Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 1

36 1 0
                                    

HASNAN tersenyum ceria apabila mendapat tawaran bekerja di Kuching, Sarawak. Bukan mudah untuk dia ke sana. Lebih-lebih lagi, bekerja di sana dapat memberikan dia pengalaman yang lagi baik.

"Dah siap mengemas ke?" soal Puan Asiah.

Dia duduk di birai katil sambil melihat anak sulungnya memasukkan beberapa buah buku ke dalam beg.

"Ada lagi sikit, mak."

Puan Asiah hela nafas panjang. Dia sebenarnya agak berat hati nak melepaskan anaknya pergi ke sana. Lebih-lebih lagi ini kali pertama mereka berjauhan.

"Bilalah Nan nak balik ke sini ya?"

Terhenti perbuatan Hasnan dari memasukkan barang-barangnya ke dalam beg. Wajah sugul emak dipandang dengan rasa serba salah. Dia duduk di sisi wanita itu. Kedua tangan emak diraih dan dibawa ke bibir.

"Nan tak akan lupakan mak dan adik-adik di sini. Nan pergi sana, untuk ubah nasib keluarga kita. Nan janji akan selalu hubungi mak dan adik-adik."

Terasa hangat tubir mata Puan Asiah. Pipi anaknya yang sudah berusia 23 tahun itu diusap lembut. Dia percaya anaknya tak akan sesekali melupakan mereka di sini.

"Mak risau kalau Nan tersangkut dengan orang sana. Berkahwin dan terus tinggal di sana," sakat Puan Asiah.

Berdekah-dekah Hasnan ketawa. Kepalanya digeleng berkali-kali.

"Ke situ pula, mak. Nan ni bukannya ada apa. Tak mungkinlah ada yang berkenan dengan Nan di sana."

Dia ada terdengar gadis-gadis di sana sangat cantik. Walaupun rupa Hasnan biasa saja, tapi mampu menarik hati gadis yang memandangnya. Cuma Hasnan masih belum bersedia ke arah itu. Bercinta lagilah tak pernah.

"Mak jangan risaulah. Kalau betul Nan nak kahwin, mak orang pertama yang Nan akan beritahu." Itu janji Hasnan.

Dia tak mungkin membelakangi keluarganya dalam soal yang serius ini. Selepas kematian ayahnya, dia bekerja keras demi membantu keluarganya. Mustahil untuk dia melukakan hati orang yang dia sayang.

"Mak percayakan Nan. Mak tak kisah kalau ditakdirkan Nan bertemu jodoh di sana. Cuma satu aje yang mak minta. Jaga maruah keluarga kita baik-baik. Hidup merantau di tempat orang ni tak mudah."

Hasnan mengangguk faham.

"Insya-Allah, mak. Nan akan sentiasa ingat nasihat mak. Mak janganlah sedih. Nanti ada rezeki, Nan akan balik ke sini."

Puan Asiah memeluk tubuh anaknya. Besar harapannya Hasnan berjaya mencapai cita-citanya. Sudah terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh si anak. Tak kira apa pun keputusan Hasnan demi masa depan, dia akan tetap berdiri di sisi si anak.

HASNAN MELIHAT pemandangan di luar tingkap teksi. Syukur dia selamat sampai di Kuching dengan selamat. Sekarang dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya untuk melihat bilik sewanya di sana. Dia bernasib baik kerana di sini, dia diberi kemudahan tempat tinggal.

"Saya hantar encik sampai di sini saja. Encik boleh terus masuk ke dalam."

"Terima kasih," ucap Hasnan sebelum keluar dari teksi.

Dia melangkah masuk melalui pintu hadapan dengan membawa beg pakaiannya. Tempat pertama yang dituju, adalah meja penyambut tetamu. Dia memberitahu tujuan dia datang ke sini kepada penyambut tetamu tersebut.

"Saya Hasnan, dari Semenanjung. Datang ke sini untuk melaporkan diri."

"Kejap ya. Saya beritahu ketua kami."

Hasnan disuruh duduk di sofayang disediakan di lobi. Sementara menunggu, Hasnan keluarkan pen dan bukunotanya dan menulis apa yang baru dilaluinya sepanjang hari ini. Sudah menjadi kebiasaan untuk dia menulis setiap hari. Seolah-olah itulah diari dalam hidupnya. 

Sisa Rasa Yang TertinggalWhere stories live. Discover now