09

255 26 13
                                    

PERLAHAN-LAHAN Elhan menutup pintu bilik Lubna setelah memastikan gadis itu betul-betul lena. Sepanjang perjalan mereka pulang ke rumah tadi, Lubna sudah tenggelam dalam dunia mimpinya. Pasti gadis itu sungguh penat setelah apa yang berlaku pada dirinya hari ini.

Elhan mula mengatur langkahnya. Mahu turun dan pulang ke rumahnya setelah seharian bekerja. Jarum jam sudahpun menunjukkan angka dua pagi. Badannya juga sudah letih dan matanya juga semakin memberat tanda dia juga perlukan rehat.

Baru saja Elhan mahu menuruni tangga, tiba-tiba matanya memerhati sebuah bilik yang berada di hujung aras itu. Rumah agam milik Raden ini mempunyai tiga tingkat dan semua ruang di dalam rumah lelaki itu luas belaka. Aras satu ialah aras di mana dapur, ruang tamu dan bilik untuk pembantu rumah. Bilik di aras dua pula dijadikan sebagai bilik tidur dan ada sebuah bilik di aras itu dijadikan sebagai bilik kerja Raden. Aras ketiga pula hanya dijadikan bilik bacaan dan tempat buat keluarga berkumpul untuk mengisi masa lapang mereka menonton wayang.

Elhan mula membawa langkahnya menghampiri bilik kerja Raden. Bilik ini terletak agak jauh dari bilik-bilik yang lain. Mungkin Raden sangat mementingkan privasi dan tidak mahu kerjanya diganggu.

Masih terngiang-ngiang kata-kata Fatih ketika dia menjawab panggilan di rumah rakan Emelda tadi.

"Elhan, kami baru saja dapat maklumat baru. Seperti apa yang kita semua jangka, Raden memang ada kena mengena dengan kes yang kita usahakan sekarang ini. Baru-baru ini, Ren menangkap seorang lelaki yang cuba seludup dadah di KLIA. Tuan Raden dan aku dah soal siasat dia. Dia mengaku yang arahan yang diberikan itu datang dari Raden sendiri. Jadi, aku nak kau cari lagi maklumat fasal dia."

Tangan Elhan sudah berada di tombol pintu bilik kerja Raden. Dia cuba membukanya. Ternyata, pintu itu tidak berkunci. Jadi, mudahlah kerjanya mahu mencari apa-apa maklumat mengenai lelaki itu.

Raden sudah berada dalam senarai suspek polis sejak kesnya yang melibatkan ubat-ubatan yang dibekalkan dari kilangnya. Beberapa bulan yang lalu, ada seorang pengguna ubat bertemu dengan doktor dan memaklumkan bahawa dia kerap berhalusinai sejak dia menggunakan ubat tidur yang dibeli di farmasi. Ternyata, isi di dalam bekas ubat itu bukanlah pil tidur malah dadah yang seakan-akan pil tidur.

Disebabkan perkara itu, kilang pembuatan ubat milik Raden diserang oleh pihak bertanggungjawab bagi siasatan lanjut. Namun, sepanjang siasatan, tiada sebarang benda yang mencurigakan yang berlaku di kilang itu. Sebaliknya, pihak forensik dan polis terjumpa seplastik kecil berisi dadah di dalam beg salah seorang pekerja di situ. Pekerja itu dipecat serta-merta dan dibawa ke muka pengadilan untuk dijatuhkan hukuman.

Pintu bilik kerja itu ditolak perlahan. Dengan penuh hati-hati Elhan masuk ke dalam bilik itu. Sedaya upaya dia mengelak dari melakukan sebarang bunyi. Bimbang jika Lubna atau pembantu rumah terjaga dan menangkap perbuatannya sekarang.

Bilik kerja Raden itu diperhati dari atas hingga bawah dengan penuh teliti. Mahu mencari apa-apa yang mencurigakan di dalam bilik itu. Namun, semuanya kelihatan normal saja. Susun atur perabot di dalam bilik ini lebih kurang sama dengan susun atur bilik kerja yang sering dia nampak dalam filem di kaca televisyen. Bilik kerja orang kaya. Pasti akan ada beberapa almari yang bersusun dokumen dan beberapa buku. Tak lupa juga meja gah yang agak besar yang diletakkan betul-betul berhadapan pintu bilik serta karpet besar yang hampir menutup keseluruhan lantai.

Bagi Elhan, bilik kerja ini agak luas jika mahu dibandingkan dengan bilik kerja yang dia pernah nampak sebelum ini. Rasanya, bilik kerja Tuan Syed juga tidaklah sebesar ini. Bilik kerja Raden ini siap dilengkapi dengan pantri mini lagi. Disempurnakan lagi dengan mesin membuat kopi.

Elhan beralih pula ke arah meja kerja Raden. Meja lelaki itu tersusun dengan rapi tanpa ada sebarang dokumen atau kertas yang berselerakkan. Hanya ada sebuah bingkai gambar dan juga pemetik api bewarna perak bersaiz sederhana. Gambar itu menunjukkan gambar di antara Raden dan juga Lubna. Hanya mereka berdua.

THE GUARDIANWhere stories live. Discover now