01

425 32 6
                                    

NAFASNYA turun naik. Matanya masih tidak lepas memandang punching bag di hadapannya. Peluh mula membasahi dahi menandakan bahawa sudah lama dia berada di dalam bilik gim itu. Habis belakang bajunya basah dek peluh yang dirembes keluar sepanjang dia berlatih di sini. Posisi tubuhnya juga masih dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Penumbuk digenggam kemas, matanya tepat melihat ke arah sasaran. Posisi tubuhnya langsung tidak berganjak sedari tadi.

Setelah nafasnya kembali teratur, pantas dia membuka langkahnya untuk menyerang kembali punching bag yang menjadi targetnya. Penumbuk dilayangkan berselang-seli dengan tendangan sisi beberapa kali. Segala tenaganya difokuskan pada penumbuk dan tendangannya agar daya yang dikenakan pada punching bag itu cukup kuat untuk melayangkan punching bag itu jauh ke udara.

Seringkali dia berlatih di gim itu sehingga hari sudah menjengah senja. Dia akan meluangkan masanya di gim setiap kali dia ada masa setelah selesai melakukan tugasnya. Baginya, latihan sebegini sangat penting bagi mengekalkan stamina tubuh badannya. Disebabkan itu, dia tidak akan ponteng latihan hariannya melainkan ada hal penting yang tidak dapat dielakkan sahaja.

Leka dengan latihannya sedari tadi, tanpa dia sendiri sedar ada seseorang yang memanggil namanya dari jauh. Lelaki yang memanggil namanya itu mengeluh kecil. Kenal sangat dengan perangai rakannya yang terlalu fokus ketika melakukan latihan. Terus, lelaki itu menapak menghampiri rakannya yang masih belum perasan akan kewujudannya di situ.

"Elhan! Aku panggil kau ni!"

ZAP!

Penumbuk Elhan betul-betul berhenti di hadapan wajah lelaki itu. Terkejut Fatih dibuatnya. Jika terlajak sedikit penumbuk Elhan itu tadi, pasti hidungnya akan patah. Fatih menolak penumbuk Elhan ke tepi. Wajah cemberut dia tayang buat rakannya yang hampir menumbuk wajah kacaknya.

"Bila masa kau sampai dekat sini?" soal Elhan seraya menanggalkan sarung tangan yang digunakannya lalu diletakkan semula di tempat asal. Kemudian, tangannya mencapai botol air mineral serta tuala kecil yang turut dibawa bersama setiap kali dia berlatih di gim ini.

"Kau memang pekak eh setiap kali berlatih? Kalau muka handsome aku kena tumbuk dengan kau, boleh patah tau hidung aku ni?" Fatih merengus geram. Kalau hidungnya betul-betul patah tadi, habis jatuhlah sahamnya!

"Ya ke? Hidung kau tak ada la mancung sangat kalau nak patah pun. Mungkin hidung kau lepas ni jadi ekstra penyet?" Elhan tergelak kecil di hujung ayatnya. Lelaki itu perasan Fatih sedang menjelingnya tajam. Pasti geram dengan kata-kata tidak berhemahnya itu. Lantak dia. Siapa suruh datang dekat bila orang tengah fokus berlatih? Kalau kena tumbuk atau tendang dengan dia tadi, terus terang Elhan tak nak bertanggungjawab. Sendiri cari fasal, sendiri tanggung lah!

"Ada apa kau panggil aku?" Elhan meneguk air mineral sekali sebelum dia mengelap peluh di dahi.

"Tuan Syed nak jumpa kau. Dia tunggu dekat bilik dia."

Terangkat kening Elhan apabila mendengar nama lelaki tua itu disebut. Tuan Syed mahu berjumpa dengannya? Kenapa tiba-tiba? Dan pada waktu petang begini? Pelik.

"Dia ada bagitahu tak kenapa dia nak jumpa aku?" soal Elhan sambil mengangkat sebelah keningnya. Botol air mineral yang dibawa tadi dia masukkan ke dalam beg.

"Tak ada pula. Kau pergi aje la tanya dia sendiri."

Elhan mengangguk kecil. Beg yang berada di atas bangku dia capai sebelum menggalasnya.

"Aku naik atas dulu la kalau macam tu. Nanti kau keluar, tolong tutupkan lampu dan aircond, ya? Oh, jangan lupa juga kemaskan gim ni. Terima kasih. Ciao." Elhan menepuk bahu Fatih sebelum keluar dari gim itu. Tersengih lebar lelaki itu apabila keluar dari gim itu dengan senang-lenangnya.

THE GUARDIANWhere stories live. Discover now