Seketika, ada perasaan takut yang mula bersarang dalam hatinya. Dia takut jika bayangan Humaira yang sebelum ini tenggelam dalam pintalan duka. Dia takut wanita itu hanyut dalam rasa benci kepadanya. Lebih tepatnya, dia tidak mahu Humaira berubah.

"Maira boleh rawat diri sendiri, abang. Maira dah biasa. Maira pun sedar yang abang tak suka dibebankan." Bukankah selama ini dia meranduk semuanya seorang diri? Tidak perlu dipapah diri itu ketika jatuh untuk bangkit. Tidak perlu ada tangan yang menariknya naik ketika dia tenggelam, terkapai-kapai dalam lautan walang.

Dia sudah terbiasa. Tatkala hati yang diguris dengan banyaknya hipokrit dunia, dia sendiri yang mendapatkan penawarnya.  Bila diri itu hanyut dalam lembah kesunyian, dialah juga penghiburnya. Membalut lukanya sendirian. Sehingga semua itu sudah dianggap sebagai hal yang biasa untuknya.

"Kau perlukan bahu seseorang untuk bersandar," kata Azriel. Bukan pertanyaan, tetapi sebuah kenyataan.

Detik itu juga, sebak datang lagi. Itulah kata-kata yang pernah termuntah pada bibir Azriel sebelum lelaki itu melupakan semuanya. Azriel sempat mengatakan itu. Buatkan dirinya terasa digamit ke masa lalu.

"Bahu siapa?" ajunya. Terasa bodoh sebenarnya dengan ungkapan itu ketika dia sudah tahu jawapannya apa.

"Aku." Azriel masih setia menatap wajah cantik Humaira. Isterinya.

"Bahu abang? Tak boleh. Sebab bahu abang..."

"Bukan masanya untuk kita bahas tentang dia, Maira." Potong Azriel. Tahu ke mana arahnya.

"Tapi apa yang Maira cakap ni betul, kan? Maira tak boleh bersandar dekat bahu abang. Sebab semuanya hanya untuk dia. Maira dah penat nak tumpang kasih dekat abang. Maira penat," bidas Humaira. Bersama suara yang separuh berbisik keras. Dia tidak marah. Tidak juga kecewa. Dia faham.

Tidak perlu dijelaskan kepadanya berkali-kali seberapa dalamnya cinta seorang Karl Azriel terhadap arwah Zaharah.

"Sebelum ni, kau ada cakap yang kau nak dekat dengan hati aku lagi. Kau minta izin untuk jadi peneman dalam setiap langkah aku. You did it."

Ada kejujuran beriak-riak pada cebisan nada Karl Azriel. Tetapi ditepis oleh rasa ragu yang menjamah lubuk hati Humaira. Kata-kata Azriel yang terdengar ikhlas, dibiarkan berlalu.

"Abang cakap macam tu sebab abang tak nak Maira terlalu banyak tekanan, kan? Jangan kesian dekat Maira. Maira tak minta dikasihani," balasnya seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Sedikit melenting.

Hal yang paling dia takutkan adalah kebaikan yang datangnya daripada rasa kasihan. Seburuk apapun dia, dia benci jika harus dikasihani.

"Tapi ini bukan soal rasa kesian aku pada kau, Maira." Azriel turut sama dihambat pilu.

"Habis, abang dah cintakan Maira?" soal Humaira. Tajam tunak mata yang dikaburi kebasahan itu membalas renungan kuyu Karl Azriel.

Diam. Hanya tatapan yang mengutarakan segenggam pilu yang Azriel beri kepadanya. Sudahnya, itu menandakan bahawa tiada jawapan lain.

"Mulut abang boleh cakap macam tu. Tapi hakikatnya, abang sendiri tak tahu apa yang abang rasa. Sampai bila-bila abang tak dapat tipu perasaan abang sendiri." Sempat Humaira menangkap raut bingung Azriel. Jelas keliru dengan perasaannya ketika itu.

"Jangan seksa perasaan saya lama sangat, Azriel. Bila-bila masa saya boleh pergi dari hidup awak. Tanpa awak pinta," tambahnya lagi. Tetapi hanya disimpan di dalam hati.

Dia sudah lali dengan janji-janji yang selalu dia dengar. Dia sudah terbiasa dikhianati. Sehingga janji itu bercambah menjadi sebuah rasa was-was.

"Kau minta izin untuk dekat dengan hati aku. Sekarang, aku minta izin. Untuk dapatkan kepercayaan kau." Setelah diam sejurus, Azriel kembali membuka mulut. Benarkah sebegitu? Atau hanya bidaan yang Azriel reka lagi?

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now