Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 5

13 1 0
                                    

SELEPAS menunaikan solat subuh, dia membancuh secawan kopi di dapur yang ada di sebelah bilik kecilnya. Disebabkan dia tinggal seorang diri, Hasnan jarang memasak. Dia lebih suka membeli makanan di kedai dan makan di bilik.

Televisyen yang diberikan oleh Zaton dihidupkan. Dia duduk santai di hadapan televisyen sambil menikmati kopi panasnya. Masih ada sejam lagi untuk dia perlu masuk bekerja.

Mujurlah jarak dari bilik ini ke tempat kerjanya tak sampai lima minit jika berjalan kaki. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Tiba-tiba dia teringat kenangan semalam ketika dia dan Zaton berbual di restoran.

Hari ini dia sudah berjanji untuk bertemu gadis itu sekali lagi. Rasa tak sabar pula menunggu jam berganjak ke angka lima petang.

Hampir setengah jam menonton televisyen, Hasnan bergegas bersiap untuk ke tempat kerja. Setibanya di pejabat, dia ternampak Cikgu Dali mengeluarkan banyak surat khabar lama dan ditempatkan di satu sudut.

Jujurnya dia kurang gemar melihat keadaan di luar pejabat yang dipenuhi dengan timbunan surat khabar. Pelik juga lelaki itu masih menyimpan surat khabar lama. Lebih baik dijual. Ada juga untungnya.

"Dah sarapan?" tegur Cikgu Dali.

"Sudah. Boleh saya tanya sesuatu?"

Cikgu Dali sekadar mengangguk.

"Kenapa tak buang surat khabar ni? Atau dijual?" Akhirnya terluah juga apa yang ada dalam fikirannya.

"Surat khabar ni masih adayang boleh digunakan. Kebetulan hari ni ada pekerja baru. Saya akan arahkan diauntuk bantu awak. Awak arahkan dia supaya buat paper cutting danfailkan. Apa-apa artikel tentang DP Rahman, harus disimpan dan difailkan.Selama ni tak pernah ada paper cutting dibuat. Sebab itulah surat khabartu dibiarkan bertimbun di sini."


Barulah Hasnan faham.

"Awak doalah semoga pejabat kita dibekalkan penghawa dingin. Saya dah berbincang dengan DP Rahman. Macam biasalah. Belum dapat kelulusan belanjawan lagi."

"Insya-Allah. Harap adalah rezeki. Boleh tahan panas juga bila kerja waktu siang. Kipas kita pun banyak dah rosak."

Walaupun syarikat akhbar ini sudah lama beroperasi, masih banyak lagi kemudahan yang tidak ditukar. Perabot pun banyak dah rosak.

"Lupa pula saya nak beritahu awak. Datuk nak jumpa tu. Pergilah."

Tegak tubuh Hasnan. Rasa berdebar pula dia nak berjumpa dengan lelaki itu. Selama dia bekerja di sini, belum pernah lagi dia dipanggil untuk ke bilik lelaki itu.

"Kenapa dia nak jumpa saya?"

"Mungkin dia ada nak bagi tugasan agaknya. Silap hari bulan, sampai ke petang awak kena siapkan kerja dia."

Terus berubah wajah Hasnan. Sudahlah dia dah berjanji untuk berjumpa Zaton petang ini.

"Kenapa muka tu? Awak risau tak dapat jumpa kekasih ke?"

"Hesy... ke situ pula. Saya mana ada kekasih." Cepat-cepat Hasnan menjawab. Habislah dia kalau Cikgu Dali tahu dia dan Zaton nak berjumpa petang ini.

Dengan perasaan gugup, dia ke bilik DP Rahman. Pejabat DP Rahman terletak di tingkat lapan. Sepanjang dia bekerja di sini, agak jarang dia dapat melihat lelaki itu di pejabat.

Ketika dia masuk ke bilik DP Rahman, Hasnan agak kagum dengan penampilan lelaki itu. Masih bergaya walaupun sudah berusia hampir 50 tahun. Lelaki itu juga gemar mengenakan songkok.

"Dah minum, Hasnan?"

"Sudah," jawab Hasnan sepatah sambil tersenyum.

"Tapi saya belum minum. Awaktemankan saya ya," kata DP Rahman sambil menekan interkom.

Sisa Rasa Yang TertinggalWhere stories live. Discover now