"Sarah, jangan macam ni. Cuba cakap, Sarah kenapa ni? Tok Wan? Sarah kenapa?" Humaira mengusap bahu Sarah. Bersama wajah yang penuh dengan kebingungan. Wajah lesu Sarah dan Tok Wan dipandang silih berganti.

Tatkala itu, Humaira sedikit tersentak. Menyedari perut Sarah yang sedikit membuncit. Lama dia membungkam. Kelu lidahnya tidak terkata. Hatinya sedikit tersentuh. Walang bergelimpangan di mana-mana.

Inikah sesuatu yang membawa penyesalan kepada Sarah? Itukah kata 'maaf' yang Sarah maksudkan?

"Sebelum ni Sarah bongkak. Sarah fitnah akak. Sarah berusaha nak rosakkan rumah tangga akak. Sekarang Sarah dah rasa kifarah Allah, kak. Sarah mengandung anak luar nikah." Bergetar hebat suara Sarah. Seluruh tubuhnya longlai berpaut pada dakapan Humaira.

Mendengar itu, Humaira tidak dapat menahan sebak. Mutiara putih laju mengalir membasahi pipi. Ibarat merasakan sendiri penyesalan yang menggunung dalam hati Sarah.

"Allahuakbar,"

Azriel yang sedari tadi berdiam, terus berdiri. Wajahnya merah menahan amarah. Kening langkingnya mula berkerut. Bertambah runsing fikirannya ketika itu.

"Sarah buat apa sebelum ni? Mengandung anak siapa?" ajunya bersama suara yang dingin memetir. Buatkan Humaira tersentak.

"Azriel, duduk dulu. Kita bincang baik-baik. Kesian dekat Sarah." Tok Wan mengusap belakang badan Azriel. Untung saja keadaan tegang itu kembali karar.

Humaira menyeka air mata Sarah. Sebelum tubuh Sarah kembali dipeluk. Dibelai rambut lurus itu dengan penuh kasih. Kali ini, pelukan itu lebih erat. Cuba menyalurkan kekuatan untuk Sarah. Meskipun pada hakikatnya, lukanya jauh lebih parah.

Satu kesalahan tidak bermakna lunturnya sebuah kedamaian. Persetua hitam yang pernah Sarah berikan terhadapnya masih segar di ingatan. Masih menjadi butir-butir lara untuknya. Sekalipun Sarah minta maaf, tidak akan merubah segalanya.

Dia ikhlas. Seandainya ujian yang Sarah dapat adalah bentuk balasan daripada Tuhan, siapa kita untuk menghukum? Semua orang adalah pendosa. Dan sebaik-baiknya pendosa adalah mereka yang tahu di mana tuntunan untuk pulang ke pangkal yang benar.

Dia bersyukur. Setidaknya Sarah akhirnya sedar. Sarah menyesal.

"Sarah pernah fitnah kak Zaharah. Sarah mengaku yang Sarah dengki sangat dekat kak Zaharah. Dia ada semuanya. Dia berjaya rebut hati abang Azriel," Sarah bersuara. Mengenang kembali apa yang sudah dia lakukan. Nasi sudah menjadi bubur. Semuanya sudah terlanjur. Menyesal kemudian tiada gunanya.

Humaira diam. Dia sedar, Sarah cemburu kepada Zaharah. Bukan kepada dirinya. Seluruh hati Azriel dihuni sepenuhnya oleh Zaharah. Tidak hairan jika Sarah menyimpan rasa cemburu kepada wanita itu. Meskipun pada hakikatnya, Sarah hanya melihat Zaharah di dalam diri seorang Humaira.

"Zaharah? Dia bukan Zaharah. Sarah cakap apa ni?" Bertambah kerutan di wajah Azriel ketika itu. Buatkan Humaira melepaskan keluhannya.

Pandangan mereka seolah-olah meminta sebuah penjelasan. Sedangkan dia tahu, keadaan akan bertambah rumit sekiranya kebenaran terungkap detik itu. Entah bagaimana mereka akan menanggapi semuanya. Sama ada kasihan kepadanya atau Azriel akan dianggap buruk.

Namun, sampai bila semuanya harus tentang Zaharah?

"Humaira. Nama saya Humaira. Laura Humaira." Detik itu juga, Humaira teresak-esak. Buatkan Tok Wan dan Sarah melengung. Hairan.

"Zaharah yang mereka maksudkan tu Maira, abang. Semua orang dekat kampung ni anggap saya Zaharah." Humaira berpaling melihat ke arah Azriel. Akhirnya, inilah detik yang dia nantikan. Dia mahu mereka tahu. Dia bukan Zaharah. Tidak akan pernah menjadi Zaharah.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now