Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 7

8 1 0
                                    

SUASANA di rumah agak sunyi. Mungkin Mak Mon dan Zaton keluar ke mana-mana. Di bilik tidur Jalal, terdapat sebuah almari yang dipenuhi dengan pelbagai buku. Hasnan tertarik untuk membaca sebuah buku biografi seorang pemimpin politik yang ada di rak itu.

Hampir sejam membaca, tekaknya terasa kering. Dia turun ke bawah untuk membasahkan tekak. Agak kekok kerana tiada sesiapa di rumah ini. Rumah ini terlalu besar bagi Hasnan. Berbeza betul dengan rumahnya di kampung.

Belum sempat dia membuka peti sejuk, pintu dapur dibuka oleh seseorang. Tergamam Hasnan melihat gadis itu ada di sini. Di tangan gadis itu ada bakul besar. Pasti gadis itu baru lepas menjemur kain.

"Abang nak apa-apa ke?"

"Abang dahaga." Hasnan mengambil gelas yang terdapat di atas kabinet dan menuang minuman sejuk dari dalam jag.

"Ke mana pembantu rumah? Kita berdua saja ke di sini?" tanya Hasnan dengan perasaan gugup.

"Mak keluar kejap. Mak Joha ada dalam bilik. Dia pening kepala. Itu yang Ton tolong jemurkan baju."

Hasnan tarik nafas lega.

"Abang ingatkan kita berdua saja. Risau juga kalau kena tangkap basah."

Wajah gadis itu sedikit merah apabila mendengar kata-kata Hasnan. Dia duduk di kerusi makan. Hasnan pula masih berdiri di tepi kabinet dapur. Sebaik saja dia habiskan minuman, dia basuh gelas itu terlebih dahulu.

Disebabkan Mak Mon tiada di rumah, Hasnan berani untuk duduk di kerusi makan yang berhadapan dengan gadis itu.

"Ton marah abang?"

"Kenapa nak marah?" soal gadis itu dengan riak keliru.

Hasnan usap belakang lehernya.

"Err... abang berguraupasal tangkap basah tadi."


"Ton tak ambil hati pun. Ton tahu abang cuma risau kalau kita berdua."

Keduanya diam seketika.

"Abang masih tunggu jawapan Ton."

Zaton kelu untuk menjawab. Sebenarnya dia sudah ada jawapan tapi dia tersepit setiap kali memikirkan tentang keluarganya.

"Hari ni abang nak makan apa?" Zaton mengubah topik perbualan. Dia bangun dan keluarkan bahan mentah dari peti sejuk.

Hasnan tersenyum kelat. Dia tahu gadis itu mahu mengelak.

"Cepatlah. Abang nak Ton masak apa?"

"Gaya Ton sekarang ni dah seperti isteri abang."

Zaton berdiri membelakangi lelaki itu. Langsung tidak sedar perbuatannya tadi telah menimbulkan perasaan aneh di hati lelaki itu.

"Abang tak kisah Ton nak masak apa. Asalkan air tangan Ton, abang telan."

Zara sembunyi senyum. Tangannya lincah menyiang ikan.

"Abang ke bilik dulu ya." Hasnan bangun dan berura-ura untuk ke bilik. Dia tidak mahu mengganggu gadis itu memasak.

"Abang..."

Terhenti langkah lelaki itu. Hasnan menoleh sedikit ke arah gadis itu.

"Ton nak kenal abang dulu sebelum berikan jawapan. Boleh ke?" Kali ini Zaton beranikan diri.

Wajah Hasnan tergamam. Rasa seperti bermimpi pula.

"Ton tak nak terburu-buru untuk jalinkan hubungan dengan abang. Lebih baik kita saling mengenali dulu."

Sisa Rasa Yang TertinggalOnde histórias criam vida. Descubra agora