"Saya... Saya tak..."

"Siapa bagi kau kebenaran untuk masuk dan usik barang-barang aku, Laura Humaira?" Asap kemarahan dilepas sedikit demi sedikit. Buatkan keadaan semakin ruwet. Hanyut dalam kebungkaman.

"Saya tak sengaja..." Humaira meletakkan semula bingkaian tersebut di atas meja. Bersedia untuk melangkah keluar sebelum pertikaian itu semakn panjang berjela.

"Setahu aku, mak bapak kau cukup faham agama. Aku yakin dia orang bijak mendidik anak. Tapi malang, sebab dapat anak biadab macam kau," bara kata-kata Azriel mengoyakkan hati kecil Humaira.

"Astaghfirullahalazim. Awak salah faham, Azriel. Saya cuma nak kemas bilik awak. Tak lebih pun. Sumpah!" balasnya bersungguh-sungguh. Cuba meyakinkan Azriel meskipun dia tahu, semua tingkahnya pasti salah di mata Azriel.

"Tak lebih? Aku tak suka bila orang asing sibuk nak sentuh barang berharga aku." Tenggelam timbul nada Azriel di balik pintalan amarahnya. Terus menerus rasa benci itu terukir pada raut wajahnya.

Orang asing? Sedalam itukah rasa benci yang Azriel tanam terhadap Humaira? Sehingga lelaki itu lupa bahawa wanita yang berdiri menahan lara dihadapannya, adalah isterinya.

"Saya isteri awak, Azriel. Sepatutnya saya berhak," lirih lantunan suara Humaira. Namun tidak pula terpaut sekelumit pun rasa syahdu di hati Azriel. Jejaka itu lebih memilih untuk terus marah.

"Kau isteri atas kertas. Nama kau melantun dalam lafaz nikah kita, tapi kau bukan sesiapa dalam hati aku."

Lancar bibir pucat Azriel melantunkan bicara yang tentunya membuat Humaira hancur.

Pedihnya usah dikata lagi. Nafasnya seakan-akan tersekat dalam pintalan rasa sebaknya. Gemeretak walang umpama berbisik lantang dalam hati kecil itu untuk sedar. Sedar dalam lamunan bahawa Azriel benar-benar tidak menyukainya.

Mungkin, ini baru permulaan. Selepas ini, pasti bergulung-gulung duka yang akan menyambutnya.

"Kau keluar sekarang. Sebelum aku hilang sabar." Ibarat arahan, Humaira gerun mendengar itu. Terus dia menapak meninggalkan Azriel. Bersama sejuta kekecewaan yang dipikul.

"Saya minta maaf," kata-kata terakhir yang termuntah pada mulut Humaira. Sebelum gadis itu sirna dalam pandangan mata Azriel.

Karl Azriel meraup kasar wajah tampannya. Jejaka itu menatap sayu kepingan gambar arwah Zahara yang dihiasi dengan senyuman. Manis. Cukup manis.

Semakin dalam tatapannya, semakin tinggi rasa rindu itu melambung. Bahkan, semakin sulit untuk seorang Karl Azriel melupakan kenangan yang pernah ada diantara mereka.

Sungguh rasa cinta terhadap arwah Zahara terlalu dalam.

Ibarat pena yang menitiskan tinta, mengukir aksara diatas lembaran kertas. Tak pernah punah kendatipun air yang deras cuba untuk memadamkannya.

....

PAGI nirmala. Rintik-rintik hujan membelah suasana pada hari itu. Guruh berdentum perlahan bersama kilat yang sesekali bertandang menyapa alam. Umpama enggan berteman dengan semesta, langit begitu murung menjemput matahari.

Pagi-pagi lagi, dia menerima desakan daripada suaminya. Siapa lagi kalau bukan jejaka yang sedang duduk diatas sofa di ruang tamu itu. Ibarat sudah lali dengan celoteh Azriel. Diturutkan saja apa yang jejaka itu ungkapkan.

'Pagi ni ada tetamu. Masak untuk dia orang. Jangan buat aku malu,' lebih kurang seperti itu bicara Azriel setelah dia selesai solat subuh tadi.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now