"Encik Azriel?" satu suara lain menyahut. Seorang jururawat lelaki terpacul. Azriel berpaling. Merah matanya.

"Kami minta maaf." Lagi. Mendengar kata maaf keluar daripada pihak mereka, buatkan seluruh dunianya berhenti.

Ketika mereka kembali berkata, yang kononnya untuk menenangkannya, dia hanya membatu. Tiada suara lain yang dia dengarkan ketika itu. Semuanya tenggelam dalam himpitan lara.

"Allah lebih sayangkan orang yang encik cinta." Dia benci dengan kata-kata itu.

"Kau tipu aku, kan?" Keras nada Azriel ketika itu. Kuat dia mengetap rahang. Sarat dengan amarah yang tiba-tiba meluap.

Dia kehilangan lagi. Pasti kesunyian akan datang lagi. Namun kali ini, dia benar-benar tidak dapat bertahan. Sakit. Terlalu sakit untuk kalbu tenatnya.

"Encik boleh berjumpa dengan Puan Humaira. Mayat selesai diuruskan sepuluh minit yang lalu."

....

"HUMAIRA, abang ni," bisiknya lembut. Pipi gebu Humaira dia usap penuh cinta. Penuh rasa yang mendalam. Jemari kasar yang sejuk membeku itu bergetar saat menyentuh kulit mulus isterinya.

Beginikah rasanya cinta yang terpaksa dia gantung? Pada akhirnya, dia faham erti sebuah pengorbanan. Terlalu lelah tubuh isterinya. Menahan selautan walang, lalu dihempas pula dengan lelah yang berpanjangan.

"Wanita hebat abang. Wanita yang lahirkan Arzen. Bangun, sayang. Jangan tinggalkan abang. Jangan biarkan abang kesepian." Kening Humaira dikucup lama.

"Jangan seksa perasaan abang macam ni, sayang. Abang dah kata, abang tak kuat tanpa sayang. Abang perlukan sayang. Arzen perlukan usapan ibu dia," ujarnya. Meskipun Humaira ketika itu diam membisu. Kendatipun hanya dia yang mendengari suaranya sendiri. Sedangkan Humaira, sudah dibuai lena yang tentunya panjang.

"Abang tak sempat ingat siapa wanita hebat ni seutuhnya. Tolong buka mata sayang. Abang merayu..." Begitu kejamnya dunia saat ini dia rasa.

Terasa seisi semesta begitu enggan memberi secebis kasih kepadanya. Terasa jiwanya mati. Jasadnya terpuruk dalam nestapa yang datang bergulung-gulung.

"Seandainya nafas Maira ditarik dulu, abang macam mana?"

"Abang tak akan keseorangan kalau Maira tak ada."

"Wallahi, Maira cintakan abang."

Suara Humaira, pelukan Humaira, usapan Humaira. Semuanya dia rasakan ketika itu. Terasa Humaira sedang membelai rambutnya. Terasa lantunan suara Humaira mendayu-dayu mendodoikan tidurnya.

Namun sayangnya, bayangan itu sirna sebaik sahaja mata merah yang bergenang air mata itu tercelik. Hanya cebisan sepi yang bertandang.

"Abang cintakan sayang. Demi Allah, tak ada wanita lain, selain sayang."

....

40 hari kemudian...

BAGAIMANA diri itu ingin mengusir pilu yang sedang kedap bertaut? Di tempat dia berdiri ketika itu, hening bergelimpangan di mana-mana. Melampar tidak terkutip.

Angin semilir berhembus dengan rintik-rintik hujan, terus menderu datang bersama-sama alunan jiwanya yang renyuh.

Tingkai hati begitu orak-arik. Irama bayu bagaikan memahami perasaannya ketika itu. Menggeluncur di celah-celah kepahitan dan keperitan detak rasanya.

Tanah kuburan yang merenggut seribu rasa sayang dan cintanya, menjamah ruang pandangnya kini. Dia tenggelam dalam lamunannya sendiri.

Merenung itu, terasa separuh jiwanya sudah mati. Terlepas pilu pada tarikan nafasnya sejurus itu. Seperti inikah kehilangan seseorang yang begitu bermakna dalam hidup? Akankah kepahitan lagi dan lagi datang untuk mendulang masa depannya?

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now