Manis mencapai lembut tangan Puan Aziah. Menggenggamnya lalu dibawa rapat ke bibir.

"Ibu sihat?"

Satu lagi tangan Puan Aziah yang masih bebas jatuh mengelus puncak kepala Manis yang berlapikkan selendang ungu senada dengan baju kurung yang dipakai oleh gadis itu.

"Ibu macam inilah, Manis. Kamu pula? Macam mana kuliah?"

Manis menjatuhkan kepala di atas riba Puan Aziah. "Alhamdulillah, Manis pun sihat. Kuliah pun macam biasalah, ibu. Kadang penat, kadang banyak kerja nak disiapkan." Adu Manis dengan mata yang rapat terpejam. Usapan Puan Aziah seakan memberi kekuatan kepadanya untuk terus bertahan. Menyembunyikan kesakitan yang tidak tertanggung lagi.

"Tak apa, setiap apa yang kamu usahakan, Allah akan balas dengan ganjaran yang indah. Ibu sentiasa mendoakan kamu."

Dagu ditongkatkan. Bibir Manis koyak dengan senyuman cantik. "Terima kasih ibu." Puan Aziah mengangguk. Mengusap wajah cantik Manis. Di sebalik itu, hatinya meneka akan sesuatu. Wajah Manis tampak pucat. Ada kekuatan yang ditampilkan untuk menutup kesedihan dari seraut wajah itu.

Waktu itu sentiasa ada. Berikan Manis masa untuk meluahkan segalanya.

Manis mengangkat beberapa bungkusan plastik di sampingnya.

"Manis tadi ada belikan makanan dengan barang dapur sikit untuk ibu dengan Ammar. Jom masuk makan. Manis laparlah, ibu."

"Susahkan kamu saja, Manis."

Manis sekadar senyum. Tangan mengamit Ammar yang sedang bermain dengan seekor anak kucing tidak jauh dari mereka.

"Tak susahkan pun, ibu. Kita makan sama-sama, ya?"

Kalau Manis sudah kata begitu, Puan Aziah menjatuhkan kepala. Gadis ini berhati mulia. Bersih dan baik. Menerima mereka sebagai keluarganya sendiri meskipun masyarakat membuang mereka ke kawasan setinggan yang daif ini. Kehadiran Manis menceriakan Ammar dan Puan Aziah. Di saat, Puan Aziah dilanggar dahulu, Manislah yang menghulurkan tangan. Hingga akhirnya mereka rapat seperti sebuah keluarga. Masih segar kejadian itu di ingatan Puan Aziah. Segala jasa Manis, hanya mampu dibalas dengan doa yang sentiasa dititipkan buat gadis yang layak digelar seperti sang bidadari.

Bidadari yang sungguh luhur hati dan jiwanya.

Semoga Tuhan sentiasa melindungi kamu, wahai Manis Zulaikhah.





















(🩸🩸🩸)







BUNYI muzik yang berdentum disambut dengan sorakan dan tarian dari pengunjung kelab malam itu.

Ada yang sakan menari.

Dan ada juga yang hanyut tenggelam di dalam lubuk maksiat. Bercumbu, bertaruh wang, meneguk arak dan dadah.

Dan di sarang neraka itu juga, tempat Idlan melepak bersama rakan-rakannya.

"Lama tak jumpa. Dengar cerita dah nak jadi suami orang." Amir memulakan perbualan. Di sisinya ada dua orang pelacur yang mengusap dada dan abdomennya.

Idlan tarik senyum yang sinis. Jari yang mengepit rokok, dibawa ke arah bibir. Jika dikira, sudah hampir sekotak rokok dihabiskan oleh Idlan dalam masa satu jam sahaja.

Amir yang duduk bertentangan dengannya dipandang sekilas. "Jemputlah datang."

Hampir ternganga Amir. Mudah gila cara jemputan si Idlan ni. Tak ada kad. Ikut mulut dia aje.

𝐌𝐚𝐧𝐢𝐬 : 𝐃𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐢𝐫 𝐌𝐚𝐭𝐚Where stories live. Discover now