebik bibir. Buku novelnya kembali dibuka.

"Itu je? Hensem tu aku rasa semua orang tahu. Tak payah lah cakap pasal rupa. Aku nak tahu perangai dia ni macam mana." Bahu kawannya itu ditampar kuat. Geram juga dengan Azaleya ni. Bukannya nak serius.

"Tak payah dah lah cakap pasal dia. Sekarang ni baik kau diam. Aku nak baca novel ni."

"Kau ni dah jatuh hati kan dekat Hud tu?" Mata sengaja dikecilkan apabila melihat Azaleya. Tak mungkin lah kalau Azaleya tak terjatuh hati kan?

"Dah kenapa pula aku nak jatuh hati dengan dia?" Azaleya kembali menyoal. Mata masih melekat pada helaian novel.

"Kau ni suka cakap lah suka. Aku kenal dengan kau dah lama, bukan baru semalam. Kau boleh nak tipu orang lain tapi tak dengan aku." Qaissara tersenyum sinis sambil kembali membaringkan tubuhnya di atas katil. Azaleya yang berada di sebelah sudah memberinya pandangan tajam.

Tidak lama, Azaleya kemudian menolak punggung Qaissara dengan kakinya sehinggakan wanita itu bergolek jatuh dari katil.

"Leya!" Punggungnya diusap-usap. Sakit betul! Nasib baik ada karpet tebal di atas lantai ni. Azaleya kembali membaca novelnya dengan wajah yang tidak bersalah seraya tersenyum kecil.

Apa lah nasib sebab dapat kawan yang begini?

𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐚 | 𝐎𝐆Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang