"Dalam banyak-banyak suara, dia suka dengar suara Zaharah. Bila awal-awal Tok Wan dengar dia cakap macam tu, Tok Wan tak faham. Tapi sekarang, baru Tok faham. Suara Zaharah lembut sangat. Merdu..."

Mekar senyuman Tok Wan menceritakan semuanya tentang Zahara.

"Suara Zaharah lembut?" aju Humaira. Seandainya wanita tua itu tahu bahawa dirinya bukan seorang Zaharah, adakah senyuman itu tetap mekar?

Tok Wan mengangguk-anggukkan kepala. Mengeyakan pertanyaannya sebentar tadi.

"Azriel cakap lagi, dia tak akan pandang wanita lain selain Zaharah." Dia tidak menyangkal kenyataan itu. Entah sampai bila sekalipun, bayangan Zaharah tetap tidak akan sirna dalam atma seorang Karl Azriel.

"Beruntung Zaharah," gumam Humaira. Tiba-tiba sahaja tubir matanya panas. Pagi-pagi lagi dia kena menadah telinga mendengar segala tentang masa lalu Azriel.

"Zaharah? Kenapa diam ni? Haa... Sukalah tu," sakat Tok Wan. Menambahkan lagi bahang di dalam hati Humaira.

"Apalah Tok Wan ni. Mana ada." Humaira tersenyum paksa.

"Dah, dah. Pergi kejutkan Azriel. Kita sarapan sama-sama." Sejurus selepas itu, Humaira terus menapak ke bilik di mana Azriel sedang tidur.

Baru sahaja dia ingin melangkah masuk ke dalam bilik, dia terserempak dengan Azriel. Untuk seketika, mereka berbalas pandang.

Anak mata Azriel terpaku pada wajah Humaira yang merah. Bersama tubir mata yang sudah bergenang dengan mutiara putih. Gadis itu menangis.

"Tok Wan panggil sarapan." Humaira berkira-kira ingin berjalan melepasi Azriel. Baru sahaja dia melangkah setapak, lengannya direntap lembut.

"Apahal kau nangis?" Azriel menatap wajah isterinya. Dengar sahaja suara Humaira yang sepertinya serak, dia sudah tahu ada sesiatau yang berlaku pagi itu.

Bila ditanya, semakin keras tangisan Humaira.

"Aku tanya, jawab." Azriel memerhatikan segenap pepenjuru di rumah itu. Memastikan tiada sesiapa yang menyaksikan adegan mereka.

Humaira menggeleng. Buatkan Azriel mendengus kasar. Lengan Humaira semakin digenggam kuat.

"Jawab, Laura Humaira," desaknya. Entah kenapa, hatinya tergerak untuk menyeka air mata itu. Terbit sebuah rasa yang sukar untuk diungkapkan. Kasihan, mungkin?

Humaira gesit menepis jemari kasar Azriel yang menyapu lembut pipi gebunya.

"Kalau saya cakap pun bukannya awak faham." Humaira membuang pandang kearah lain tatkala menyedari tatapan Azriel yang cukup dalam.

"Tok Wan ceritakan pasal Zaharah?" tepat tekaan Azriel. Mahu tidak mahu, dia mengangguk mengeyakan.

"Berapa lama lagi saya kena hadap semua ni? Berapa lama lagi saya kena dengar tentang Zaharah? Pagi, petang, siang, malam. Saya pun ada perasaan, Azriel." Humaira meraup wajahnya. Cukup lelah.

"Aku tak tahu yang Tok Wan akan cerita semuanya pasal Zaharah. Aku-"

Belum sempat Azriel menghabiskan ayatnya, Humaira laju membidas.

"Tak cukup ke awak seksa perasaan saya? Saya penat, Azriel." Kali ini, jelas terdengar. Lirih suaranya menggambarkan seribu satu lara.

"Aku minta maaf." Hanya itu yang meniti pada bibir Azriel. Entahlah. Jejaka itu tidak akan pernah memahami. Semuanya hanya tentang Zaharah. Sedangkan dia, menumpang dalam kisah cinta antara mereka.

Humaira menarik nafasnya sedalam mungkin. Sebelum akhirnya dia boleh tenang. Tangisannya terhenti. Buang masa dan tenaga. Mahu menangis darah sekalipun, tiada siapa yang akan faham.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now