"Kau sentuh bini aku."

Kolar baju Adam dicengkam kuat. Cukup membuat jejaka bertubuh kurus itu menahan sakit yang teramat. Satu tumbukan dihadiahkan pada pipi cekung Adam. Buatkan cecair merah pekat keluar pada bibir yang kering itu.

"Kau buat dia takut." Rambut Adam diapuk. Melepaskan amarahnya yang sedari tadi dibendung.

"Aku... Aku minta maaf. Sarah yang suruh aku!" Adam akhirnya mengalah. Mengungkapkan kejujuran di sela-sela rasa sakitnya.

Tatkala mendengar sebaris nama yang meniti pada bibir Adam, perbuatan Azriel serta-merta terhenti.

"Azriel, bawa mengucap! Cukupkah tu. Kita bincang baik-baik." Pertikaian itu cuba dilerai.

Mak ngah dan Tok Wan berdiri. Masing-masing menahan Azriel daripada terus melepaskan amukannya. Sehingga jejaka itu akhirnya melepaskan Adam yang sudah terbengkalai tidak berdaya.

"Bincang baik-baik apalagi, mak ngah? Nak bagi manusia tak guna ni sentuh bini Azriel lagi?" Tercungap-cungap Azriel bersuara.

Azriel menghela nafas. Wajahnya diraup seketika. Mencari sekepal ketenangan dalam atma. Tidak menunggu lama, tubuh Humaira dipapah.

Begitu lemah tubuh itu. Sarat dengan perasaan sedih yang semakin tidak lekang. Terbit perasaan bersalah dalam dirinya. Berapa kali lagi air mata seorang Humaira harus turun disebabkan dirinya? Jelas dia merasa bersalah ketika itu.

"Aku tak pernah sentuh bini aku. Dan walaupun aku tak pernah sentuh dia, hanya aku yang berhak. Binatang macam kau tak layak," tajam kata-kata itu membedil dinding hati semua orang.

Sarah bersandar kaku pada dinding kayu dapur. Langsung tidak mahu mengangkat wajahnya. Rasa malu dan benci mulai bercampur baur menghentam diri. Sudah tidak dapat lagi dia sembunyikan kesalahannya. Semuanya sudah jelas. Semua yang berada di situ sudah tahu.

Terdengar jelas, bisikan yang keluar daripada mulut mereka. Ekor mata memerhatikan Sarah yang diam seperti tunggul tidak bernyawa.

"Mak ngah baliklah. Didik anak tu sebelum mak ngah bagi dia keluar rumah. Kalau tak, macam ini lah jadinya."

Merudum suara Azriel tika itu. Dihimpit pelbagai rasa. Antara marah dan kecewa. Semuanya dirasakan.

Lalu, bagaimana pula dengan Humaira? Bagaimana gadis itu berdamai dengan nestapa yang terus-menerus menggores hati kecilnya?

"Keluar dari rumah ni, Sarah. Jangan sampai abang buat Sarah meringkuk dalam penjara," sambung Azriel. Tidak mengurangkan rasa hormatnya, dia mengakhiri pertikaian itu.

Humaira dibawa masuk ke dalam bilik. Meninggalkan semua orang yang menyaksikan adegan itu. Cukup terkesan.

Kedengaran jelas, suara mak ngah mula melenting. Melepaskan perasaan malu dan marahnya kepada Sarah. Habis tubuh Sarah dipukul dan dibedal.

Anak perempuan yang dia lahirkan, menconteng arang pada wajahnya sendiri. Di mana mahu letak muka? Di mana rasa malu itu mahu diselindungkan?

....


SUASANA hening menyelubungi mereka di kala itu. Masing-masing bungkam. Tiada sebarang bait bicara yang ditukilkan. Ketika itu, mereka ditemani oleh perasaan yang sulit diutarakan.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin