Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 9

6 1 0
                                    

ZATON merenung ke arah sungai. Dia masih menunggu lelaki itu datang ke sini. Semalam dia sukar untuk lelapkan mata gara-gara Mak Mon.

Nafas dihela berat. Dia sendiri tidak tahu berapa lama hubungan mereka perlu dirahsiakan. Selama ini, dia hidup atas belas ihsan Mak Mon. Sudah tentu dia sangat terhutang budi dengan orang tua itu.

Mak Mon pernah membawanya bertemu dengan ibu kandungnya, iaitu adik Mak Mon sendiri. Ketika itu dia baru berusia lima tahun. Dunianya terasa gelap ketika mengetahui dirinya hanya anak angkat.

"Ton bukan anak kandung mak. Inilah mak Ton yang sebenar!" kata Mak Mon.

Baru dia tahu emak kandungnya tinggal di Sibu. Adik-beradiknya ramai. Disebabkan mak kandungnya tak mampu menjaganya, dia diserahkan kepada Mak Mon. Sejak hari itu dia sudah tidak berjumpa lagi dengan ibu kandungnya sehinggalah dia mendapat berita wanita itu sudah meninggal dunia.

Tubir matanya terasa hangat. Setiap kali dia teringat tentang latar belakang dirinya, Zaton berasa rendah diri dengan adik-beradik yang lain. Demi membalas budi Mak Mon, dia sanggup mengikut semua permintaan wanita itu.

Tapi sekarang, hatinya sudah mula menderhaka. Dia betul-betul cintakan Hasnan. Pertama kali dia melihat lelaki itu muncul di rumah, dia sudah dapat rasakan ada getaran di dadanya. Malah setiap hari dia teringatkan lelaki itu. Zaton berasa sangat selamat setiap kali mereka keluar bersama.

"Ton."

Zaton menoleh ke arah suara itu. Manis senyuman Zaton menghiasi bibirnya.

"Ini abang belikan makanan. Kita makan sama-sama."

Zaton angguk setuju. Mereka duduk di atas kerusi kayu sambil menikmati pemandangan di kawasan sungai ini. Sejak tadi lelaki itu senyap. Pelik juga Zaton dengan tingkah lelaki itu.

"Abang ada masalah ke?"


Tersentak Hasnan. Hanya gelengan yang diberi.

"Abang sebenarnya fikirkan tentang hubungan kita."

Zaton terdiam.

"Abang sayangkan Ton."

"Ton tahu. Abang dah cakap banyak kali." Anak mata Zaton masih menatap Sungai Sarawak. Hatinya senang mendengar ungkapan Hasnan sebentar tadi.

Tiba-tiba terasa tangannya diraih dan digenggam lembut. Berdebar jantung Zaton. Kali pertama lelaki itu menyentuh tangannya.

"Abang tak main-main bila abang cakap nak halalkan Ton. Abang ikhlas nak jadikan Ton isteri abang."

Bergenang tubir mata Zaton. Sungguh dia terharu mendengar kata-kata itu.

"Ton pun nak sangat jadi isteri abang. Tapi buat masa ni, biarlah hubungan kita dirahsiakan dulu. Ton nak pujuk mak supaya dia dapat terima abang."

Hasnan tersenyum lega.

"Abang akan tunggu."

Kedua-duanya menikmati makanan yang dibeli tadi.

"Abang..."

"Ermmm..."

"Boleh abang janji dengan Ton?"

"Janji apa?"

Zaton tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Biarlah hari ini dia berterus terang tentang isi hatinya kepada Hasnan.

"Ton memang dah lama sukakan abang. Bukan setakat suka tapi hati Ton tak mampu nak serahkan hati ni kepada lelaki lain lagi." Bergetar nada suara Zaton.

Sisa Rasa Yang TertinggalWhere stories live. Discover now